7 April 2024, 10:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Hari Kesihatan Sedunia disambut pada tanggal 7 April setiap tahun sempena meraikan ulang tahun penubuhan Pertubuhan Kesihatan Dunia (World Health Organization, WHO) pada 7 April 1948. Setiap tahun, satu daripada isu kesihatan awam dipilih untuk menjadi tema sambutan hari tersebut. “Kesihatan Saya, Hak Saya” merupakan tema bagi tahun 2024 yang menekankan tentang kesihatan sebagai salah satu hak asasi utama manusia.

Setiap manusia berhak untuk mendapat akses yang adil kepada perkhidmatan kesihatan. Hal ini termasuklah langkah-langkah pencegahan bagi penyakit dan wabak serta bekalan ubat-ubatan yang mencukupi. Namun begitu, terdapat sebilangan individu yang masih belum mendapat akses kepada perkara-perkara penting ini. Oleh hal yang demikian, tema ini sungguh bermakna kerana isu ketidakseimbangan dalam kesihatan (health disparities) diberikan penekanan, sekali gus memberikan peluang langkah-langkah untuk mengurangkan jurang ketidakseimbangan tersebut dibincangkan secara lebih mendalam.

Hak Sebagai Pengguna Ubat-ubatan

Pengguna mempunyai hak tertentu dari perspektif penggunaan ubat-ubatan kerana hak inilah yang dapat membantu mereka memastikan rawatan yang diambil menghasilkan kesan yang optimum dan selamat. Antara hak sebagai seorang pengguna ubat-ubatan termasuklah:

a) Mendapat ubat-ubatan yang berkesan, selamat dan berkualiti

Pengguna ubat-ubatan berhak untuk menggunakan ubat-ubatan yang telah dijamin berkesan, selamat dan berkualiti. Disebabkan inilah setiap produk ubat-ubatan yang hendak dipasarkan di Malaysia perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana hanya produk yang berdaftar telah diuji dari segi keberkesanan, keselamatan dan kualitinya.

Keberkesanan ubat berdaftar disokong dengan dapatan kajian saintifik yang merangkumi kajian di dalam makmal, kajian terhadap haiwan dan seterusnya kajian yang melibatkan manusia. Penyelidikan klinikal dapat memastikan ubat-ubatan benar-benar dapat memberikan kesan yang diingini apabila diambil oleh golongan yang disasarkan.

Kualiti ubat berdaftar pula dapat dijamin kerana setiap produk yang hendak dipasarkan perlu dikilangkan di premis yang mempunyai persijilan Amalan Perkilangan Baik (Good Manufacturing Practice, GMP). Penghasilan di premis yang mematuhi standard yang ditetapkan ini juga dapat memastikan produk ubat-ubatan tidak terdedah kepada risiko pencemaran bahan-bahan asing yang tidak sepatutnya.

Produk yang berdaftar akan sentiasa dipastikan tidak mengandungi logam berat seperti plumbum, merkuri, kadmium dan sebagainya, serta mikroorganisma yang boleh menyebabkan jangkitan. Pemantauan ketat inilah yang menjamin aspek keselamatan bagi produk berdaftar.

Oleh hal yang demikian, pemilihan ubat yang berdaftar dengan KKM perlu dititikberatkan oleh pengguna agar mereka memperoleh ubat-ubatan yang terjamin dari segi kualiti, keselamatan dan keberkesanan. KKM telah memperkenalkan beberapa cara yang boleh dilakukan oleh pengguna untuk menyemak status pendaftaran ubat-ubatan. Antaranya termasuklah dengan melayari laman web Bahagian Regulatori Farmasi Negara (National Pharmaceutical Regulatory Agency, NPRA), iaitu www.npra.gov.my atau menggunakan aplikasi telefon pintar “NPRA Product Status”.

b) Mendapat maklumat lengkap tentang ubat yang digunakan

Maklumat yang lengkap adalah penting untuk memastikan pengguna ubat-ubatan dapat mengambil ubat dengan cara yang betul dan seterusnya mendapat kesan yang diingini secara optimum. Maklumat tentang ubat-ubatan boleh diperoleh daripada pelbagai sumber. Namun demikian, pengguna haruslah memastikan sumber yang dirujuk merupakan sumber yang berkredibiliti dan boleh dipercayai.

Antara sumber maklumat yang diyakini termasuklah ahli profesional kesihatan seperti doktor dan ahli farmasi. Apabila mendapatkan bekalan ubat-ubatan di farmasi, ahli farmasi lazimnya akan memberikan penerangan tentang ubat-ubatan yang dibekalkan. Malah, terdapat juga perkhidmatan kaunseling ubat-ubatan secara individu atau berkumpulan yang dijalankan oleh ahli farmasi sebagai cara meningkatkan kefahaman pesakit tentang pengambilan ubat-ubatan.

