Oleh Husna Saed
7 Oktober 2022, 12:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Usaha membudayakan bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini perlu diteruskan sementelah menyedari akan kepentingan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pemersatu. Pelbagai pendekatan baharu perlu dilakukan untuk menarik pelbagai lapisan masyarakat dan hal ini merupakan cabaran yang perlu didepani bagi memastikan kelestarian bahasa kebangsaan di negara ini.

Dalam usaha memberikan ruang dan peluang kepada masyarakat membudayakan penggunaan bahasa Melayu dalam kehidupan harian, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama pelbagai agensi telah mengadakan pelbagai aktiviti bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) 2022 dan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) 2022.

Pada 6 Oktober 2022, telah diadakan majlis ringkas penyampaian hadiah Pertandingan Gambar Berdialog serta Pertandingan Menulis dan Mendeklamasi Puisi di Lobi Wisma Tani Putrajaya yang dianjurkan oleh DBP dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI). Majlis dihadiri oleh Pengarah Penerbitan DBP, Tuan Haji Razali Che Mat, yang mewakili Ketua Pengarah DBP dan Setiausaha Bahagian Pentadbiran, MAFI, Puan Azura Abdullah.

Pertandingan Gambar Berdialog bersempena dengan DBK 2022 Peringkat MAFI berjaya menarik 31 penyertaan daripada kakitangan MAFI dan agensi di bawahnya dari seluruh negara. Selain menguji peserta dari sudut kreativiti dan teknikal, dialog yang dihasilkan juga mempamerkan kelancaran berbahasa peserta yang telah berjaya memikat juri dengan susuan kata yang teratur.

Tempat pertama pertandingan ini dimenangi oleh Hanuna Noor Ramle dengan tajuk gambar Labu Sayung Buah Tembikai dari Jabatan Perikanan Malaysia (DOF). Tempat kedua dimenangi oleh Nor Ain Muhamat Noor, dari Bahagian Pentadbiran, MAFI, dengan gambar bertajuk Pengalaman Membanting Padi Maha 2022, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Nor Farazilah Puteh, bertajuk Impianku dari Bahagian Permodenan Pertanian, MAFI.

Gambar Pengalaman Membanting Padi Maha 2022 oleh Nor Ain Muhamat Noor.

Tempat sagu hati masing-masing dimenangi oleh Zainab Daud dari IADA Kemasin, Semerak, dengan tajuk Padi dan Petani, Nurul ‘Awatif Hanani Hazarudin dari Pejabat Penasihat Undang-undang, MAFI, dengan tajuk Nostalgia: Maha 2022 dan Mohd Hairi Sallehudin dari Bahagian Pembangunan Industri Padi, MAFI, dengan tajuk gambar, Kambing Oh Kambing.

Pertandingan Menulis dan Mendeklamasi Puisi bersempena dengan DMK 2022 Peringkat MAFI yang dilaksanakan secara dalam talian melalui Facebook Perpustakaan MAFI pula mencungkil bakat kreatif kakitangan MAFI dan menarik penyertaan sebanyak 12 orang peserta. Kebolehan mencipta dan mendeklamasikan sajak oleh para peserta membuktikan bahawa warga MAFI mempunyai minat dan berbakat dalam bidang penulisan kreatif di samping melaksanakan tugas harian yang ternyata memunculkan ilham untuk berkarya.

Tempat pertama pertandingan ini dimenangi oleh Muhammad Hilmi Nordin dengan judul sajak “Tinta”, tempat kedua dimenangi oleh Muhammad Hazhizh Saparudin dengan sajak berjudul “Musafir di Tanah Gersang”, manakala Ismalina Isa mendapat tempat ketiga dengan sajak “Minda Merdeka”.

Penerima hadiah sagu hati ialah Muhamad Firdaus Sharuddin, dengan sajak berjudul “Membaca Memerdekakan Minda”, Muhammad Alif Mohd Tarmizi dengan sajak “Kalam Merdeka” dan Norzalina Abd Rahman dengan memilih “Arah Merdeka” sebagai tajuk sajak.

Setiap peserta menerima hadiah berupa wang tunai berserta buku terbitan DBP dan sijil penyertaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.