30 Mac 2022, 14:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyerahkan peruntukan bernilai kira-kira RM2 juta kepada Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dalam program Majlis Penyerahan Baucar Buku Semarak Membaca 2022 yang berlangsung di PNM pagi semalam.

Program di bawah Insentif Pemberian Baucar dan Diskaun bagi Produk Kesenian dan Kebudayaan pada tahun 2022 ini dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri.

Penyerahan replika cek bernilai RM1.9 juta oleh YB Dato’ Sri Nancy kepada Presiden MAPOBA, Arief Hakim Sani Rahmat.

“Pandemik yang melanda seluruh dunia telah menyebabkan kejatuhan jualan fizikal di semua kedai buku, serta pembatalan semua acara pesta buku utama seperti Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), Big Bad Wolf, Popular Bookfest, dan pelbagai lagi pesta buku peringkat negeri,” ujar YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri semasa ucapan perasmian Majlis Penyerahan Baucar Buku Semarak Membaca 2022.

“Keadaaan ini tidak boleh berterusan. Sebagai sebuah kementerian yang bertanggungjawab bagi memperkasakan seni, budaya dan warisan berteraskan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN), saya sentiasa menyokong usaha PNM dalam usaha memastikan Pelan Pemulihan Sektor Industri Buku mencapai satu tahap yang lebih kukuh,” tambahnya lagi.

Agihan baucar buku ini telah diperluas kepada 371 buah kedai buku pada tahun ini berbanding dengan 168 buah kedai buku yang terlibat pada tahun lepas.

Baucar buku bernilai RM10.00 setiap satu boleh ditebus oleh warganegara sahaja bermula dari 1 April hingga 31 Ogos 2022 dengan pembelian minimum sebanyak RM20.00 dan ke atas dalam satu resit transaksi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.