14 Februari 2023, 11:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Perkahwinan pada usia muda dikatakan sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat pada masa ini. Jika diteliti, trend kahwin muda semakin bertambah, iaitu melibatkan golongan bawah umur atau 18 tahun ke bawah. Di Malaysia, angka perkahwinan pada usia muda lebih tinggi berbanding dengan negara lain. Sesetengah pihak menganggap bahawa berkahwin pada usia muda merupakan perkara biasa dan ada juga yang mengatakan bahawa kahwin muda bukan perkara yang boleh diambil mudah kerana risiko berkahwin pada usia muda sangat besar. Pada usia mereka yang masih muda dan belum matang, pelbagai perkara perlu dipertimbangkan terlebih dahulu sebelum melayari bahtera perkahwinan yang penuh dengan dugaan dan cabaran. Walau bagaimanapun, sebagai manusia kita tidak boleh menolak takdir sekiranya jodoh seseorang itu lebih awal daripada yang dijangkakan kerana jodoh, ajal dan maut telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Persoalannya, apakah faktor yang menyebabkan hal ini berlaku? Ada yang mengatakan bahawa kahwin muda mungkin disebabkan oleh keterlanjuran. Hal ini dikatakan demikian kerana, golongan remaja kini sering terlibat dengan gejala sosial yang melampau, iaitu pergaulan bebas antara lelaki dengan perempuan. Secara tidak langsung, pergaulan bebas menyebabkan mereka terlanjur dan melakukan maksiat sehingga timbul perkara yang tidak diingini. Oleh hal yang demikian, mereka digalakkan untuk berkahwin agar maruah keluarga terpelihara dan perlu bertanggungjawab atas keterlanjuran yang berlaku. Selain itu, trend kahwin muda juga mungkin disebabkan oleh desakan keluarga kerana terdapat segelintir keluarga yang amat mengutamakan darjat dan keturunan. Perkara ini mungkin berlaku disebabkan oleh keturunan keluarga yang juga berkahwin pada usia muda dan mereka bimbang sekiranya anak-anak mereka tidak memperoleh jodoh yang sesuai tepat pada waktunya. Maka, semakin bertambahlah golongan yang berkahwin muda atas faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan.

Setiap perkahwinan yang dibina semestinya mengharapkan kebahagiaan kerana itulah tujuan sesebuah perkahwinan. Namun begitu, tidak semua perkahwinan akan berjalan seperti yang diimpi-impikan kerana setiap perkahwinan terdapat ujian yang perlu ditempuh. Sememangnya, agama Islam bukan sahaja tidak pernah melarang seseorang itu untuk berkahwin pada usia yang muda, malah turut menggalakkan usaha ke arah perkahwinan agar kita tidak terjerumus ke lembah kemaksiatan. Namun begitu, tidak semua golongan masyarakat yang mampu mengawal perkahwinan pada usia yang muda. Hal ini dikatakan demikian kerana, tanggungjawab sebagai pasangan suami isteri dalam sesebuah perkahwinan itu sangat besar. Usia yang terlalu muda mungkin tidak mampu untuk mengatasi dugaan perkahwinan yang mencabar kerana didapati banyak pasangan muda yang bercerai selepas mendirikan perkahwinan mereka dalam tempoh beberapa bulan. Buktinya, kes perceraian dalam kalangan pasangan muda mencatatkan rekod yang tinggi di negara ini. Hal ini menunjukkan bahawa usia muda bukanlah usia yang matang untuk berkahwin kerana dalam tempoh tersebut, mereka belum benar-benar bersedia dari segi mental dan fizikal.

Peningkatan kes penceraian juga kian menjadi-jadi dari tahun ke tahun. Hal ini menunjukkan bahawa tidak semua pasangan muda mampu mengatasi dugaan dan cabaran perkahwinan pada usia muda. Tidak dapat dinafikan bahawa setiap perkahwinan itu, sama ada yang berkahwin pada usia muda atau matang pastinya berhadapan dengan dugaan yang perlu dihadapi oleh pasangan masing-masing sepanjang perkahwinan. Namun begitu, perbezaannya adalah melibatkan cara seseorang itu mengawal perkahwinan mereka agar terus kekal bahagia. Sebagai contoh, segelintir pasangan yang berkahwin pada usia muda mungkin kurang mampu untuk mengawal perkahwinan mereka dengan baik. Walau bagaimanapun, terdapat segelintir individu yang berkahwin pada usia yang muda kerana ilmu pengetahuannya tentang kehidupan, agama dan sebagainya sangat tinggi. Oleh sebab itu, walaupun perkahwinan pada usia yang muda mempunyai risiko, tetapi pada masa yang sama turut mempunyai kebaikannya yang tersendiri dalam aspek tertentu.

Persoalannya, apakah risiko yang terpaksa ditempuh apabila berkahwin pada usia muda? Antara risiko berkahwin pada usia yang muda termasuklah kedudukan kewangan yang belum mantap sehingga menyebabkan rumah tangga tidak bahagia dan sering menghadapi masalah. Oleh hal yang demikian, pasangan muda yang berkahwin tersebut tertekan dengan masalah kewangan yang dihadapi dan ada dalam kalangan mereka yang memilih untuk bercerai selepas tidak mampu mengawal keadaan. Tambahan pula, perkahwinan pada usia muda akan menyebabkan pandangan negatif dalam kalangan masyarakat. Terdapat segelintir masyarakat yang gemar mengambil tahu hal orang lain dan memandang rendah terhadap pasangan yang kahwin muda. Mereka juga beranggapan bahawa semua pasangan yang berkahwin muda disebabkan oleh keterlanjuran dan kemungkinan mengandung anak luar nikah. Kesannya, pasangan muda ini akan menghadapi tekanan perkahwinan akibat buah mulut negatif segelintir masyarakat.

Tidak dapat dinafikan juga bahawa perkahwinan pada usia muda merupakan suatu langkah yang baik dalam sesebuah institusi kekeluargaan jika kena pada tempatnya.  Antara kebaikannya termasuklah dapat mengelakkan diri daripada terjerumus ke lembah kemaksiatan. Kahwin muda juga dapat mendidik seseorang itu untuk menjadi lebih matang dalam menguruskan kehidupan mereka. Perkahwinan juga mengajar seseorang itu untuk menjadi manusia yang lebih bijak dalam membuat keputusan dan sabar dalam menghadapi ujian kerana tidak semua orang mampu menghadapi cabaran dalam perkahwinan pada usia yang muda. Perkara ini juga dilihat boleh mendatangkan manfaat kepada pasangan tersebut.

Sebagai pasangan yang berkahwin pada usia yang muda, pelbagai perkara perlu dititikberatkan dalam rumah tangga agar perkahwinan tetap kekal bahagia. Walau bagaimanapun, setiap perkahwinan pasti ada turun naiknya. Oleh sebab itu, persediaan mental dan fizikal sangat penting sebelum berkahwin agar setiap pasangan dapat menjalani proses perkahwinan dengan  sebaik-baiknya. Sebelum mengikat janji, setiap pasangan perlu mempelajari ilmu perkahwinan agar mereka arif tentang kaedah dan persediaan untuk menguruskan rumah tangga selepas berkahwin.

Setiap pasangan perlu mengambil berat terhadap pasangan masing-masing, sama ada melibatkan aspek kelemahan atau kelebihannya kerana betapa pentingnya mengenali karekter dan sikap pasangan masing-masing selepas berlangsungnya perkahwinan. Usia yang muda bukan penghalang untuk seseorang itu membina kerukunan rumah tangga yang bahagia. Hal ini juga mampu mendidik mereka agar menjadi insan yang lebih baik pada masa hadapan. Walau bagaimanapun, perkahwinan pada usia muda tetap mempunyai kebaikan dan risikonya yang tersendiri. Maka itu, setiap pasangan muda perlu mengambil kira semua perspektif dari pelbagai sudut sebelum membuat keputusan untuk melayari bahtera perkahwinan yang mungkin tidak menjanjikan kebahagiaan sepenuhnya kerana ada “harga” yang perlu dibayar.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.