28 November 2022, 16:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Tuan Haji Md. Johari Hasan, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP bersama-sama pengarah jabatan menyampaikan sijil penghargaan kepada YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP semasa majlis Pertemuan Ketua Pengarah dengan Staf DBP.

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merakamkan sekalung penghargaan dan jutaan terima kasih kepada Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran atas segala bakti yang dicurahkan sepanjang perkhidmatan beliau selama 38 tahun di DBP. YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran menamatkan tempoh kontraknya sebagai Ketua Pengarah DBP berkuat kuasa pada 28 November 2022, pada hari ini.

“Syabas dan tahniah kepada seluruh warga DBP yang sentiasa komited dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan. Kita di DBP umpama sebuah keluarga, meskipun kadangkala bercanggah pendapat, namun kita tetap merealisasikan satu matlamat yang sama,” kata Ketua Pengarah DBP dalam majlis Pertemuan Ketua Pengarah dengan Staf DBP pada 25 November 2022 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP.

Dalam ucapannya juga, beliau turut menekankan bahawa pembudayaan kerja yang proaktif memerlukan iltizam yang tinggi daripada seluruh warga organisasi.

Seluruh warga DBP merakamkan penghargaan sebagai tanda terima kasih atas jasa dan sumbangan yang dicurahkan oleh YBhg. Datuk Ketua Pengarah DBP.

Menyingkap sejarah kerjaya YBhg. Datuk Abang Sallehuddin di DBP, beliau telah dilantik secara tetap pada 1 November 1983 di DBP Cawangan Sarawak. Sepanjang menyumbang bakti di organisasi keramat ini, beliau telah menyandang beberapa jawatan penting, antaranya termasuklah sebagai Pengarah DBP Wilayah Timur, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, serta pernah menyandang jawatan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarah DBP pada 10 Januari 2019.

YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP.

Dalam Majlis Pertemuan Ketua Pengarah Bersama-sama Warga DBP yang diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin berkata:

Berusahalah memainkan peranan dalam setiap bahagian yang ditempatkan. Berikan idea baharu, lakukan pembaharuan dan lakukan program yang menarik serta memberikan manfaat dan impak yang besar.

Sementara itu, beliau turut memberikan penekanan terhadap penerbitan digital agar usaha tersebut terus dipergiat dalam konteks menyebarluaskan pelbagai produk penerbitan, bahasa, sastera dan budaya, sekali gus memperkukuh fungsinya seiring dengan perkembangan semasa.

Nasihat beliau:

Tidak kira apa-apa jua jawatan yang disandang, antara perkara yang penting ialah tingkatkan pengetahuan dalam pendidikan, selain mempunyai nilai kerjasama yang tinggi antara satu sama lain.

“Ingatlah amanah dan tanggungjawab yang diberikan bukan sahaja kepada DBP, bahkan melibatkan masyarakat luar.

“Berikanlah sokongan kepada bakal ketua pengarah baharu. Tanpa sokongan, kita tidak akan memperoleh apa-apa kejayaan. Jika ada kejayaan, itulah kejayaan bersama. Jika ada kelemahan, itulah perkara yang perlu diambil perhatian bersama.

Demikianlah antara pesanan akhir yang dititipkan oleh Ketua Pengarah DBP kepada semua warga kerja DBP.

Sebelum pertemuan dengan staf DBP, beliau sempat memberikan amanat terakhir kepada Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), pengarah-pengarah jabatan dan ketua-ketua bahagian agar melaksanakan amanah dengan penuh komited dan tanggungjawab, serta memastikan kecemerlangan DBP terus terlakar di mata masyarakat, seterusnya seantero dunia. Dalam pertemuan tersebut juga, beliau memberikan pesanan:

YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, semasa menyampaikan amanat kepada pengurusan DBP dan ketua-ketua bahagian.

Jangan takut melakukan perubahan. Jangan kita selesa dengan kaedah kerja sekarang. Jangan kita bosan dengan kerja. Jagalah kreadibiliti dan kewibawaan sebagai ketua. Jagalah hubungan dengan staf. Jagalah akhlak. Bantulah DBP dan teruskan memartabatkan bahasa Melayu supaya bahasa Melayu akan terus maju.

Dalam perkembangan lain, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin juga berkesempatan meraikan pesara DBP dalam Majlis Jasamu Dikenang 2022 yang diadakan di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Wisma DBP pada 25 November 2022.

YBhg. Datuk Abang Sallehuddin meraikan pesara DBP dalam Majlis Jasamu Dikenang 2022.

Selepas majlis tersebut, staf DBP berkesempatan menyaksikan YBhg. Datuk Abang Sallehuddin membuat rakaman terakhir pada kad perakam waktu sebagai warga DBP.

YBhg. Datuk Abang Sallehuddin membuat rakaman terakhir pada kad perakam waktu sebagai warga DBP.
Lambaian dan isyarat terakhir YBhg. Datuk Abang Sallehuddin sebelum melangkah meninggalkan DBP.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.