1 Mei 2024, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada tahun 1872, telah berlaku mogok dan peristiwa besar dalam industri buruh. Para pekerja membuat protes kerana tempoh masa bekerja yang lama. Pergerakan kesatuan buruh meminta tempoh lapan jam untuk bekerja, lapan jam untuk rekreasi dan lapan jam lagi untuk berehat. Desakan itu berhasil menukarkan waktu bekerja ditetapkan kepada lapan jam sehari mengikut waktu pejabat. Diinspirasikan oleh kejayaan parti buruh tersebut, pada tahun 1884 Persekutuan Persatuan Pekerja dan Buruh telah menetapkan Hari Buruh pada 1 Mei setiap tahun.

Hari Buruh juga sinonim dengan Hari Pekerja Antarabangsa. Walaupun terdapat negara yang meraikan Hari Buruh pada tarikh yang berbeza, namun di kebanyakan negara, Hari Pekerja disambut pada setiap 1 Mei setiap tahun dan merupakan hari cuti umum. Kerajaan Malaysia menetapkan Hari Pekerja sebagai cuti umum dan merupakan satu daripada lima hari kelepasan awam yang tertakluk di bawah Akta Kerja 1955, Seksyen 60D(1)(a) & (b). Selaras dengan Akta Kerja 1955, kerajaan menggesa majikan mematuhi peraturan urusan kerja tersebut.

Berdasarkan Laporan Survei Tenaga Buruh oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, terdapat hampir 15,797,000 tenaga buruh di Malaysia sehingga tahun 2021. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menggunakan istilah “pekerja” untuk merujuk kepada individu yang bekerja bagi mendapatkan pampasan atau memperoleh pendapatan, serta individu yang memegang jawatan dalam perkhidmatan awam atau swasta.

Dalam konteks Malaysia, perkataan “pekerja” merujuk kepada orang yang bekerja untuk majikan dalam pertukaran untuk upah atau gaji. Mereka boleh terdiri daripada orang yang bekerja dalam pelbagai bidang seperti perkhidmatan, pembuatan, pertanian dan profesional. Pekerja memainkan peranan penting dalam menyediakan tenaga kerja untuk aktiviti ekonomi seterusnyamenyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosial negara.

Simbolis memerujuk pada penggunaan lambang atau simbol untuk menyampaikan makna yang lebih mendalam atau abstrak. Tema Hari Pekerja 2024 ialah “Pekerja Kesuma Bangsa”. “Kesuma” merujuk pada bunga yang sering dianggap sebagai lambang keindahan, kelembutan dan keharuman yang  juga boleh merujuk pada sesuatu yang sangat cantik atau menarik perhatian.

Menerusi tema Hari Pekerja tahun ini, “kesuma” digunakan sebagai simbol untuk menggambarkan konsep kepelbagaian budaya dan perpaduan di tempat kerja atau dalam masyarakat secara keseluruhan. Oleh hal yang demikian, dalam konteks “Pekerja Kesuma Bangsa”, “kesuma” adalah simbol untuk menyuarakan nilai kepelbagaian dan perpaduan.

“Bangsa” pula merujuk kepada “Bangsa Malaysia”, iaitu rakyat Malaysia yang tinggal secara harmoni dalam satu ikatan ketatanegaraan bermazhabkan Rukun Negara yang lima. Dalam konteks tema Hari Pekerja 2024, istilah “kesuma bangsa” merujuk pada idea kepelbagaian etnik dan perpaduan dalam kalangan pekerja di negara ini.

Tema ini bertujuan untuk mengiktiraf sumbangan dan kepelbagaian etnik dalam pasaran tenaga kerja Malaysia serta mempromosikan semangat perpaduan dalam kalangan pekerja dari pelbagai latar belakang budaya dan etnik. Tema ini turut menitikberatkan inisiatif dan program untuk mendorong kesedaran tentang pentingnya menerima dan menghargai kepelbagaian budaya dan etnik di tempat kerja, serta menggalakkan kerjasama dan pemahaman antara pekerja pelbagai bangsa.

Perkara ini boleh mencerminkan nilai keharmonian, toleransi dan penghargaan terhadap perbezaan dalam masyarakat Malaysia. Hal ini juga bertepatan dengan konsep Malaysia MADANI yang berhasrat untuk meningkatkan nilai keharmonian, kepelbagaian dan keadilan dalam masyarakat Malaysia. “Pekerja kesuma bangsa” diandaikan sebagai individu yang aktif menyokong dan mempromosikan objektif serta nilai yang ditubuhkan dalam kerangka Malaysia MADANI. Mereka mengambil bahagian dalam program pendidikan, kempen kesedaran, acara budaya atau inisiatif alam sekitar bagi memperoleh pemahaman yang lebih baik antara pelbagai kumpulan masyarakat dan meningkatkan komuniti secara keseluruhan.

Tema Hari Pekerja 2024 turut berkaitan rapat dengan pekerja dari pelbagai latar belakang etnik dan budaya yang bersatu dalam kepelbagaian untuk membentuk satu bangsa yang kukuh dan berdaya saing. Pekerja yang menjadi “kesuma” kepada bangsa Malaysia boleh melaksanakan beberapa peranan seperti mewakili pelbagai etnik dan budaya dengan membawa kepelbagaian pengalaman, pengetahuan dan kemahiran ke tempat kerja. Mereka boleh membawa perspektif yang berbeza dan menawarkan pendekatan yang kreatif dalam menyelesaikan masalah.

Pekerja juga mengamalkan semangat perpaduan dan bekerjasama antara satu sama lain tanpa mengira latar belakang etnik atau budaya. Mereka berganding bahu dalam bekerja bagi mencapai matlamat bersama dan membangunkan negara. Pada masa yang sama, pekerja sentiasa menghormati budaya dan tradisi etnik lain serta saling mempromosikan pemahaman antara kumpulan etnik. Hal ini akan membina jambatan komunikasi dan mengurangkan konflik yang mungkin timbul.

Dengan bekerjasama secara harmoni, pekerja dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara dengan memaksimumkan potensi pelbagai sektor dan pasaran. Sehubungan dengan itu, pekerja Malaysia menjadi “kesuma” yang memahami, menghormati dan menghargai pelbagai budaya dan etnik negara serta bekerjasama untuk membangunkan negara secara kolektif.

Selamat Hari Pekerja 2024!

Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah, Sekolah Pendidikan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia.

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.