17 Februari 2022, 15:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dr. Nor Hisham Ismail, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), tampil menerusi Slot Selamat Pagi Malaysia pada hari ini untuk mempromosikan Pelancaran Sekolahku Sejahtera.

Pelancaran tersebut akan diadakan pada 21 Februari 2022 (Isnin) bermula pada pukul 9.00 pagi bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) oleh YB Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin, Menteri Kanan Pendidikan Malaysia dan akan disiarkan secara langsung melalui Facebook KPM.

Konsep yang diinspirasikan oleh YB Menteri Kanan Pendidikan ini bertujuan untuk meningkatkan aspek keselamatan dan kesejahteraan kepada seluruh warga sekolah. Dalam perbincangan tersebut, Dr. Nor Hisham turut berkongsi tentang keprihatinan YB Menteri Kanan Pendidikan dan seluruh Pengurusan KPM bagi mewujudkan amalan dan nilai-nilai murni yang akan diterapkan kepada warga pendidikan dan anggota masyarakat yang terlibat secara langsung supaya dapat bersama-sama mendukung aspirasi KPM melalui program yang bakal dilancarkan itu bagi mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat dan sejahtera.

Pelbagai isu yang timbul berkaitan dengan aspek keselamatan dan kesejahteraan di sekolah telah diberikan perhatian oleh YB Menteri Kanan dan program ini diharap akan dapat meningkat kesedaran serta sifat bertanggungjawab dalam kalangan guru, pelajar, ibu bapa serta komuniti untuk memastikan sekolah menjadi institusi yang selamat dan bebas daripada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.

Masyarakat seharusnya menyedari suasana  mencabar dalam dunia pendidikan pada hari ini yang memerlukan komitmen semua pihak bagi mewujudkan institusi pendidikan yang cemerlang.

Menurut Dr. Nor Hisham juga, YB Menteri Kanan sentiasa memperuntukkan waktunya berkaitan dengan libat urus pendidikan di seluruh negara dan mendengar terus isu-isu berkaitan dengan pendidikan yang perlu diambil perhatian dan tindakan oleh KPM.

Oleh hal yang demikian, usaha atau inisiatif yang bakal dilaksanakan oleh KPM ini dapat mempertingkatkan aspek keselamatan dan kesejahteraan kepada seluruh institusi di bawah KPM. Pelancaran ini kelak turut dihadiri oleh agensi-agensi kerajaan yang berkaitan, warga KPM, pelajar, persatuan guru, persatuan ibu bapa dan komuniti.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.