Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPengurusan kewangan yang baik memainkan peranan yang penting dalam kehidupan masa kini kerana perkara tersebut dapat meramalkan masa depan. Pengurusan kewangan, termasuklah cara menguruskan pendapatan, perbelanjaan dan simpanan pada hari ini akan menentukan identiti serta kesejahteraan hidup untuk lima tahun akan datang. Walaupun ramai yang mengimpikan kebebasan kewangan, namun tidak semua orang memiliki kebolehan dan kecekapan dalam menguruskan wang. Sebahagian besar masih mengikut trend semasa tanpa mengambil kira keadaan kewangan peribadi sendiri.
Tidak dinafikan bahawa kesedaran mengenai pengurusan kewangan semakin meningkat, tetapi masih terdapat individu yang terjerat dalam skim cepat kaya, penipuan dan pelaburan di tempat yang tidak betul. Keadaan ini sering kali mengakibatkan individu yang terlibat kecewa apabila pulangan yang diharapkan tidak tercapai dan mereka kehilangan wang. Satu lagi cabaran dalam pengurusan kewangan ialah statistik yang menunjukkan peningkatan kes muflis, terutamanya dalam kalangan golongan muda di Malaysia. Pinjaman peribadi dan kad kredit dikenal pasti menjadi punca utama masalah ini.
Kenyataan ini sangat menyedihkan kerana golongan muda sepatutnya menjadi harapan keluarga dan ibu bapa. Anak muda juga merupakan aset yang menentukan masa depan sesebuah negara. Oleh itu, adalah penting untuk memberikan perhatian yang lebih serius terhadap aspek pengurusan kewangan ini. Dengan kesedaran yang lebih tinggi dan pendekatan yang bijak terhadap pemilihan pelaburan serta pengurusan hutang, seseorang individu boleh melindungi diri daripada risiko kewangan yang tidak diingini dan membina masa depan yang lebih mapan.
Pentingnya Dana Kecemasan sebagai Perlindungan Kewangan
Antara panduan yang selalu diberikan kepada graduan atau anak muda yang baru mendapat pekerjaan ialah bagi tiga tahun pertama bekerja, mereka disarankan untuk mencukupkan dana kecemasan kepada tiga hingga enam bulan gaji. Sebagai contoh, jika gaji mereka ialah RM3000, mereka perlu mempunyai dana kecemasan paling minima sebanyak RM9000 (3 kali gaji).
Dana kecemasan adalah penting kerana seseorang tidak dapat mengawal faktor-faktor yang menyebabkan kehilangan kerja atau perkara yang memerlukan tunai segera. Antaranya termasuklah kehilangan pekerjaan, berlaku banjir atau sebarang bencana alam, kemalangan, sakit, kerosakan kenderaan dan sebagainya.
Oleh itu, dana kecemasan ini boleh digunakan apabila berlakunya perkara yang tidak diingini. Bayangkan jika tiada dana kecemasan, pastinya seseorang individu itu terduduk atau terpaksa meminta derma atau meminjam di sini sana. Percayalah, dana kecemasan yang mencukupi pastinya memberikan ketenangan fikiran dan meminimumkan kesan kewangan ketika berhadapan dengan situasi yang tidak terduga.
Berapakah Dana Kecemasan yang Seharusnya Dikumpulkan?
Perkara yang sering menjadi persoalan ialah adakah dana kecemasan sebanyak tiga hingga enam bulan gaji tersebut mencukupi? Sebagai panduan dan sekiranya merujuk pada zaman kini, dana kecemasan yang sepatutnya diperlukan ialah sebanyak 12 bulan gaji. Hal ini adalah disebabkan oleh kos keperluan asas yang meningkat seperti perbelanjaan bulanan dan komitmen kewangan yang lain.
Selain itu, faktor tanggungan keluarga dan jenis pekerjaan yang turut mempengaruhi jumlah dana yang diperlukan. Seseorang individu lebih tahu berapakah dana kecemasan yang diperlukan. Tidak salah sekiranya dana kecemasan tersebut dimulakan dengan tiga bulan gaji, kemudian ditingkatkan kepada enam hingga 12 bulan gaji.
