Diterbitkan pada 15 Februari 2022, 02:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Melaka – Anugerah Media Melaka 2021 yang ditangguhkan pada penghujung tahun lalu bagi memberikan laluan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, akhirnya berjaya dilaksanakan pada 14 Februari 2021 bertempat di Hotel LaCrista, Melaka. Anugerah media yang mula diadakan pada tahun 2020 ini adalah untuk memberikan pengiktirafan kepada pengamal media di negeri ini atau media yang telah mengetengahkan pelbagai isu kemasyarakatan, kemanusiaan, sosial, ekonomi dan politik berkaitan dengan negeri Melaka.

Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan dan Pelancaran Buku Autobiografi YAB Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md. Ali, Ketua Menteri Melaka yang menceritakan serba ringkas perjalanan Ketua Menteri Melaka ke-12 bermula pada 9 Mac 2020 yang menjadi tarikh rasmi beliau memimpin Kerajaan Negeri Melaka. Segala kenangan dan perjalanan beliau sepanjang mengemudi negeri tersebut diabadikan dalam buku setebal 236 halaman itu.

YAB Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md. Ali merasmikan Anugerah Media Melaka 2021 pada malam tadi.

Penyertaan media bagi anugerah ini melibatkan media konvensional dan media baharu yang disertai oleh pertubuhan media seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM), Media Prima, Utusan Malaysia, KOSMO, New Strait Times (NSTP), Awani, Sinar Harian serta Melaka Hari Ini (MHI).

Terdapat lapan kategori bagi Anugerah Media Negeri Melaka 2021 yang dipertandingkan pada kali ini, iaitu Berita Cemerlang, Laporan TV Cemerlang, Kandungan Radio Cemerlang, Foto Cemerlang, Personaliti Media Cemerlang, serta dua anugerah tertinggi yang diumumkan pada kemuncak acara, iaitu Anugerah Khas Ketua Menteri serta Anugerah Emas Ketua Menteri.

Anugerah ini merupakan inisiatif Ketua Menteri Melaka untuk menghargai komitmen pihak media yang bertanggungjawab membuat liputan untuk negeri Melaka, selain dapat menghimpunkan  pengamal media yang telah membuat pelbagai liputan secara seimbang di negeri Melaka. Setiap kategori yang dipertandingkan menawarkan hadiah berjumlah RM3000 bagi Pemenang Emas, RM1500 bagi Pemenang Perak serta RM750 bagi Pemenang Gangsa. Pemenang bagi setiap kategori masing-masing turut menerima sijil penghargaan beserta piala.

Dalam ucapan awal, YAB Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md. Ali menyifatkan peranan media kepada pentadbiran kerajaan negeri Melaka sangat penting. Tambah beliau, keakraban hubungan kerajaan negeri bersama-sama dengan pihak media berlangsung dalam suasana penuh harmoni dan saling melengkapi antara satu sama lain. “Peranan yang dimainkan oleh media membolehkan kerajaan meyalurkan maklumat penting kepada rakyat terutamanya semasa PRN lepas,” jelas beliau. YAB Datuk Seri Utama Haji Sulaiman juga merakamkan penghargaan kepada pihak media yang membantu kerajaan negeri menyampaikan hasrat dalam usaha melonjakkan pembangunan rakyat menerusi sebaran maklumat yang dilakukan.

Dalam majlis berprestij tersebut, Pengarah Jabatan Penerbitan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP),Tuan Haji Razali Che Mat terpilih sebagai penerima Anugerah Khas Ketua Menteri Melaka atas penglibatan Jabatan Penerbitan, DBP yang menjalin usaha sama dengan pihak Kerajaan Negeri Melaka dengan menyiarkan liputan khas dalam majalah Dewan Masyarakat terbitan tahun 2021. Anugerah Khas ini disampaikan oleh YAB Datuk Seri Utama Sulaiman Md. Ali sebelum acara kemuncak, iaitu penyampaian Anugerah Emas Ketua Menteri Melaka kepada Ketua Pegawai Eksekutif MHI, YBhg. Datuk Seri Abdul Jalil Hamid.

