27 Januari 2023, 13:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Georgetown – Pada 26 Januari 2023, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan bersama-sama Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari telah mengadakan kunjungan hormat kepada Tuan Yang Terutama (TYT), Yang di-Pertua (YDP) Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Haji Abdul Razak. Kunjungan hormat tersebut diadakan di Kompleks Pejabat TYT, Seri Mutiara.

Sebelum sesi bergambar dengan TYT, YDP Negeri Pulau Pinang, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dan Dr. Hazami Jahari menandatangi buku pelawat. Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Haji Abdul Razak telah menerima watikah sebagai TYT YDP Pulau Pinang pada 17 Disember 2021. Beliau menzahirkan kegembiraannya menerima kunjungan rombongan daripada DBP kerana DBP mengingatkan beliau tentang era tahun 1980-an  ketika beliau terlibat sebagai ahli jawatankuasa penggubalan istilah diplomatik dan hubungan antarabangsa. Pada masa yang sama, Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi berkongsi pengalamannya berkhidmat sebagai duta di lima buah negara, termasuklah ilmu dan pengalamannya sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Luar.

Dalam kunjungan hormat tersebut, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan menjelaskan secara ringkas tentang sejarah dan matlamat penubuhan DBP, termasuklah peranan utama DBP sebagai badan peneraju dalam usaha memartabatkan, mengembangkan dan menyebarluaskan bahasa Melayu dan persuratan Melayu. Beliau turut memaklumkan pejabat DBP Wilayah Utara yang terletak di Bandar Perda, Pulau Pinang.

Berkaitan dengan pelaksanaan program kebahasaan dan persuratan Melayu, khususnya di Pulau Pinang, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan menyatakan DBP akan bekerjasama dengan kerajaan negeri Pulau Pinang menganjurkan Anugerah Sastera Negeri Pulau Pinang. Anugerah Sastera Negeri Pulau Pinang tersebut merupakan yang julung kali diadakan dan majlis penganugerahannya dijangka akan berlangsung pada September tahun ini. TYT YDP Pulau Pinang sendiri akan diberi penghormatan untuk menyampaikan hadiah kepada pemenang anugerah, terutama Anugerah Sasterawan Negeri Pulau Pinang.

Selain itu, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan turut menyatakan hasrat DBP untuk mengadakan acara khusus dengan TYT YDP Negeri Pulau Pinang yang direncanakan pada setiap tahun. Programnya mungkin berbentuk deklamasi puisi dan acara kebudayaan yang melibatkan kehadiran TYT  Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi sebagai tetamu kehormat. Mengambil kira pengalaman yang luas dan ilmu yang mendalam tentang hubungan diplomatik dengan negara luar serta minat beliau terhadap sastera dan bahasa Melayu, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan mengutarakan hasrat untuk mengundang TYT Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi untuk menyampaikan Syarahan Perdana anjuran DBP.

Daripada pihak TYT Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi, beliau mencadangkan agar DBP untuk merangka program yang melibatkan golongan anak muda agar mengetahui dan meminati seni dan budaya lama, misalnya seni zapin dan boria. Dalam hal kebahasaan juga  TYT Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi menampakkan keperihatinannya tentang pengantarabangsaan bahasa Melayu. Oleh itu, beliau amat berharap tampuk kepimpinan pada masa ini dapat meneruskan langkah berucap menggunakan bahasa Melayu dalam acara besar pada peringkat antarabangsa. Malah DBP harus merencanakan program berkaitan bahasa Melayu yang melibatkan penyertaan daripada negara luar.

Kunjungan hormat DBP kepada TYT YDP Negeri Pulau Pinang turut disertai oleh Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed, Pengarah DBP Wilayah Utara, Puan Nurul Julia Alani Henry, Ketua Bahagian Komunikasi Korporat, Encik Sharrul Rizal Hashim dan Timbalan Pengarah (Sastera) Puan Khairul Anum Mohd Ali dan Timbalan Pengarah (Bahasa) DBP Wilayah Utara, Encik E Pian Pro Pol.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.