1 April 2022, 19:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Baucar Buku “Semarak Membaca” yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) baru-baru ini dijangka akan mengembalikan semula nyawa industri buku negara.

Menurut Presiden MABOPA, Arief Hakim Sani Rahmat, baucar buku ini mampu membantu kedai buku di seluruh negara menyuntik semangat membaca dalam kalangan masyarakat menerusi aktiviti pembelian buku.

Program anjuran MOTAC ini merupakan program susulan selepas penganjuran program tersebut mendapat sambutan yang hangat pada tahun lepas.

Sesi temu bual berlangsung antara Arief Hakim Rahmat Sani dengan Syahril A. Kadir menerusi siaran langsung Garasi TV.

“Alhamdulillah, responsnya sangat bagus. Kami berjaya mencapai petunjuk prestasi utama yang ditetapkan pada masa itu. Pihak kementerian pun memandang positif terhadap program ini dalam usaha menggalakkan orang ramai membaca,” jelasnya.

Tambahnya, program ini akan diteruskan dan ditingkatkan dengan pertambahan kedai buku yang terlibat, iaitu sebanyak 371 buah kedai buku berbanding dengan 167 buah kedai buku pada tahun lalu.

Kedai buku yang terpilih terdiri daripada 170 buah kedai buku fizikal di seluruh negara, 200 buah kedai buku e-dagang menerusi aplikasi Shopee dan sebuah kedai buku dalam talian menerusi E-sentral Ebook Portal.

Penerima baucar buku juga layak didaftarkan sebagai ahli u-Pustaka, iaitu sebuah pelantar digital PNM yang menyediakan koleksi bahan bacaan dalam talian secara percuma dan dapat diakses di mana-mana juga mereka berada.

Kerajaan sebelum ini telah memperuntukkan sejumlah RM1.9 juta bagi menjayakan program Baucar Buku Semarak Membaca pada tahun ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.