Di samping itu, dalam usaha untuk membantu pengguna mendapatkan maklumat yang tepat tentang ubat-ubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyediakan perkhidmatan Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC). Pengguna digalakkan menghubungi NPCC melalui talian bebas tol 1-800-88-6722 sekiranya mempunyai pertanyaan berkaitan ubat-ubatan. NPCC beroperasi dari pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang, setiap Isnin hingga Jumaat (kecuali cuti umum).

Laman web dan portal agensi di bawah KKM turut menyediakan maklumat yang sahih untuk pengguna. Bahkan, seiring dengan perkembangan teknologi kini, maklumat ubat-ubatan boleh juga diperoleh daripada platform media sosial.. Sebagai contoh, laman Facebook, Instagram dan Tiktok Kenali Ubat Anda sering berkongsi maklumat ubat-ubatan untuk rujukan pengguna. Maklumat tersebut dipaparkan dalam bentuk artikel, infografik, poster dan video yang menarik dan berinformasi.

c) Membuat pilihan terhadap ubat dan produk kesihatan

Pengguna juga mempunyai hak untuk membuat pilihan yang terbaik berdasarkan keperluan dan kemampuan mereka dalam mendapatkan ubat-ubatan. Antara aspek yang harus diambil kira ialah harga bagi ubat-ubatan yang ingin dibeli oleh pengguna. Oleh yang demikian, pengguna disarankan untuk membuat perbandingan harga ubat-ubatan yang ditawarkan oleh beberapa buah premis yang berbeza. Pengguna boleh hadir sendiri atau membuat panggilan telefon ke klinik swasta atau kedai farmasi untuk mengetahui harga ubat-ubatan yang ditawarkan bagi membuat perbandingan yang sewajarnya. Langkah ini dapat membantu pengguna mendapatkan ubat pada harga yang berpatutan mengikut kemampuan masing-masing.

Sebagai alternatif, KKM turut memaparkan Harga Panduan Pengguna (HPP) dalam laman web https://pharmacy.moh.gov.my/ms/apps/drug-price untuk membantu pengguna dalam perkara ini. HPP merupakan senarai harga ubat yang boleh dijadikan panduan kepada pengguna. Melalui HPP, pengguna dapat merujuk maklumat berkaitan harga dan ketersediaan ubat-ubatan di fasilitet kesihatan swasta. Namun begitu, harga yang dinyatakan dalam portal HPP mungkin berbeza daripada harga runcit sebenar ubat-ubatan dalam pasaran.

d) Menyuarakan pendapat dan maklum balas mengikut saluran yang betul

Pengguna juga berhak untuk menyampaikan sebarang pandangan atau maklum balas tentang rawatan yang diterima sekiranya terdapat isu atau persoalan yang timbul. Perkara ini penting untuk memastikan pengguna mendapat rawatan yang terbaik. Sebagai contoh, pengguna yang mengalami kesan sampingan hingga menyebabkannya tidak dapat patuh kepada ubat-ubatan wajar mengutarakan masalah yang dihadapi kepada doktor atau ahli farmasi supaya perkara ini dapat ditangani sebaik-baiknya. Maklum balas yang disampaikan ini dapat membantu doktor atau ahli farmasi mengenal pasti dan merancang pilihan ubat-ubatan yang lebih sesuai, selamat dan berkesan.

Tidak setakat itu sahaja, malah maklum balas pengguna juga sangat dialu-alukan dalam aspek pemantauan kesan sampingan ubat-ubatan. Oleh sebab itu, KKM turut menyediakan mekanisme pelaporan kesan sampingan oleh orang awam melalui borang Consumer Reporting of Side Effects to Medicines or Vaccines (ConSERF). Borang ini  boleh diakses secara dalam talian menerusi laman web NPRA atau boleh dilengkapkan dalam bentuk bercetak. Maklum balas daripada pengguna membolehkan pemantauan ubat-ubatan yang dijalankan oleh KKM menjadi lebih tepat dan berkualiti.

Kesihatan Saya, Hak Saya

Sebagai pengguna ubat-ubatan, hak dalam mendapatkan rawatan yang berkesan dan selamat bermula dengan hak lain seperti hak mendapatkan maklumat yang lengkap dan berkualiti, hak membuat pilihan serta hak untuk mengemukakan pandangan. Menyedari tentang hal ini, pengguna sendiri disarankan agar sentiasa memanfaatkan perkhidmatan dan peluang yang telah tersedia dengan sepenuhnya. Di samping itu, pihak yang bertanggungjawab pula haruslah memainkan peranan dalam menambah baik setiap aspek penyampaian perkhidmatan agar jurang yang menghalang pengguna menikmati hak-hak mereka dapat dihapuskan. Dengan usaha sinergi antara kedua-dua belah pihak inilah, maka slogan “Kesihatan Saya, Hak Saya” dapat direalisasikan.

Penulis,Pegawai Farmasi, Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi, Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia.

 

 

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.