21 Mei 2024, 18:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Baru-baru ini, Edgard D. Kagan, Duta Amerika Syarikat (AS) yang baru secara terbuka mengkritik tindakan rakyat Malaysia memboikot deretan syarikat dari Amerika. Beliau menyatakan bahawa walaupun menjadi hak rakyat Malaysia untuk memboikot Israel dan syarikat yang membantu Israel, namun beliau merasakan bahawa tindak tanduk tersebut hanya akan merugikan rakyat Malaysia sendiri kerana pemilik francais syarikat yang diboikot itu sebenarnya orang Islam dan orang Malaysia. Kemungkinan besar beliau merujuk kepada syarikat McDonald yang dimiliki oleh orang Islam dari Saudi Arabia dan Starbucks yang dimiliki oleh Vincent Tan, juga seorang rakyat Malaysia.

Edgard D. Kagan, Duta Amerika Syarikat ke Malaysia.

Namun hakikat yang beliau gagal sedari ialah rakyat Malaysia secara umum tidak berminat untuk menerima sebarang nasihat daripada beliau. Hal ini dikatakan demikian kerana AS sudah lama tidak memiliki sebarang kredibiliti sebagai sebuah negara yang menegakkan hak asasi manusia secara adil. Sebaliknya, AS sekarang ini dipandang oleh penduduk di seluruh dunia sebagai negara yang terbabit dalam jenayah pembunuhan beramai-ramai serta jenayah kemanusiaan yang sedang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin.

AS merupakan penyokong dan pemberi bekalan dan bantuan utama kepada Israel. Sokongan dan bantuan dari Amerika inilah membolehkan Israel terus melakukan jenayah pembunuhan beramai-ramai di Gaza secara terang-terangan kerana telah mengorbankan lebih daripada 33 ribu orang rakyat Palestin yang tidak berdosa, termasuklah wanita dan kanak-kanak.

AS terus memberikan bantuan kepada Israel walaupun Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah memutuskan bahawa tuduhan oleh Afrika Selatan bahawa Israel sedang melakukan genosid mempunyai kewajarannya. Di samping itu, Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UN Human Rights Council) juga telah menerima pakai resolusi yang menggesa Israel mengambil bertanggungjawab terhadap kemungkinan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan yang dilakukan oleh Israel di Semenanjung Gaza. Hal ini turut menuntut agar semua penjualan senjata kepada Israel dihentikan serta-merta.

AS sebenarnya telah lama memberikan bantuan kepada Israel. Ada penganalisis yang menyatakan bahawa jumlah bantuan dari Amerika syarikat kepada Israel setakat ini berjumlah hampir USD260 bilion. Inilah asas yang menjadi hujahan bahawa sebenarnya AS langsung tidak mempunyai kredibiliti dan wibawa untuk memberikan nasihat kepada rakyat di negara lain tentang perkara yang patut atau tidak mereka lakukan berkaitan dengan isu Palestin.

Perlu diingatkan juga bahawa nasihat daripada Duta AS tentang tindakan boikot akan menjejaskan kebajikan pekerja Malaysia di syarikat yang diboikot kelihatan lucu, semata-mata kerana AS adalah pihak yang paling tidak layak untuk memberikan nasihat tentang keperluan untuk menjaga kebajikan pekerja di Malaysia. Hal ini berikutan keengganan Kedutaan AS membayar ganti rugi sebanyak RM60,000 kepada seorang rakyat Malaysia yang menjadi pengawal keselamatan di kedutaan tersebut. Menurut tribunal perindustrian, pengawal keselamatan itu dipecat secara tidak adil oleh kedutaan tersebut. Dalam erti kata lain, sikap keprihatinan yang diluahkan oleh Duta AS tentang kebajikan pekerja Malaysia kelihatan penuh dengan kepura-puraan, serta jelas mencerminkan sikap mereka yang sangat hipokrit.

Tambahan pula, Duta AS itu hanya menggunakan hujah berkenaan kebajikan pekerja Malaysia sebagai omong kosong sahaja. Jika dia benar-benar peka dengan kebajikan mereka, sudah tentu dia akan memberikan nasihat atau tekanan kepada pengurusan syarikat yang sedang diboikot untuk mengambil tindakan untuk meredakan kemarahan pengguna di Malaysia yang benci dan meluat dengan keterlibatan syarikat tersebut dengan kezaliman yang kini sedang berlaku di Palestin.

