Oleh Reezal Ishak
22 Mac 2022, 20:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sekilas pandang pada tajuk makalah ini mungkin ada yang terfikir bahawa penulis pasti sudah hilang akal. Atau ada yang mungkin terfikir isu ini tidak berbaloi untuk dibincangkan dan hanya membuang masa semata-mata. Namun begitu, adakah benar hal ini hanya membuang masa dan terkeluar daripada landasan logik akal? Adakah persoalan ini tidak memerlukan perbincangan lanjut? Adakah jantina benar-benar suatu fakta?


Jantina dibezakan oleh rupa luaran seseorang itu secara zahirnya dan dibuktikan melalui fungsi tubuh badan mereka terutamanya melibatkan sistem pembiakan. Hal tersebut merupakan gabungan ciri-ciri anatomi dan fungsi fisiologi seseorang insan secara semula jadi. Inilah aspek asas yang membezakan antara lelaki dengan perempuan dan juga fakta untuk setiap insan sejak mereka dilahirkan.

Memang diakui dalam dunia sains perubatan dan kesihatan bahawa seseorang itu boleh dilahirkan dengan kedua-dua ciri-ciri anatomi yang ada pada lelaki dan juga perempuan. Malah dalam ajaran Islam keadaan ini juga dirujuk sebagai interseks (khunsa) yang diakui serta diterima kejadiannya. Akan tetapi, hal ini sama sekali berbeza daripada golongan yang ingin diiktiraf sebagai transgender atau golongan yang mempunyai kecenderungan orientasi seksual yang menyimpang seperti lesbian atau gay.

Tanyalah kepada sesiapa sahaja yang telah mempelajari ilmu sains biologi dan perubatan sehingga ke tahap memerhatikan fungsi sel-sel di dalam badan. Mereka pasti akan menjelaskan bahawa fungsi biologi dan selular di dalam badan kita tidak pernah menipu.

Walaupun sesetengah gangguan fisiologi mungkin berlaku kerana wujudnya pencetus tertentu sama ada yang diketahui atau tidak serta boleh menyebabkan penyakit tertentu, tetapi fungsi selular dan fisiologi manusia merupakan suatu fakta. Ovum ialah sel yang hanya dihasilkan oleh sistem pembiakan wanita, manakala sel sperma pula hanya dijumpai dalam diri seorang lelaki. Kedua-dua sel ini bertanggungjawab untuk manusia membiak secara semula jadi dan ini ialah fakta yang diketahui umum.

Pada hari ini, kemunculan semula komuniti lesbian, gay, biseksual, transgender dan pelik (LGBTQ) sangat jelas kelihatan dan suara mereka semakin lantang menuntut hak kebebasan gaya hidup mereka. Di sesetengah negara terutamanya di Barat, komuniti mereka diterima secara terang-terangan oleh masyarakat moden kini. Tidak dapat dinafikan, ini suatu budaya yang kembali semula. Jika dilihat dalam manuskrip ajaran Islam, kisah perlakuan homoseksual ini membawa kita kembali ke zaman Nabi Luth AS dan diriwayatkan kisah kaum Nabi Luth yang mendapat kemurkaan Allah SWT kerana gaya hidup homoseksual mereka yang berdosa itu. Kejadian ini berlaku beribu-ribu tahun yang lalu, bahkan sebelum kedatangan zaman Nabi Muhammad SAW lagi. Julat antara zaman kita pada hari ini dengan Nabi Muhammad SAW adalah lebih daripada 1400 tahun dahulu yang memperlihatkan betapa jauhnya jarak masa itu. Namun begitu, ajaran Islam telah digambarkan sebagai pemikiran yang mundur dan tidak progresif oleh sesetengah masyarakat moden pada hari ini.

Walau bagaimanapun, lihatlah siapakah yang mundur ke belakang sekarang? Perkahwinan sesama jantina yang tidak akan menghasilkan bayi sememangnya fakta!

