5 Februari 2022, 23:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dikendalikan oleh Puan Haslina Ar Kamaludin selaku pengerusi sesi, slot SKOP MG Malaysia Gazette berjaya mencuri tumpuan umum dalam diskusi santai  yang disampaikan oleh Dr. G.Manimaran, penganalisis pilihan raya dan penulis buku Pilihan Raya Demokrasi: Tanding, Pilih, Menang & Tadbir, selaku panel dalam sebuah perbincangan bertajuk “PRN Johor: Undi 18 Jadi Penentu?”

Semasa awal perbincangan, Puan Haslina mendedahkan kepada umum berkaitan dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan merujuk Artikel 3 (a) dan (b) Perlembagaan Persekutuan pada tiga tahun lalu dan diwartakan sebagai P.U.(B) 615/2021 dan berkuat kuasa pada 15 Disember 2021 berkaitan dengan penurunan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Melalui Seksyen 3, had umur mengundi diturunkan dengan membenarkan pendaftaran pengundi secara automatik bagi menggantikan sistem semasa yang memerlukan rakyat memohon untuk mendaftar sebagai pengundi. Pindaan yang telah diluluskan ini dilihat berupaya menambah baik sistem pendaftaran pilihan raya yang dilakukan sebelum ini, yang dilihat mempunyai kelemahan tertentu dari segi kepincangan maklumat serta sumber yang tidak sahih. Kaedah baharu ini memperlihatkan anjakan yang akan mendinamikkan sistem pilihan raya di Malaysia, seterusnya proses demokrasi juga dapat dipertingkatkan dalam kalangan rakyat.

Pindaan ini meningkatkan jumlah pengundi di seluruh negara termasuklah peningkatan sebanyak 30 peratus jumlah pengundi di negeri Johor dan hal ini menjadi tumpuan kepada banyak pihak khususnya penganalisis politik bagi melihat negeri Johor sebagai penanda aras kejayaan sama ada berjaya atau sebaliknya. Berdasarkan data yang diperoleh, sejumlah 749 731 pengundi muda baharu temasuklah mereka yang berusia 18 tahun layak menjadi pengundi secara automatik. Hal ini bermakna, Johor kini mempunyai sejumlah 2.5 juta pengundi yang akan meraikan proses demokrasi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac kelak berbanding dengan hanya 1.8 juta pengundi sahaja pada tahun 2018, sekali gus  menjadi titik tolak kepada generasi Malaysia supaya dapat bersama-sama memahami tanggungjawab mereka kepada negara.

Dalam perkongsian tersebut Dr. G. Manimaran juga berkongsi tentang kelompok pengundi berdasarkan analisis beliau, iaitu kelompok pengundi berusia 21 tahun ke bawah, golongan pemilih berusia 21 tahun hingga 55 tahun yang masih bekerja sama ada di sektor swasta atau awam serta pemilih yang sudah bersara. Ketiga-tiga golongan pengundi ini mempunyai pola tertentu bagi memahami mekanisme pilihan raya sebagai proses demokrasi.

“Apabila diukur dengan senario golongan muda, mungkin kebimbangan sesetengah pihak kepada pengundi muda boleh diambil kira, namun dengan usaha yang berterusan, pendidikan tentang pilihan raya dalam kalangan warga muda harus dilaksanakan secara terancang,” ujar beliau.

Apabila diajukan persoalan oleh Puan Harlina berkaitan dengan pihak yang harus bertanggungjawab mendidik pengundi dalam pilihan raya, beliau menjelaskan bahawa semua pihak perlu memainkan peranan untuk memastikan generasi muda mendapat maklumat yang tepat agar mereka dapat memahami dengan lebih jelas tentang negara demokrasi melalui pilihan raya.

Beliau juga menyarankan semua pihak agar dapat mengembangkan isu pendidikan demokrasi dan pilihan raya khususnya institusi pendidikan sedia ada. “Sebagai contoh, guru-guru boleh memberikan pendedahan awal tentang realiti pilihan raya dengan mengadakan pilihan raya untuk pelantikan badan pengawas di sekolah-sekolah. Pelaksanaan bercirikan pilihan raya boleh didedahkan pada peringkat awal dan apabila melaksanakan dengan betul, mereka mendapat gambaran yang sahih tentang pilihan raya,” ujar beliau.

Selain itu, beliau juga menegaskan peri pentingnya pendedahan asuhan dan didikan dalam kalangan keluarga dan masyarakat berkaitan dengan pilihan raya. Pilihan raya merupakan satu daripada proses mendewasakan anak muda. Beliau juga menyarankan  Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggiatkan secara sistematik program pendidikan pengundi dan demokrasi pilihan raya agar pengundi muda dan seluruh rakyat Malaysia dapat memahami konsep demokrasi yang sebenar di negara ini.

Dalam wacana tersebut, beliau amat mengalu-alukan keprihatinan YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri yang menyarankan pihak SPR agar dapat merealisasikan usaha ini. Beliau juga mengingatkan masyarakat bahawa pengundi perlu memahami segala butiran yang dijanjikan oleh calon atau parti. Secara realitinya pertimbangan pemilih dalam menilai manifesto yang digagaskan oleh parti dan calon, merupakan satu proses penaakulan yang mengambil masa untuk diterjemahkan melalui kertas undi. Kesemua ini akan memberikan kesan selepas selesai pilihan raya.

Pada akhir perkongsian dalam sesi tersebut, beliau menggesa pengundi muda supaya lebih bersedia untuk melaksanakan tanggungjawab pada PRN Johor pada Mac kelak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.