Sebagai contoh, sebuah restoran dari AS telah diboikot oleh pengguna di Malaysia kerana francaisnya di Israel telah memberikan ribuan pek makanan percuma kepada askar Israel yang sedang terlibat dengan jenayah genosid di Palestin. Duta AS itu sepatutnya menasihati pemilik francais di Malaysia untuk mengutuk jenayah genosid yang sedang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin serta mengutuk tindakan francais di Israel yang telah memberikan makanan percuma kepada tentera Israel. Sebaliknya, duta itu telah mengkritik tindakan pengguna Malaysia. Sudah tentu hal ini membuatkan pengguna Malaysia bertambah marah dengan kritikan tersebut.

Di samping itu, Duta AS telah menyatakan bahawa beliau menghormati hak rakyat Malaysia untuk melakukan usaha boikot terhadap Israel dan mana-mana syarikat yang dirasakan layak untuk diboikot kerana membantu Israel.  Malangnya Duta AS itu telah gagal untuk menyedari bahawa di AS sendiri, kongres telah meluluskan undang-undang untuk mengharamkan usaha memboikot Israel dan mana-mana institusi yang mewakili kerajaan dan negara Israel. Akibatnya badan perundangan di 37 buah negeri di Amerika telah meluluskan undang-undang anti-boikot Israel.

Kesan utama yang didapati daripada undang-undang tersebut ialah pengharaman sebarang usaha boikot yang ditujukan terhadap Israel. Hal ini dilakukan atas arahan lobi Zionis yang dibantu oleh media pro-Zionis. Akibatnya, rakyat AS dibenarkan memboikot mana-mana negara termasuklah AS sendiri, tetapi tidak dibenarkan untuk memboikot Israel, walaupun hal ini adalah bertentangan dengan prinsip kebebasan di negara tersebut di bawah hak Pindaan Pertama perlembagaan negara itu.

Kita harus sedar bahawa dalam abad ke-21 ini, tiada lagi wujud sebarang tempat untuk rejim peneroka-kolonial berbentuk aparteid, apatah lagi rejim genosid seperti Israel. AS kini berada di pihak yang salah dalam lipatan sejarah dunia dengan menyokong Israel secara terbuka melalui bekalan senjata dan perlindungan diplomatik. Dunia telah dan sedang menyaksikan kezaliman dahsyat yang sedang berlaku di Gaza. Dunia juga menyedari bahawa sebahagian besar daripada peristiwa yang berlaku kini sebagai akibat tindakan dan polisi kerajaan AS yang menyokong dan membantu Israel. Topeng demokrasi dan hak asasi manusia yang dipakai oleh Amerika Syarikat selama ini harus ditanggalkan serta-merta.

Walau bagaimanpun, kita layak berasa kasihan kepada Duta AS itu kerana beliau terpaksa mempromosikan kepentingan negaranya dalam keadaan hampir seluruh masyarakat di dunia memandang kerajaannya sebagai pembantu kepada jenayah pembunuhan beramai-ramai di Gaza terhadap puluhan ribu orang awam yang tidak bersalah yang kebanyakannya kanak-kanak dan wanita. Berbanding dengan sikap AS dalam kes Ukraine, jelas sekali bahawa Amerika merupakan sebuah negara bersikap hipokrit yang layak dikutuk.

Situasi ini juga memerlukan tanggungjawab seluruh rakyat Malaysia untuk menyekolahkan Duta AS itu agar beliau sedar tentang hakikat yang telah berlaku. Kita perlu memastikan beliau faham tentang sejarah penaklukan Palestin oleh pendatang asing Yahudi dari Eropah apabila lebih daripada 750 ribu orang rakyat Palestin menjadi pelarian yang tidak dibenarkan pulang ke tanah air mereka dan sehingga ke hari ini masih dizalimi dengan dahsyat. Kita perlu mendidik beliau agar menyedari bahawa Kerajaan AS yang diwakili olehnya sebagai duta menjalankan polisi dengan memberikan sokongan buta kepada Israel adalah satu kesilapan yang akan mendatangkan berbagai-bagai bentuk mudarat kepada AS sendiri.

Kita perlu menyedarkan Duta AS itu bahawa nilai kemanusiaan, sejarah dan undang-undang antarabangsa semuanya berpihak kepada rakyat Palestin. Hanya apabila AS menggunakan kekuatan dan pengaruhnya untuk memaksa Israel mematuhi undang-undang antarabangsa, barulah AS akan dilihat sebagai orang tengah yang jujur dalam mencari keamanan dan keadilan yang tulen di Timur Tengah. Jika AS gagal berbuat demikian, AS  sebenarnya tidak layak mengatakan bahawa mereka memegang prinsip demokrasi dan hak asasi manusia.

Profesor Dr. Mohd. Nazari Ismail, Pengarah Pusat Pengajian Palestin Hashim Sani, Universiti Malaya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.