24 Ogos 2022, 19:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bersempena dengan Ekspo Buku Malaysia dan Persidangan Buku Antarabangsa 2022 bertempat di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan berangkat menzahirkan titahnya.

Dalam majlis tersebut, baginda menzahirkan ucapan terima kasih kepada Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) kerana memilih buku Striving for Inclusive Development: From Pangkor to a Modern Malaysian State, terbitan Oxford University Press pada tahun 2019, untuk penulisnya diperakui sebagai penerima Anugerah Perdana: Tokoh Penulis Diraja.

Yang berikut diperturunkan titah baginda.


Bismillahirahmanirahim.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Ekspo Buku Malaysia dan Persidangan Buku Antarabangsa 2022.
  1. Bermula daripada minat membaca dan mengumpulkan buku, kini Allah SWT telah membuka dan mendorong hati beta memberanikan diri ke alam penulisan. Dengan izin-Nya, Charting the Economy yang diterbitkan pada tahun 2017 oleh Oxford University Press ialah buku pertama yang beta usahakan.
  2. Sering kali diceritakan pemikiran yang terlintas dalam minda seorang ibu ketika menanggung berat kandungannya pada waktu penghujung kehamilan, bahawa cukuplah dengan sekali pengalaman ini, dia tidak berhasrat untuk hamil lagi. Realitinya sangat berbeza. Setelah bayi selamat dilahirkan, dan setelah bayi meraut usia, hasrat mendapatkan seorang lagi cahaya mata kembali hidup dalam fikiran. Striving for Inclusive Development: From Pangkor to a Modern Malaysian State, buku kedua yang dihasilkan adalah menyamai semangat seorang ibu yang tidak akan terhenti setelah melahirkan bayi pertama.

    Hasil karya penulisan DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, buku Striving for Inclusive Development: From Pangkor to a Modern Malaysian State dan Charting the Economy.
  3. Striving for Inclusive Development: From Pangkor to a Modern Malaysian State menghamparkan penemuan kajian mengenai pencapaian kemajuan Malaysia yang mengagumkan berdasarkan analisis komprehensif data-data ekonomi dan sosial dalam tempoh 150 tahun, bermula dari Perjanjian Pangkor pada tahun 1874. Penyelidikan, kajian dan analisis yang dilakukan mengambil masa hampir 20 tahun; melibatkan proses kerja yang sangat mencabar untuk mendapatkan data yang tersimpan di pelbagai tempat, dalam bentuk rekod yang tidak seragam; disusuli kemudiannya dengan proses memilih dan menapis serta cuba menyelaraskan dan menyeragamkan maklumat dan data yang dikumpulkan.
  4. Perjalanan menghasilkan buku, menuntut kepada kesungguhan, ketekunan, ketabahan dan kesabaran. Nikmat bagi seorang penulis, diperoleh apabila buku yang dihasilkan dijadikan bahan bacaan – dijadikan bahan rujukan, berupaya menjadi sumber ilmu kepada masyarakat.

Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda:

Apabila seseorang anak Adam itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: pertama, sedekah jariah; kedua, ilmu yang dimanfaatkan; dan ketiga, anak soleh yang mendoakan untuknya.

Semoga Allah SWT melimpahkan berkat kepada usaha yang beta rintis dan menerimanya sebagai usaha yang memiliki unsur-unsur keilmuan.

  1. Di lembaran pertama Striving for Inclusive Development: From Pangkor to a Modern Malaysian State, beta rakamkan serangkap pantun kepada kedua orang didik beta, Raja Azlan Muzzaffar Shah dan Raja Nazira Safya:

Sejambak melati ayahanda suntingkan,
    Buat anakanda pewaris watan;
Sejarah negara ayahanda paparkan,
    Moga anakanda jadikan pedoman.

  1. Didik pertama beta, Raja Azlan Muzzaffar Shah, diputerakan pada tahun 2008, 51 tahun selepas tertubuhnya Persekutuan Tanah Melayu sebagai sebuah negara merdeka yang berdaulat; sementara Raja Nazira Safya menghirup udara negara yang telah 54 tahun merdeka ketika diputerakan pada tahun 2011. Putera dan puteri beta diputerakan dalam sebuah negara merdeka dan makmur, sebuah negara yang telah memiliki pelbagai prasarana moden, dan melalui kehidupan dalam dunia yang dilengkapi teknologi yang semakin canggih; jauh daripada alam kanak-kanak yang pernah beta alami, malah amat jauh daripada persekitaran yang di alami oleh putera dan puteri sultan ketika Perjanjian Pangkor dimaktubkan. Oleh itu, mereka berdua, begitu juga anak-anak seangkatan dengan mereka, wajib diinsafkan dengan sejarah dan latar belakang negeri dan negaranya.
  2. Seminggu lagi, negara akan menyambut ulang tahun Hari Kemerdekaan ke-65. Anak-anak yang dilahirkan selepas 31 Ogos 1957, mereka dilahirkan dalam sebuah negara merdeka, mereka kini telah mencapai usia 65 tahun, ramai yang sudah memiliki cucu, dan berstatus datuk dan nenek. 65 tahun berada di negara merdeka, sepatutnya memberikan masa yang cukup untuk negara ini memiliki warga yang bersatu teguh, warga yang memiliki semangat kenegaraan berpijak di bumi yang sama – menjunjung langit yang sama, menghayati semangat kesetiaan kepada raja dan negara. Namun secara hakikatnya, terdapat jurang antara impian dan kenyataan.
  3. Striving for Inclusive Development: From Pangkor to a Modern Malaysian State atau “Berusaha ke Arah Keterangkuman” mengimbas, memperingatkan dan mempromosikan konsep “keterangkuman” dalam kalangan warga Malaysia, menjamin tidak ada warga yang merasakan dirinya tersisir dan terpinggir, memastikan setiap warga dikenali (recognize) dan dihormati. Dalam bab 10, halaman 457, beta catatkan:

The paramount challenge facing the country is that of becoming a cohesive society which offers all of its citizens a voice, respects and celebrates diversity, and places effective checks on those entrusted with power. To these ends, institutions must build trust, operate for the benefit of the people, and be accountable to the whole nation. Political power must be more widely distributed and decentralized, so as to reduce the chances of malfeansance and abuse”.

