Diterbitkan pada 21 Februari 2022, 15:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Konsep Sekolahku SEJAHTERA bermatlamat untuk melahirkan insan sejahtera yang menyumbang kepada kemakmuran keluarga, masyarakat, negara dan komuniti global. Proses penerapan elemen SEJAHTERA akan berubah ansur daripada berpusat kepada guru kepada berpusat kepada murid sejajar dengan perubahan tahap persekolahan murid ke arah melahirkan insan sejahtera.

Dalam Majlis Pelancaran Sekolahku SEJAHTERA pada hari ini oleh YB Senator Datuk Dr. Mohd Radzi Md. Jidin, beliau menjelaskan bahawa konsep ini juga bermatlamat untuk menambah baik peranan guru sebagai pemboleh daya penerapan elemen sejahtera. “Penerapan elemen SEJAHTERA dalam kalangan murid perlu dilaksanakan secara holistik kerana murid yang sejahtera sudah pasti akan membentuk sekolah yang sejahtera,” jelas YB Datuk Dr. Mohd Radzi. Beliau menyatakan bahawa pendekatan di luar sekolah turut melibatkan sokongan holistik daripada keluarga dan komuniti bagi memastikan kesejahteraan murid.

Setiap aktiviti yang dilaksanakan di sekolah kelak perlu berbentuk konstruktif dan kontekstual yang menyediakan peluang untuk murid mencipta idea baharu dengan meningkatkan kemahiran seperti melakukan pembentangan, melukis peta minda dan membuat refleksi. Seiring dengan kepentingan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada hari ini telah menggariskan konsep untuk membina semula pembentukan sahsiah pelajar di Malaysia seperti yang berikut:

  • S – Selamat, Seronok, Sihat
  • E – Etika, Empati
  • J – Jati Diri
  • A – Adab Sopan
  • H – Harmoni
  • T – Tekun, Teliti, Terampil
  • E – Eksplorasi
  • R – Rasional
  • A – Artikulasi

YB Datuk Dr. Mohd. Radzi berkata, penerapan konsep Sekolahku SEJAHTERA akan dilakukan secara semula jadi tanpa memerlukan sebarang penambahan mata pelajaran baharu di sekolah. “Ini bukan mata pelajaran baharu, bukan juga sisipan serta tidak akan membebankan guru,” jelas beliau pada sidang akhbar selepas pelancaran Sekolahku SEJAHTERA di luar Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Tambah beliau, hal ini bermakna, nilai-nilai murni sedia ada akan diterapkan oleh setiap guru ketika sesi persekolahan berlangsung.

Langkah awal ini secara langsung akan membentuk semula persepsi pelajar tentang sesi pembelajaran di bilik darjah dan menjadikan sekolah sebagai platform untuk mereka membentuk sahsiah diri secara bebas tanpa sebarang tekanan.

“Konsep ini merupakan penjiwaan dan penerapan di sekolah yang perlu diberi penekanan khusus bagi membentuk generasi akan datang,” jelas Menteri Kanan Pendidikan. Tambah beliau, “pelajar dapat menjiwai konsep ini dan kita yakin jika mereka betul-betul menjiwainya, konsep ini mampu melahirkan generasi hebat dan mampu bersaing di peringkat dunia”.

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi