14 Januari 2023, 19:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Guru-guru yang menyertai Pogram Majalah Dalam Kelas (MDK) Dewan Siswa.

Kuala Lumpur – Sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab dalam usaha meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terus komited mengadakan program yang memupuk semangat cinta akan bahasa Melayu, terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah. Oleh itu, DBP terus melaksanakan Program Majalah Dalam Kelas (MDK) yang diperkenalkan sejak dari tahun 1988 bagi majalah Dewan Siswa dan pada tahun 1990 bagi majalah Dewan Pelajar. Program MDK diadakan bertujuan untuk membantu guru Bahasa Melayu, khususnya bagi mempelbagaikan kaedah, teknik dan bahan rujukan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di dalam kelas.

Saban tahun, Program MDK terus mendapat sambutan yang positif dalam kalangan guru dan pelajar, sama ada pada peringkat sekolah rendah mahupun sekolah menengah. Oleh itu, membuka tirai 2023, sidang editor Dewan Siswa berkesempatan mengadakan Program MDK bersama-sama guru di Wesley Methodist School Kuala Lumpur (International) pada hari ini. Program tersebut telah dihadiri oleh 42 orang guru yang melibatkan pelbagai sekolah seperti Wesley Methodist School Kuala Lumpur (International); Wesley Methodist School Ipoh, Seremban dan Pulau Pinang; Sekolah Menengah Teknik Pulau Pinang; Stella Marry’s International School serta sekolah menengah di sekitar Sungai Buloh dan Klang.

YBrs. Dr. Rosmani Omar ketika menyampaikan ucapan perasmian  Program Majalah Dalam Kelas (MDK) Bersama-sama Guru.

Ketika menyampaikan ucapan perasmian mewakili Pengarah Jabatan Penerbitan (Tuan Haji Razali Che Mat), YBrs. Dr. Rosmani Omar yang merupakan Ketua Editor Bahagian Majalah DBP mengatakan bahawa penggunaan majalah Dewan Siswa di dalam kelas amat sesuai digunakan oleh guru untuk rujukan kepada para pelajar kerana kandungan majalah tersebut memaparkan pelbagai cakupan ilmu dan isu semasa, sama ada dalam bidang kreatif atau pun bukan kreatif, khususnya berkaitan dengan para pelajar di sekolah menengah dan juga universiti. Oleh itu, beliau berpandangan bahawa Dewan Siswa seharusnya menjadi koleksi wajib di setiap pusat sumber sekolah.

Tambah beliau, Program MDK Dewan Siswa yang diadakan pada hari ini juga sejajar dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menginginkan para pelajar terlibat dalam proses pembudayaan ilmu. Hal ini bermakna, di samping memastikan pelajar mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang, guru juga dapat melatih dan membimbing mereka untuk mendapatkan seberapa banyak ilmu tambahan yang bermanfaat daripada bahan yang bermutu dan dapat dipertanggungjawabkan.

Editor Dewan Siswa, Puan Siti Irni Yuslinda Mosman ketika memberikan taklimat berkaitan dengan Dewan Siswa.

Menurut editor Dewan Siswa, Puan Siti Irni Yuslinda Mosman, guru merupakan penggerak utama dalam usaha mendidik pelajar. Hal ini demikian kerana guru bertanggungjawab untuk membentuk hala tuju pelajar di dalam kelas, selain mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif. Oleh itu, program MDK Dewan Siswa amat bertepatan dalam membudayakan ilmu, meningkatkan kecekapan berbahasa, mengasah bakat pelajar dalam bidang penulisan dan memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar.

Puan Gan Swit Peng.

Pada majlis yang sama, Naib Pengetua Kurikulum Wesley Methodist School Kuala Lumpur (International), Puan Gan Swit Peng turut berhasrat agar Program MDK Dewan Siswa bersama-sama guru yang diadakan pada hari ini dapat memberikan pendedahan kepada guru untuk mengaplikasikan pendekatan dan kaedah yang berkesan dalam mendidik pelajar supaya dapat menguasai penggunaan bahasa yang baik. Hal ini demikian kerana majalah mempunyai keistimewaannya dalam memaparkan isu semasa berbanding dengan buku.

Encik Sundarappandian a/l Valusamy.

Hasrat yang sama turut dinyatakan oleh Ketua Jabatan (HOD) Bahasa, Wesley Methodist School Kuala Lumpur (International), Encik Sundarappandian a/l Valusamy, iaitu penggunaan majalah sebagai bahan sokongan pengajaran dan pembelajaran merupakan satu daripada usaha untuk memartabatkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar. Beliau yang juga merupakan guru Bahasa Melayu di Wesley Methodist School Kuala Lumpur (International) amat berterima kasih kepada pihak pengurusan Wesley Methodist School Kuala Lumpur (International) kerana meskipun sekolah tersebut merupakan sekolah antarabangsa, namun peranan yang dimainkan oleh pihak pengurusan sekolah begitu besar kerana mereka begitu komited memartabatkan bahasa Melayu. Hingga kini, Wesley Methodist School Kuala Lumpur (International) telah melanggan majalah Dewan Siswa sejak 23 tahun yang lalu.

Sebagai usaha untuk memberikan pendedahan kepada guru tentang kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berkesan, Program MDK Dewan Siswa ini diharap dapat memberikan panduan kepada para guru tentang penggunaan majalah Dewan Siswa yang berkesan.

Demikian harapan Encik Sundarappandian semasa ditemu bual oleh editor. Sebagai Ketua Jabatan (HOD) Bahasa, beliau antara guru yang sentiasa menggunakan majalah Dewan Siswa di dalam kelas untuk meningkatkan penguasaan kosa kata dan kemahiran berfikir dalam kalangan pelajar selain mencambahkan ilmu dalam penguasaan bahasa Melayu.

Selain Dewan Siswa, majalah Pelita Bahasa yang merupakan antara 11 majalah terbitan DBP turut menjadi bahan rujukan dalam kalangan guru. Oleh itu, sesi taklimat bersama-sama editor majalah Pelita Bahasa, iaitu Encik Mohd Syukri Anwar turut diadakan pada petang tadi sebagai usaha untuk memberikan pendedahan kepada para guru tentang penggunaan majalah tersebut dengan berkesan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Editor Pelita Bahasa, Encik Mohd Syukri Anwar semasa memberikan taklimat kepada para guru.

Turut hadir dalam Program MDK Dewan Siswa bersama-sama guru pada hari ini ialah Editor Dewan Pelajar, Puan Fansurina Ramli; Editor Tunas Cipta, Puan Siti Noorisa Abdul Khlil; dan Penolong Editor Dewan Siswa, Puan Syafiqah Abdul Khalid yang bertindak sebagai fasilitator program.

Sekitar aktiviti yang berlangsung sepanjang Program MDK Dewan Siswa pada hari ini.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.