9 Disember 2022, 21:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Hari Anti Rasuah Antarabangsa kali ke-20 disambut dengan meriah, di samping menjayakan agenda nasional.

Sepang  Bersempena menyambut Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) kali ke-20, Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah (ACeIO) Malaysia menjalinkan kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut ACeIO, hasratnya bukan sekadar disambut baik oleh SPRM, malahan turut menawarkan sokongan dan komitmen dalam usaha membanteras rasuah di Malaysia.

Sebagai peneraju sambutan pada kali ini, ACeIO memilih untuk menyambut HARA melalui penganjuran Simposium dan Webinar Integriti dan Antirasuah secara serentak di seluruh negara.

Dengan temanya “Menyatukan Dunia Melawan Rasuah”, ACeIO menggerakkan rangkaian strategiknya dan menawarkan pelbagai peluang untuk turut bersama menjayakannya.

Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Yayasan Pahang dan Majlis Perbandaran Sepang (MPS) yang sudi menjadi tuan rumah untuk sambutan kali ini.

“Tahniah dan terima kasih juga kepada Maxis yang menerajui webinar dan menjadi hos program secara dalam talian kali ini.

“Tahniah dan terima kasih juga kepada Persatuan Pegawai Penguatkuasa PBT Negeri Johor (PERSAJ) yang turut menjayakan kelancaran pelaksanaan simposium di Menara MBJB.

Sekalung penghargaan juga dirakamkan kepada rakan strategik lain, seperti DXN Sdn. Bhd. dan SMART Vending Sdn. Bhd. yang turut mengambil bahagian menjayakan sambutan. Penyertaan Maxis, DXN dan SMART Vending dalam menjayakan sambutan HARA hari ini pastinya membuka lembaran baharu penyertaan syarikat swasta dalam menjayakan agenda nasional.

Penyertaan daripada pelbagai pihak dalam menjayakan sambutan HARA ini menjadi petanda jelas bahawa perjuangan SPRM dalam memerangi jenayah keji ini tidak bersendirian.

Simposium dan Webinar Integriti dan Antirasuah pada kali ini menampilkan tokoh hebat daripada SPRM dan HASiL.

Simposium dan Webinar Integriti dan Antirasuah tersebut menampilkan tokoh hebat daripada SPRM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) bagi mengupaskan dua topik menarik, iaitu Liabiliti Korporat dan Insentif Pelepasan Cukai. Kedua-dua topik ini amat signifikan dengan tema sambutan HARA, malah turut mengambil kira inisiatif yang digariskan di bawah Pelan Anti Rasuah Nasional, termasuklah pengukuhan undang-undang antirasuah dan insentif galakan sebagai pengiktirafan kepada pengamal integriti.

Dalam program tersebut, topik Liabiliti Korporat tertumpu hal berkaitan dengan kepentingan majikan untuk bertanggungjawab terhadap tindak-tanduk pekerjanya dan perlu memainkan peranan dalam memastikan usaha pembudayaan integriti dan antirasuah terus subur dalam organisasi.

Bagi topik Insentif Pelepasan Cukai pula, tertumpu kepada menghargai mana-mana pihak khususnya sektor swasta dan korporat yang menyumbang kepada pelaksanaan program integriti dan antirasuah dalam masyarakat. Tanggungjawab korporat ini, termasuklah menyediakan persekitaran yang kondusif untuk pembudayaan integriti dan antirasuah terus subur dalam masyarakat.

Mengulas lanjut, pelibatan peserta adalah di luar jangkaan, yakni sebanyak 1000 orang yang mewakili Syarikat Multinasional (MNC), organisasi komersial, dan rakan integriti dari lokasi terpilih seluruh negara. Selain itu, penyertaan lebih 1000 orang lagi adalah daripada peserta dari Sarawak, Sabah dan Labuan. Kehadiran dan penyertaan luar jangka ini petanda jelas bahawa obor perjuangan memerangi rasuah di negara tercinta ini terus menyala.

Dalam arus globalisasi dengan pelbagai kemelut yang melanda, semua pihak seharusnya lebih prihatin dan memikul tanggungjawab bersama dalam memastikan negara ini bebas daripada rasuah.

SPRM tidak boleh lagi dibiarkan bersendirian dalam perjuangan ini. Semua pihak khususnya pengamal integriti, termasuklah pegawai ACeIO, sama ada di sektor awam mahupun sektor swasta perlu sentiasa bersedia berjuang bersama-sama SPRM.

Sesungguhnya perjuangan SPRM dalam memerangi rasuah perlu mendapat sokongan dan dorongan kita semua. Perjuangan ini adalah perjuangan kita bersama kerana rasuah adalah musuh negara dan musuh kita semua.

Tetamu kehormat yang hadir sebagai tanda sokongan penuh atas sambutan HARA ke-20 ini.

Penulis, Presiden Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah (ACelo) Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.