Diterbitkan pada 21 Februari 2022, 14:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

 

Konsep Sekolahku SEJAHTERA dirangka bagi mewujudkan suasana sekolah yang selamat, aman, selesa, menggembirakan, membina dan menyeluruh ke arah mencapai kesejahteraan masyarakat.

Putrajaya – Bagi memperkasakan dan menyokong aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), Pelan Pembangunan Pendidikan (PPPM) 2013 – 2025 serta Anjakan 3 yang terkandung dalam PPPM, Menteri Kanan Pendidikan, YB Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin telah memperkenalkan inisiatif Sekolahku SEJAHTERA sebagai konsep yang akan memayungi pelbagai tema, inisiatif serta program Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang berteraskan nilai-nilai murni.

YB Datuk Dr. Radzi berpandangan bahawa inisiatif ke arah pembentukan budaya amalan baik di sekolah oleh guru dan murid perlu dimantapkan lagi dan dilaksanakan secara berterusan sama ada di dalam dan di luar kelas melalui aktiviti kurikulum dan kokurikulum.

Selaras dengan matlamat tersebut yang telah dibentangkan oleh Menteri Kanan Pendidikan sebelum ini, bertempat di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) Putrajaya, Majlis Pelancaran Sekolahku SEJAHTERA diadakan pada hari ini untuk menghebahkan pelaksanaannya. Konsep Sekolahku SEJAHTERA dirangka berdasarkan prinsip FPK bagi mewujudkan suasana sekolah yang selamat, aman, selesa, menggembirakan, membina dan menyeluruh ke arah mencapai kesejahteraan masyarakat.

Dalam ucapan beliau, Menteri Kanan Pendidikan berkata, terdapat pelbagai program yang menerapkan nilai-nilai murni dilaksanakan oleh KPM, namun terdapat keperluan untuk memperkenalkan konsep Sekolahku SEJAHTERA bagi mengukuhkan pelaksanaan program penerapan nilai-nilai murni sedia ada pada peringkat sekolah supaya lebih berstruktur dan bersistematik.

“Konsep Sekolahku SEJAHTERA digagaskan bagi memperkenalkan, mempromosi dan meningkatkan kefahaman terhadap elemen-elemen sejahtera yang perlu sentiasa diterap, dididik, diamalkan dan dihayati sehingga menjadi budaya semua warga sekolah,” jelas beliau dalam ucapan awalnya.

Penerapan elemen SEJAHTERA yang bermula dari peringkat prasekolah itu akan berterusan hingga ke peringkat menengah, sekali gus akan diamalkan sepanjang hayat oleh mereka. Guru-guru juga tidak akan dibebankan dengan apa-apa tugasan sampingan berikutan pengenalan konsep Sekolahku SEJAHTERA sebaik-baik sahaja konsep tersebut dilaksanakan. “Konsep ini juga bermatlamat untuk menambah baik peranan guru sebagai pemboleh daya penerapan elemen sejahtera, jelas YB Datuk Dr. Mohd. Radzi yang turut memberikan jaminan bahawa guru-guru tidak perlu khuatir tentang penambahan bebanan tugas baharu kerana konsep ini diperkenalkan untuk mewujudkan suasana harmoni di sekolah tanpa beban kerja tambahan.

Konsep Sekolahku SEJAHTERA yang akan dimulakan pada sesi persekolahan akan datang turut bermatlamat untuk melahirkan generasi muda yang hebat sekali gus mampu bersaing pada peringkat dunia. YB Datuk Dr. Mohd. Radzi menjelaskan bahawa matlamat tersebut boleh dicapai melalui penjiwaan terhadap 14 elemen penting yang terkandung di bawah Konsep Sekolahku SEJAHTERA.

“Konsep Sekolahku SEJAHTERA memberikan tumpuan kepada 14 elemen, namun tidak bermakna nilai lain itu tidak penting. Pendekatan konsep ini adalah untuk memastikan anak-anak yang lahir daripada sistem pendidikan negara mampu berdaya saing, tegas beliau.

Antara elemen penting tersebut ialah selamat, seronok, sihat, etika, empati, jati diri, adab sopan, harmoni, tekun, teliti, terampil, eksplorasi, rasional dan artikulasi. Pada masa yang sama, beliau menjelaskan pendekatan yang boleh digunakan oleh guru termasuklah menerapkan konsep tersebut melalui pelbagai aktiviti selain sesi pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas.

“Guru boleh menerapkan konsep ini secara semula jadi. Sebagai contoh, apabila guru yang berkenaan mengajar mata pelajaran Sejarah, mereka mengajar sesuatu tajuk yang berkaitan rapat dengan 14 elemen tersebut. Perkara yang paling utama ialah para pelajar dapat menjiwai konsep ini dan dapat melahirkan generasi hebat dan mampu bersaing pada peringkat dunia,” jelas beliau semasa mengakhiri ucapan pada majlis pelancaran tersebut.

Dalam majlis yang sama, turut diperdengarkan buat pertama kali lagu tema Sekolahku SEJAHTERA yang didendangkan oleh penyanyi terkenal Hakim Rusli.

 

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi