Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPada tarikh 14 Februari, bermula pada tahun 2012, Hari Pemberian Buku Antarabangsa (International Book Giving Day) diraikan oleh masyarakat di seluruh dunia. Hari Pemberian Buku Antarabangsa yang diinisiatifkan oleh sukarelawan ini bermatlamat untuk memastikan sebanyak mungkin buku sampai ke tangan kanak-kanak.
Demikian itu, pertubuhan sukarelawan melihat kebanyakan kanak-kanak di negara sedang membangun tidak memiliki buku, malah tidak mampu membeli buku. Di negara maju seperti United Kingdom, satu pertiga daripada jumlah kanak-kanak tidak memiliki buku, manakala di Amerika Syarikat pula, dua per tiga daripada kanak-kanak yang hidup dalam kemiskinan tidak memiliki buku.
Maka itu, pada tarikh 14 Februari setiap tahun, Hari Pemberian Buku Antarabangsa memfokuskan matlamat untuk menggalakkan masyarakat di seluruh dunia untuk memberikan buku kepada kanak-kanak. Selain itu, Hari Pemberian Buku Antarabangsa juga mengajak individu untuk melakukan perkara yang berikut:
Pada tahun 2012, buat pertama kalinya Hari Pemberian Buku Antarabangsa disambut oleh beberapa negara di dunia. Detiknya bermula apabila Amy Broadmore dan anaknya mencetuskan idea untuk Hari Pemberian Buku Antarabangsa dengan kerjasama Delightful Children’s Books. Seterusnya, pasangan ibu dan anak itu kemudian bekerja dengan Zoe Toft untuk merealisasikan hari yang signifikan itu.
Setelah berjaya mendapatkan insentif dan mengadakan aktiviti bagi mengisi sambutan Hari Pemberian Buku Antarabangsa, mereka menyerahkan semua urusan berkaitan dengan Hari Pemberian Buku Antarabangsa kepada Emma Perry pada tahun 2013, yang hingga kini mengendalikan laman web.
Sejak itu, Hari Pemberian Buku Antarabangsa terus bersemarak dan disambut dengan penuh kesedaran tentang pentingnya berkongsi dan memberikan buku kepada orang lain.
Pada tahun 2014, Hari Pemberian Buku Antarabangsa telah disambut oleh masyarakat di Australia, Kanada, Afrika Selatan, Perancis, India, Ireland, Jepun, New Zealand, Singapura, Filipina, Turki, United Kingdom, Amerika Syarikat, Jerman, Nigeria, Nicaragua, Brazil, Mesir, Poland, Greece, Portugal, Mexico, Macedonia, Malawi, Hungary, Malaysia, Israel, Denmark, Thailand, Indonesia, Jordan, China, Puerto Rico dan Bulgaria.
Dengan adanya sambutan dan kesedaran tentang Hari Pemberian Buku Antarabangsa, diharapkan masyarakat di seluruh dunia akan memikirkan cara terbaik untuk membantu kanak-kanak yang memerlukan bahan bacaan dalam komuniti mereka. Terdapat enam cara untuk menyertai Hari Pemberian Buku Antarabangsa, iaitu:
Buku dilihat memiliki kuasa infiniti. Dengan adanya kuasa itulah, buku boleh membawa kita menjelajah ke dunia baharu, mengajar kita tentang perkara baharu, memberikan inspirasi, membuatkan kita menangis atau ketawa, dan membawa kita mengimbau memori lama yang penting dalam hidup kita.
Bagi kanak-kanak pula, kenangan terindahnya mungkin tentang buku cerita yang dibacakan kepadanya sebelum tidur, atau buku yang dibacanya dalam tempoh dia membesar. Bagi golongan remaja pula, minatnya pada buku mungkin sambungan daripada genre buku yang dibacanya semasa dia kecil. Apabila telah menginjak dewasa, ada dua kemungkinan, sama ada golongan ini masih membaca atau sudah tidak berminat membaca buku.
Walau apa-apa pun situasinya, raikan Hari Pemberian Buku Antarabangsa sambil membuat kebaikan dengan cara memberikan buku kepada orang lain, terutamanya kanak-kanak, dan menyebarkan kegembiraan melalui buku.
Sememangnya, Hari Pemberian Buku Antarabangsa dikhaskan untuk menyemai minat membaca sepanjang hayat, terutamanya kepada kanak-kanak, dan menyediakan buku untuk kanak-kanak yang memerlukan bahan bacaan bagi mengisi masa lapang.