Oleh Norizan Ismail
28 April 2022, 11:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Oleh Bahagian Komunikasi, Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif, HASiL.

Musim pengisytiharan pendapatan penggajian Tahun Taksiran 2021 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) akan melabuhkan tirainya pada 30 April 2022 bagi yang mengemukakan borang secara manual, manakala menerusi e-Filing pada 15 Mei 2022.

Bagi sesetengah individu, bulan ini sememangnya dinantikan kerana berkemungkinan mereka akan menerima bayaran balik cukai (tax refund) sekiranya cukai yang kena dibayar lebih rendah daripada amaun Potongan Cukai Bulanan atau Ansuran CP500.

Sungguhpun begitu, terdapat juga pembayar cukai yang melaporkan cukai di saat-saat akhir yang seterusnya mendorong kepada kesilapan kecil dalam pelaporan cukai mereka.

Lanjutan kepada perkara itu, tindakan pindaan taksiran perlu dilakukan. Dalam artikel ini, terdapat beberapa persoalan dan tindakan yang perlu dilakukan bagi memastikan pengisytiharan cukai adalah tepat dan betul berdasarkan undang-undang percukaian.

Pembayar cukai perlu mengetahui hal berkaitan dengan cukai bagi memastikan pengisytiharan cukai tepat berdasarkan undang-undang.

Adakah pindaan terhadap taksiran yang telah dilaporkan kepada HASiL masih boleh dilakukan?

Ya, pindaan masih boleh dibuat terhadap taksiran yang telah dilaporkan kepada HASiL. Terdapat tiga kaedah yang boleh dilakukan oleh pembayar cukai seperti berikut:

  • Secara manual: Pembayar cukai hadir ke cawangan HASiL sebelum tempoh yang ditetapkan menurut subseksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) (tiada penalti dikenakan bagi tambahan cukai). Pembayar cukai diingatkan untuk membawa dokumen penting seperti surat rayuan atau borang CP15C (permohonan relif kepada Ketua Pengarah HASiL berkenaan kesilapan atau khilaf); salinan e-Filing atau borang kertas yang telah dihantar; dokumen dan resit yang berkaitan dengan pindaan taksiran berkenaan, seterusnya diserahkan ke cawangan HASiL yang mengendalikan fail cukai pembayar cukai tersebut; atau
  • Borang e-BE Tahun Taksiran 2021 (individu pemastautin yang tidak menjalankan perniagaan) yang dikemukakan melalui e-Filing dalam tempoh 1 Mac 2022 hingga 15 Mei 2022 boleh menghantar permohonan pindaan secara dalam talian, melalui https://mytax.hasil.gov.my iaitu e-Permohonan Pindaan BE bagi Tahun Taksiran 2021 bermula pada 1 April 2022. e-Permohonan Pindaan BE hanya terpakai bagi kes pembayar cukai yang terlebih melaporkan pendapatan dan yang terkurang menuntut pelepasan atau rebat cukai di bawah subseksyen 131(1) ACP 1967. Jika borang BE asal dikemukakan menggunakan Borang Manual, kaedah ini tidak terpakai; atau
  • Borang Nyata Terpinda (BNT) Tahun Taksiran 2021 turut disediakan di portal rasmi HASiL mulai 1 Mei 2022 bagi pembayar cukai yang ingin membuat pindaan sendiri atas maklumat atau taksiran bagi membetulkan kesilapan dalam Borang Nyata berhubung dengan:
    • pendapatan terkurang atau tidak lapor;
    • perbelanjaan atau tuntutan lain terlebih tuntut; atau
    • elaun modal, insentif atau pelepasan yang terlebih tuntut.

Ringkasnya BNT ini perlu digunakan bagi pindaan pengisytiharan cukai yang akan meningkatkan amaun taksiran atau jumlah cukai kena dibayar. BNT perlu dikemukakan dalam tempoh enam bulan dari tarikh yang ditetapkan dalam ACP 1967 bagi pengemukaan Borang Nyata (BN) asal, termasuklah yang dihantar secara e-Filing dalam tempoh yang ditetapkan. BNT boleh dikemukakan ke cawangan HASiL yang mengendalikan fail cukai pendapatan pembayar cukai sama ada secara serahan tangan atau melalui pos.

Untuk maklumat lanjut, layari Portal Rasmi HASiL > Perundangan > Garis Panduan > Garis Panduan Bil. 1 Tahun 2020: Prosedur Pengemukaan Borang Nyata Terpinda.

Pindaan maklumat asas seperti nombor telefon, e-mel, alamat surat-menyurat, kediaman dan premis perniagaan serta nama dan akaun bank boleh dibuat melalui e-Kemaskini. Sebagai contoh, jika pembayar cukai tersilap mengisi nombor akaun bank pada borang nyata cukai yang asal.

Apakah situasi kesilapan laporan dan kaedah pindaan yang perlu  dilaksanakan?

Situasi

Kaedah Pindaan

Tidak sengaja terlebih lapor pendapatan atau terkurang tuntut pelepasan dalam Borang BE asal yang dikemukakan dalam tempoh yang ditetapkan.

Contoh:
A telah melaporkan pendapatan penggajian sebanyak RM500 000 dalam e-BE Tahun Taksiran 2021 pada 1 Mac 2022. A menyedari kesilapan tersebut dan pendapatan yang betul adalah RM50 000.