Menurut Ketua Juri Anugerah Media Melaka 2021, panel hakim menghadapi kesukaran untuk menilai keseluruhan karya yang dikemukakan untuk pencalonan anugerah ini berikutan persaingan yang begitu sengit daripada pelbagai agensi media. “Pemenang yang diiktiraf dan terpilih untuk menerima anugerah pada kali ini disifatkan sebagai calon yang terbaik dalam kalangan yang terbaik berikutan dengan jumlah sebanyak 80 penyertaan yang dikemukakan menyaksikan perbezaan markah yang begitu tipis,” ujar Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Universiti Teknikal Melaka (UTEM) yang bertanggungjawab selaku Ketua Juri semasa penilaian bagi seluruh kategori.

Dalam ucapan khas Ketua Menteri sebelum berlangsungnya penyampaian anugerah kepada pemenang, YAB Datuk Seri Utama Haji Sulaiman menyatakan bahawa kerajaan negeri sentiasa menghormati prinsip kebebasan media, namun beliau turut menyarankan pihak media supaya terus menampilkan laporan yang bertanggungjawab kerana kebebasan tersebut bukan bersifat mutlak. “Pihak media harus bertanggungjawab terhadap hasil liputan, tulisan, kritikan serta menyiarkan laporan yang tidak menjatuhkan reputasi mana-mana individu,” ujar beliau semasa mengakhiri ucapan Anugerah Media Negeri Melaka 2021.

Senarai Pemenang Anugerah Media Melaka 2021

Laporan TV Cemerlang

Emas: Mohamad Faris Haikal Mohd Zakaria (Dokumentari Adat Pepatih) – MHI

Perak: Baharudin Mohamed (Lampu Solar Orang Asli) – TV3

Gangsa: Mahdi Abd Manaf (Keris Pusaka Melayu Melaka) – TV3

Kandungan Radio Cemerlang

Emas: Raihan Abdul Rahim (Melaka Bersejarah Menggamit Dunia) – RTM Melaka

Perak: Nor’ Amalina Abdul Halim (Arah Kiblat) – RTM Melaka

Gangsa: Mohammad Azizi Shahril Abd Razak (Persada Pantun) – RTM Melaka

Anugerah Rencana Cemerlang

Emas: Nazri Abu Bakar (Rumahku Muzium 2 juta) – Harian Metro

Perak: Shanika Abdullatib (Hilang Udang Geragau Lenyaplah Belacan Melaka) – BERNAMA

Gangsa: NurShuhadah Kadir (Deepavali: Hidupkan Warisan Masyarakat Chetti, Elak Kepupusan) – Awani

Anugerah Berita Cemerlang

Emas: Mohamad Fazrul bin Abdul Majid/Mohd Faiz Abu Hassan (Pencemaran Kritikal) – MHI

Perak: Amran Mulup (Tidak Sekolah Tiada Sijil Lahir) – Utusan Malaysia

Gangsa: Teh Siau Tong (Kerajaan Melaka dan Jabatan Perikanan Melaka Mencadangkan Tiga Pulau Diwartakan sebagai ‘Taman Laut’ termasuk Pulau Undan, Pulau Dodol dan Pulau Nangka) – Sin Chew Daily

Anugerah Foto Cemerlang

Emas: Iqmal Hakim Rosman (Musim Bunga Keladi Macam dekat Oversea) – Harian Metro

Perak: Ahmad Shahrin Syafeeq Ahmad Zamzuri (Year End Polls in Sarawak? Analysis Believe the November 20 Melaka Polls, as Antobe Lead to Elections in Sarawak Before the Year is Out. Uncertainty Over the Allegiance of the Soob) – NSTP

Gangsa: Rashidah Abdul Rahim (Kesan Pencemaran Tumpahan Minyak) – BERNAMA

Anugerah Personaliti Media Cemerlang

Emas: Nurul Asyikin Abdul Halim – RTM Melaka

Perak: Nor Farhana Yaacob – Sinar Harian

Gangsa: Malini a/p Rangasamy – Makkal Osai

Anugerah Khas Ketua Menteri Melaka

  • DBP
  • RTM
  • BERNAMA
  • TV3
  • Sin Chew Daily

Anugerah Emas Ketua Menteri Melaka

  • MHI
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi