Oleh Aisyah A.
23 Mac 2022, 12:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur ‒ Dalam kaji selidik global Airport Service Quality (ASQ) yang dijalankan oleh Airports Council International (ACI), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) telah dipilih sebagai antara lapangan terbang terbaik dunia dalam kategori masing-masing bagi tahun 2021.

Setiap industri di Malaysia sentiasa berusaha untuk memberikan servis yang terbaik kepada pelanggan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) melaporkan bahawa KLIA dan LIA mencapai skor sempurna 5.00 dalam kategori masing-masing iaitu lapangan terbang yang memberi perkhidmatan kepada lebih 40 juta pelanggan setahun dan dua hingga lima juta pelanggan setahun. Penghargaan tersebut diberikan oleh ASQ berdasarkan keseluruhan kepuasan penumpang terhadap keselamatan terminal, kemudahan, perkhidmatan dan kebersihan lapangan terbang.

Penghargaan yang diberikan kepada kedua-dua lapangan terbang ini akan terus memberikan dorongan kepada MAHB untuk terus melonjakkan prestasi perkhidmatan dan mengekalkan piawaian tinggi perkhidmatannya, terutamanya jangkaan peningkatan bilangan penumpang setelah pengumuman pembukaan semula sempadan Malaysia pada 1 April 2022 selepas negara menuju ke fasa endemik.

Sebanyak 4.66 juta penumpang direkodkan pada bulan Februari 2022, yakni 2.54 juta penumpang atau 55 peratus disumbangkan oleh rangkaian lapangan terbang tempatannya dan 2.12 juta atau 45 peratus daripada asetnya di Turki, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISG).

Malaysia juga merekodkan pergerakan trafik penumpang domestik berjumlah 2.27 juta dan antarabangsa sebanyak 0.28 juta, manakala ISG mencatatkan 1.09 juta penumpang domestik dan 1.03 juta penumpang antarabangsa. Bagi operasi kargo pula, kumpulan itu merekodkan peningkatan jumlah tan sebanyak 17.4 peratus bulan lepas yang mana kira-kira 86,768 tan metrik bagi operasi kargo di Malaysia dan juga di Turki, berbanding dengan tempoh yang sama tahun lepas.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)

(Sumber foto: KLIA)

Menyingkap sejarah pembukaan, KLIA dibuka secara rasmi pada 27 Jun 1998, lapangan terbang ini boleh menampung sejumlah 35 juta penumpang setahun dan 1.2 juta tan metrik kargo pada ketika itu. Pada tahun 2006, KLIA telah berjaya menduduki tempat yang ke-13 di peringkat dunia dari segi bilangan penumpang asing di mana sebanyak 24 129 748 penumpang telah direkodkan menggunakan lapangan terbang ini. Pada tahun yang sama, KLIA juga telah mengendalikan 677,446 tan metrik kargo untuk menduduki tempat ke-30 di dunia dari segi pengendalian kargo. Lapangan terbang ini merupakan lapangan terbang utama di Malaysia dan merupakan yang terbesar di negara ini. Ia terletak di daerah Sepang, Selangor dan hampir 50 kilometer jaraknya dari ibu negara, Kuala Lumpur.

Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA)

(Sumber foto: LIA)

Selain itu, LIA merupakan lapangan terbang yang terletak di bahagian barat daya Pulau Langkawi di negeri Kedah. Pada tahun 2015, LIA telah menerima sejumlah 2 336 177 penumpang dan 30 853 pergerakan pesawat. Pada bulan September 2018, kapasiti LIA dinaiktarafkan kepada empat juta penumpang dalam setahun. LIA pada asalnya merupakan pangkalan udara tentera Jepun pada tahun 1945 dan seterusnya digunakan oleh tentera Inggeris. Pembinaan LIA bermula pada tahun 1991 dan telah siap pada Disember 1993. Setelah itu, negeri Kedah mempunyai dua kemudahan lapangan terbang, iaitu Langkawi International Airport (LIA) dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.