  1. Beta berpendirian, negara akan mencipta kejayaan lebih gemilang jika setiap warga diberikan peluang yang saksama untuk dapat menikmati faedah daripada pembangunan yang berlaku di dalam negara, agar tercipta sebuah masyarakat yang adil. Negara, insya-Allah akan dilimpahi kecemerlangan jika melakukan yang makruf dan memerangi kemungkaran. Setiap anak yang dilahirkan di dunia ini, ditentukan keluarga dan kaum kelahirannya oleh Allah SWT; dan bukannya atas pilihan mereka sendiri.

Firman Allah SWT dalam Surah Hud, ayat 118 dan 119 bermaksud:

Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu.  (Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan. Tetapi orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu di dalam agama ALLAH); dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menjadikan manusia…

Ayat 13, surah al-Hujurat bermaksud:

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah mencipta kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).  Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya)…

  1. Bumi yang kita pijak ini didiami oleh warga pelbagai kaum, yang menganuti pelbagai agama, mengamalkan pelbagai budaya, menguasai pelbagai bahasa. Bumi yang kita pijak ini memiliki segala komponen perbezaan dari segi kaum, agama, budaya dan bahasa untuk mementaskan teater persengketaan. Alhamdulillah, bumi ini dikurniai watak dan penulis skrip yang tidak memilih untuk mementaskan teater persengketaan. Melalui hikmah kebijaksanaan pemimpin terdahulu yang mengasaskan kemerdekaan negara, elemen yang pelbagai itu berjaya digabungkan dan dicantumkan, lalu dibina tenaga dan kekuatan, menyusun gerakan dan tuntutan sehingga berjaya tertubuhnya sebuah negara merdeka Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957, disusuli dengan penubuhan Malaysia pada tahun 1963, sebuah negara yang aman lagi tenteram, makmur lagi sejahtera.
  2. Malah doa yang dipimpin oleh Mufti Negeri Sembilan, Syeikh Ahmad bin Mohd Said, pada pagi 31 Ogos 1957 bernada inklusif, kandungan doa tersebut antara lain memohon, “Ya, Allah! Jadikanlah bagi bangsa kami, kaum yang lain dan negara ini penjaga daripada segala bala, yang menghalang kami dan mereka daripada sebarang pencerobohan. Bantulah kami menewaskan segala musuh dan orang yang dengki. Zahirkanlah kemarahan-Mu dan kemurkaan-Mu kepada orang yang melampau dan yang melakukan kerosakan…”
  3. Namun demikian, warga Malaysia jangan terlalu alpa dalam dendangan gurindam kejayaan, kerana kejayaan yang telah dinikmati selama ini tidak terjamin kekal berterusan, jika warga bersifat alpa. Warga perlu mengambil peringatan akan firman Allah SWT dalam Surah al-Anfal, ayat 53 yang bermaksud:

Balasan yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah dikurniakan-Nya kepada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa-apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah Maha Mendengar Maha Mengetahui.

  1. Ketika berada diambang menyambut Hari Ulang Tahun Kemerdekaan kali ke-65, sewajarnya kita memperingatkan diri untuk tidak melakukan perkara-perkara yang boleh menyebabkan kemurkaan Ilahi hingga berubah nikmat yang kita kecapi selama ini melalui perbuatan dan tindakan yang bersifat:

Pertama: Menidakkan ciptaan dan perintah Ilahi.

Kedua: Bercanggah dengan semangat yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ketiga: Mengetepikan keadilan.

  1. Sedarilah dan terimalah hakikat sejarah, pencapaian kejayaan Malaysia yang menakjubkan selama ini ialah hasil usaha bersama setiap warga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, yang menganut pelbagai agama, berlatar belakang pelbagai budaya dan bertutur dalam pelbagai bahasa. Kepelbagaian ini hendaklah dilihat sebagai aset yang wajib diharmonikan untuk membina khazanah kekayaan negara dengan mengamalkan budaya keterangkuman atau inclusiveness, hingga terbentuknya warga yang kukuh berpadu dalam kepelbagaian (unity in diversity).
  2. Kepada-Mu, Ya Allah, hamba-Mu bersyukur dikurniakan anugerah Tokoh Penulis Diraja. Semoga anugerah ini menyuntikkan keinsafan dalam diri hamba-Mu ini, menyedari akan lautan ilmu yang masih dalam yang perlu diselami. Semoga anugerah ini akan menjadi sumber kekuatan meningkatkan azam hamba-Mu untuk berusaha menghasilkan penerbitan seterusnya selepas ini.

Wabillahi taufik wa al-hidayah,

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.


Demikianlah titah DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam majlis tersebut yang berlangsung pada 24 Ogos 2022. Semoga titah baginda ini dijadikan pedoman oleh seluruh Keluarga Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.