Langkah-langkah Praktikal untuk Membina Dana Kecemasan
Perkara pertama untuk membina tabung kecemasan adalah dengan tabungan atau menyimpan dengan kaedah SMART, iaitu specific (jelas), measurable (boleh diukur), achievable (boleh dicapai), realistic (realistik) dan time bound (tempoh masa). Lima kaedah ini sangat penting dalam membantu seseorang individu itu mencapai matlamat kewangan, dalam konteks ini matlamat kewangan yang jelas (specific) adalah untuk mencukupkan dana kecemasan tiga bulan gaji, RM9,000 (RM3,000 x 3), dan boleh diukur (measureable).
Faktor lain yang perlu diambil kira ialah bagaimanakah untuk mencapainya (achievable) dan adakah realistik (realistic) untuk dicapai? Individu boleh mula mengasingkan 10% daripada gaji setiap bulan (10% x RM3,000 = RM300) yang mana tidak mustahil dan realistik untuk dilakukan. Oleh itu, untuk mencapai matlamat untuk mencukupkan dana kecemasan tadi, seseorang memerlukan 30 bulan (time bound) (RM300 x 30 bulan) bagi mencukupkan dana kecemasan RM9,000. Semakin gaji meningkat, semakin banyaklah simpanan yang sepatutnya.
Selain membina tabiat menyimpan dan melupakan, antara tips yang boleh digunakan adalah dengan hidup di bawah kemampuan. Hidup di bawah kemampuan bermaksud, jika pendapatan seseorang itu ialah RM3,000, hiduplah seperti pendapatan kurang dari RM3,000 dan bukan sebaliknya.
Seseorang itu perlu tahu membezakan antara kehendak dan keperluan. Seterusnya adalah dengan berbelanja dengan bijak. Seseorang individu perlu selalu merekodkan dan mengetahui aliran tunai, ke mana wang pergi dan dibelanjakan selama ini dan tips yang ketiga adalah dengan menangguhkan kepuasan. Sikap ini merupakan suatu sikap yang positif dengan mengorbankan keseronokan hari ini untuk kepuasan pada masa akan datang. Sebagai contoh, sekiranya seseorang itu mempunyai matlamat untuk membeli sesuatu yang mahal, kumpul duit sehinggalah duit itu mencukupi dan berganda, dan barulah kita membelinya.
Elemen Pelaburan dalam Dana Kecemasan
Elemen pelaburan dalam dana kecemasan adalah penting kerana perkara tersebut dapat membantu mengatasi inflasi dan memaksimumkan pertumbuhan wang dalam jangka panjang. Salah satu faktor yang perlu dipertimbangkan adalah kebolehlaksanaan pelaburan. Memilih pelaburan yang mudah dicairkan adalah penting kerana dana kecemasan mungkin diperlukan pada masa yang tidak terduga. Oleh itu, pelaburan yang membolehkan penarikan wang dengan cepat tanpa sebarang penalti merupakan pilihan yang bijak.
Antara beberapa pilihan pelaburan yang sesuai untuk dana kecemasan termasuklah:
Kesimpulannya, memilih pelaburan untuk dana kecemasan adalah keputusan yang perlu difikirkan dengan teliti. Mengimbangkan antara pulangan yang diperoleh, kebolehlaksanaan dan risiko adalah penting untuk memastikan dana kecemasan sentiasa tersedia dan boleh diakses pada bila-bila masa.
Akhir kalam, idea pertama yang mudah tetapi sering dipandang mudah adalah dengan membina harta, namun perkara tersebut bukanlah tentang seberapa tinggi pendapatan atau pulangan pelaburan, tetapi lebih kepada berapakah kadar simpanan atau seberapa banyak yang anda simpan. Memilih pelaburan yang sesuai untuk dana kecemasan juga penting untuk memastikan kestabilan kewangan ketika berlaku kecemasan.
Penulis, Pensyarah Perakaunan di Politeknik Muadzam Shah Pahang.