Pindaan secara dalam talian iaitu melalui e-Permohonan pindaan BE yang boleh digunakan mulai 1 April 2022.

Jika bukan e-BE, rayuan secara manual ke cawangan HASiL berdekatan.

Tidak sengaja terkurang lapor pendapatan atau terlebih tuntut pelepasan.

Contoh:
A telah menuntut pelepasan anak di bawah 18 tahun seramai tiga orang dalam e-BE TT2021. Isteri A juga menuntut bilangan anak yang sama. Setelah berbincang, A dan isteri bersetuju dua orang anak dituntut oleh isteri. Dan A boleh menuntut bilangan seorang anak sahaja.

Pembayar cukai boleh mengemukakan surat rayuan bersama-sama dokumen yang berkaitan ke cawangan HASiL yang mengendalikan fail atau

Pembayar cukai yang telah mengemukakan BN asal dalam tempoh yang ditetapkan boleh mengemukakan BNT dalam tempoh enam bulan daripada tarikh akhir pengemukaan BN asal. Pembayar cukai perlu kemukakan BNT secara serahan tangan atau pos ke cawangan yang mengendalikan fail pembayar cukai.

Apakah jenis kesilapan yang biasa diterima oleh HASiL?

  • Kegagalan melaporkan pendapatan yang betul.
  • Tidak menuntut amaun pelepasan yang dibenarkan, seperti tertinggal menuntut insurans nyawa, derma, caruman Tabung SSPN atau pelepasan anak.
  • Kesilapan yang timbul daripada salah faham undang-undang. Misalnya, pada tahun 2021, ramai ibu bapa yang membeli komputer atau tablet bagi kegunaan anak-anak untuk belajar secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR). Resit pembelian tersebut telah diletakkan atas nama anak. Oleh yang demikian, ibu bapa adalah tidak layak menuntut pelepasan ini kerana resit tersebut diletakkan atas nama anak. Oleh itu, pastikan sebarang pembelian adalah diletakkan atas nama pembayar cukai bagi tujuan menuntut pelepasan tersebut.
  • Terlebih menuntut pelepasan atau derma. Misalnya, derma yang layak dituntut adalah derma kepada kerajaan atau kerajaan negeri atau institusi yang layak di bawah Seksyen 44(6). Senarai institusi boleh disemak di portal rasmi HASiL.

Berapakah kali pindaan yang boleh dibuat?

Pembayar cukai yang telah mengemukakan BN dalam tempoh ditetapkan dibenarkan untuk membuat pindaan melalui e-Permohonan Pindaan BE dan melalui BNT dan terhad kepada sekali sahaja.

Walau bagaimanapun, sekiranya masih terdapat pindaan selepas permohonan pindaan pertama dibuat, pembayar cukai perlu mengemukakan surat rayuan berserta dokumen dan resit yang berkaitan ke cawangan yang mengendalikan fail cukai mereka.

Pastikan semakan telah dibuat dengan betul supaya tidak perlu lagi membuat pindaan atas pindaan.

Adakah pindaan yang dibuat sendiri melalui BNT oleh pembayar cukai boleh menyebabkan perubahan pada taksiran cukai?

Ya, betul. Terdapat beberapa pindaan sendiri yang menyebabkan perubahan, antaranya termasuklah:

  • Daripada tidak kena cukai kepada kena cukai;
  • Daripada kena cukai kepada cukai tambahan.
  • Daripada terima bayaran balik berkemungkinan tiada bayaran balik, malah akan wujud baki cukai kena dibayar.

Elakkan Kesilapan dalam Pelaporan Cukai

Pastikan kiraan manual dilakukan bagi resit yang ada terlebih dahulu, kumpulkan dalam satu fail, input boleh dikunci masuk pada Borang Nyata manual atau e-Filing. Tidak salah untuk membuat kiraan beberapa kali atau mengemas kini maklumat dalam e-Filing untuk kepastian selagi belum klik butang hantar.

Membuat perbandingan dengan pasangan (bagi yang telah berkahwin), dengan cara membuat pengiraan cukai (tax computation) terlebih dahulu. Dari situ pelanggan dapat mengenal pasti siapa yang patut menuntut pelepasan anak dan menikmati penjimatan cukai, seterusnya jika telah berpuas hati barulah klik butang hantar. Sering kali terjadi kes di mana, suami atau isteri menuntut anak yang sama dalam e-BE masing-masing disebabkan tiada perbincangan antara pasangan. Proses audit akan dijalankan atas pelaporan maklumat yang tidak tepat oleh pembayar cukai.

Kesimpulannya, masalah tersalah lapor ini boleh dielakkan jika pembayar cukai menyemak dengan meneliti maklumat yang telah dikunci masuk berserta resit berkaitan sebelum borang BE dihantar. Pembayar cukai juga dinasihatkan supaya cakna dengan maklumat terkini percukaian yang boleh diakses di portal rasmi HASiL atau boleh merujuk artikel yang pernah diterbitkan sebelum ini. Panduan mengisi borang borang e-Filing juga boleh dicapai menerusi laman portal HASiL.


Terima kasih #KeluargaMalaysia, jalankan tanggungjawab anda untuk melapor dan membayar cukai dengan betul demi kelestarian percukaian negara.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!