Seorang transgender yang mengubah jantinanya daripada lelaki kepada perempuan tidak akan dapat hamil ialah fakta benar. Seseorang yang menukar ciri anatomi mereka secara luarannya sahaja untuk kelihatan seperti jantina yang bertentangan juga bukanlah fakta. Mana-mana agama, kepercayaan, ajaran, malah penyokong tegar gerakan LGBTQ pasti akan bersetuju bahawa ciri-ciri anatomi dan fungsi fisiologi manusia yang ada pada setiap manusia semasa mereka dilahirkan melibatkan fakta biologi. Adakah mereka dapat menafikan fakta tersebut? Oleh hal yang demikian, dari manakah datangnya kekeliruan ini?

Bolehkah seseorang yang dilahirkan 15 tahun lalu mengikut kalendar Gregorian pergi ke kedai dan membeli sebungkus rokok kerana “dalam dirinya” dia merasakan bahawa dia sudah berumur 18 tahun? Atau bolehkah seseorang yang dilahirkan secara semula jadi sebagai lelaki mengatakan walaupun dia dilahirkan lelaki tetapi “dalam dirinya” dia berasa seperti seorang wanita dan itulah sebabnya dia kini menjadi seorang wanita? Isu tentang kekeliruan jantina atau orientasi seksual yang menyimpang daripada norma kehidupan dalam diri seseorang pastinya ada kaitan dengan keadaan psikologi mereka, bukannya disebabkan oleh faktor genetik.

Disebabkan hal itu, tuntutan golongan LGBTQ yang mahu masyarakat masa kini menerima gaya hidup mereka sebagai norma kehidupan tidak akan dapat difahami dengan baik. Perkara yang diperlukan oleh golongan ini sudah pasti melibatkan bantuan atau campur tangan daripada pakar perubatan dan kesihatan untuk memperbetulkan semula “kesihatan dalaman” mereka. Kemungkinan besar sesuatu perkara telah berlaku dalam hidup mereka sehingga menjadi titik tolak yang mengubah kehidupan mereka untuk menjadi sebahagian daripada golongan LGBTQ.

Oleh sebab itu, demi kepentingan masyarakat secara umumnya adalah lebih baik jika kita bersama-sama membantu golongan LGBTQ ini secara langsung atau tidak langsung untuk membimbing mereka kembali ke landasan yang benar, bukannya mengutuk serta mengeji mereka secara terbuka.

Fikirkanlah kembali kesannya kepada generasi muda yang akan datang jika masyarakat terpaksa menerima gaya hidup golongan LGBTQ ini secara terbuka. Bayangkan betapa kelirunya seorang kanak-kanak yang sedang membesar, tetapi tidak dapat memahami sepenuhnya aspek asas dalam kehidupan tentang kewujudan jantina dan perbezaan jantina yang berlainan. Menyaksikan perkahwinan sesama jantina di dalam media sosial atau platform media yang lain sudah pasti akan menjadi terlalu berat bagi minda kanak-kanak yang sedang memproses situasi itu walau apa-apa pun justifikasi yang diberikan.

Walaupun kita kini hidup dalam dunia serba moden, namun tidak bermakna kita harus menerima gaya hidup golongan LGBTQ yang terkeluar daripada norma biologi berdasarkan pada hak asasi manusia semata-mata. Terdapat nilai moral yang perlu kita tanamkan kepada generasi muda dan pada masa yang sama bertindak memelihara kewujudan dan kesucian kejadian manusia di alam ini.

Pada hakikatnya, ciptaan Tuhan tidak pernah salah. Seseorang itu mungkin berhujah bahawa, jika penciptaan Tuhan adalah sempurna, maka mengapakah lahirnya manusia yang cacat di dunia ini?

Hal tersebut merupakan ujian dan juga pembuktian kepercayaan kita kepada kewujudan Tuhan dan alam semula jadi yang mempunyai rahsianya yang tersendiri. Jelas sekali, sifat biologi kita juga telah membuktikan hanya wanita yang boleh melahirkan anak dan hal ini pastinya suatu fakta.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.