30 November 2022, 13:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pauh Putra – “Usahakan diri untuk menjadi yang terbaik dalam semua perkara yang diceburi. Sesungguhnya untuk menjadi yang terbaik dalam semua perkara atau urusan adalah perkara yang sukar, namun perkara ini perlu dilakukan.”

“Sebarang kegagalan itu pula merupakan perkara biasa. Kita perlu belajar daripada sebarang kegagalan tersebut agar tidak mengulangi kesilapan dan terus melangkah ke hadapan.”

Titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berangkat menyempurnakan Sidang Ketujuh Bagi Istiadat Konvokesyen 17 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Dewan Ilmu, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra, semalam.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Naib Canselor UniMAP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Zaliman Sauli.

Sehubungan dengan itu, Raja Muda Perlis selaku Canselor UniMAP berkenan menganugerahkan folder ijazah kepada sebanyak 331 orang graduan dalam jurusan Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) bagi Kejuruteraan Bahan, Kejuruteraan Bioproses, Kejuruteraan Polimer, Kejuruteraan Metalurgi dan Kejuruteraan Biosistem.

Dalam perkembangan yang sama, penganugerahan ini turut disampaikan kepada pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Kimia (Kepujian) bagi Teknologi Makanan, Proses Kimia Industri dan juga Bioteknologi Industri.

Raja Muda Perlis turut menasihati agar semua graduan untuk meningkatkan daya tumpuan dan kebolehan mengikut kemampuan diri.

“Orang yang berjaya ialah orang yang memberikan fokus terhadap perkara yang mereka mampu kawal. Lakukan perubahan kepada diri sendiri dahulu kerana kita hanya mempunyai kawalan sepenuhnya kepada diri sendiri. Insya-Allah kita akan mampu membawa perubahan kepada mereka yang di sekeliling kita pula,” pesan Raja Muda Perlis ketika mengakhiri ucapan dalam Majlis Istiadat Konvokesyen 17.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.