Oleh Mubarak Ismail
17 Jun 2022, 10:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Manjung – Program Sekolah Amanah merupakan program yang berfungsi untuk membantu meningkatkan pencapaian sekolah-sekolah terpilih dalam bidang akedemik, hal ehwal pelajar, kokurikulum dan lain-lain.

Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Samudera (SMK Seri Samudera) yang merupakan Sekolah Amanah Negeri Perak di bawah Program Sekolah Amanah diuruskan oleh Yayasan Amir dan dibimbing oleh LeapEd Services Sdn. Bhd. merupakan antara 94 buah sekolah yang dipilih oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menyertai program tersebut.

DYMM Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim melawat tapak pameran kreativiti dan inovasi di SMK Seri Samudera.

“Program Sekolah Amanah dimulakan oleh KPM bagi menjalankan program transformasi dalam persekitaran pembelajaran di sekolah awam melalui kerjasama bijak antara sektor awam dengan swasta. Apabila SMK Seri Samudera dipilih sebagai Sekolah Amanah Negeri Perak di bawah KPM pada tahun 2017, peningkatan prestasi para pelajar semakin meningkat dan menyerlah. Hasilnya, sehingga hari ini pelbagai kejayaan dalam kalangan pelajar telah berjaya diraih pada peringkat daerah, negeri dan antarabangsa,” ujar Puan Sahila Shukor, Pengetua Sekolah SMK Seri Samudera dalam Majlis Keberangkatan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim ke sekolah tersebut semalam.

Menurut Shahnaz Al-Sadat, Pengerusi LeapEd Services Sdn. Bhd. sewaktu menyampaikan sembah taklimat Program Sekolah Amanah, Sekolah Amanah merupakan sekolah awam yang diurus secara bersama antara pihak swasta dengan pemimpin sekolah kerajaan dan dikawal selia KPM.

Selain itu, Sekolah Amanah juga diberikan lebih kebebasan dalam membuat keputusan dan tanggungjawab bagi meningkatkan prestasi pelajar di samping bermatlamat untuk membawa perubahan terhadap prestasi sekolah tanpa mengira pencapaian semasa, iaitu daripada sederhana kepada baik dan baik kepada lebih baik.

Antara fungsi pelaksanaan Program Sekolah Amanah ialah:

  • Melonjakkan prestasi sekolah
  • Meningkatkan keberkesanan pengurusan sekolah
  • Menambah baik proses penyampaian pengajaran
  • Menghasilkan lebih banyak guru cemerlang yang serba boleh
  • Meningkatkan pembangunan modal insan
  • Memupuk pemimpin masa depan melalui kecemerlangan pendidikan yang holistik

“Sekolah Amanah akan mempunyai lebih autonomi dalam membuat keputusan berkaitan dengan kurikulum, kewangan dan sumber manusia bagi menggalakkan inovasi dan menjadi lebih responsif terhadap keperluan komuniti sekolah. Di samping itu, autonomi yang diberikan merangkumi kebebasan memilih kandungan kurikulum, pengagihan peruntukan mengikut keperluan, penyediaan insentif berasaskan prestasi dan pemilihan guru dan kakitangan bukan guru,” jelas Shahnaz Al-Sadat.

Tambah beliau, setiap Sekolah Amanah dibantu oleh sepasukan rakan pendidik yang berganding bahu dengan kakitangan sekolah untuk menambah baik amalan kepimpinan dan juga kemahiran pengajaran. Program itu dirangka dengan tumpuan untuk mengubah peranan guru di dalam bilik darjah dan mentakrif semula konsep kerja rumah dan aktiviti bilik darjah.

Matlamat Strategik Program Sekolah Amanah

SG1 – Membangunkan kepimpinan berkualiti tinggi

SG2 – Menambah baik kualiti pengajaran dan pembelajaran

SG3 – Memaksimumkan potensi dan pencapaian murid

SG4 – Memperkukuh pelibatan ibu bapa, komuniti dan pihak berkepentingan lain.

Turut hadir mengiringi DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim ke SMK Seri Samudera, Manjung, Perak ialah Timbalan Menteri Pendidikan I, YBhg. Dato’ Dr. Mah Hang Soon, Exco Pendidikan, Pengajian dan Sumber Manusia Negeri Perak, YBrs. Tuan Ahmad Saidi Mohamad Daud, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perak, YBrs. Tuan Aznan Alias dan Orang Besar Jajahan Manjung, Perak, YDH Toh Seri Bijaya Leftenan Kolonel (B) Dato’ Shaharudin Haji Nazari.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.