27 Februari 2023, 17:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Apabila menyebut tentang inflasi, semestinya kita akan terfikir tentang kemerosotan ekonomi di sesebuah negara. Namun begitu, adakah tepat apa-apa yang difikirkan oleh masyarakat tentang inflasi? Menurut Muhammad Toriq Yaacob (2022) inflasi ialah kenaikan umum harga barangan dan perkhidmatan dari semasa ke semasa. Kemampuan seseorang itu untuk membeli barangan semakin berkurangan atau masyarakat memerlukan wang yang lebih banyak untuk membeli barangan keperluan. Inflasi juga boleh disifatkan sebagai peningkatan harga yang berterusan secara umum. Inflasi ini boleh diukur melalui peratusan kadar peningkatan harga setiap tahun dan merupakan masalah yang bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah turut berlaku di seluruh negara.

Terdapat beberapa buah negara yang mengalami kadar inflasi yang tinggi seperti Zimbabwe dan German. Peningkatan harga ini disebabkan oleh beberapa perubahan dalam aspek ekonomi yang mengakibatkan kejatuhan nilai kuasa beli wang. Kadar kenaikan ini diukur melalui indikator ekonomi yang dikenali sebagai kadar inflasi. Semakin tinggi kadar inflasi dicatatkan oleh sesebuah negara, maka semakin tinggilah kadar kenaikan harga barangan atau perkhidmatan dalam negara tersebut.

Malaysia pernah mencatatkan kadar inflasi pada angka yang tinggi, iaitu sebanyak 5.43% pada tahun 2008 dan 5.29% pada tahun 1998. Kadar paling tinggi pernah dicatatkan oleh Malaysia ialah pada tahun 1974, iaitu dengan kadar sebanyak 23.9%. Bagi tahun-tahun lain, Malaysia mencatatkan kadar sekitar 4% hingga 2% sahaja. Selain tahun-tahun yang dicatatkan, Malaysia hanya mengalami inflasi dengan kadarnya adalah negatif atau deflasi. Inflasi berlaku disebabkan oleh beberapa faktor antaranya termasuklah inflasi dalam aspek permintaan dan inflasi dalam aspek pengeluaran barangan. Inflasi dalam aspek permintaan melibatkan faktor terlebih permintaan daripada penawaran barangan dan terlebih bekalan wang berbanding dengan pengeluaran sesuatu barangan. Inflasi dalam aspek pengeluaran barang-barang pula melibatkan faktor masa melambung, kos bertambah dan daya pengeluaran berkurang.

Inflasi dalam aspek permintaan melibatkan faktor terlebih permintaan daripada penawaran barangan akan berlaku apabila permintaan barangan daripada pengguna lebih tinggi tetapi barang-barang yang dikeluarkan tidak bertambah selari dengan permintaan daripada pengguna. Lebihan permintaan akan memberikan tekanan terhadap perkembangan ekonomi. Hal ini akan menyebabkan jumlah wang yang ingin dibelanjakan bertambah dengan cepat melebihi pertambahan barangan dan perkhidmatan yang di tawarkan di pasaran. Apabila permintaan melebihi penawaran, harga barangan akan meningkat dengan lebih cepat dan menjadikan harga barangan menjadi mahal kerana pertambahan permintaan agregat akan menarik harga supaya meningkat tinggi. Perkara ini akan memberikan kesan kepada pengguna untuk membeli barangan dan akan menghasilkan jurang inflasi.

Inflasi yang terjadi akibat faktor terlebih bekalan wang berbanding dengan pengeluaran sesuatu barangan merupakan satu daripada keadaan inflasi yang kritikal kerana memberikan kesan yang teruk kepada ekonomi negara dan masyarakat. Apabila bekalan wang lebih banyak daripada pengeluaran barang, pengusaha atau peniaga akan menaikkan harga barang tersebut kerana penawaran barang yang sangat terhad. Penawaran barang yang terhad menyebabkan rakyat berebut untuk mendapatkannya walaupun harga barang sangat tinggi. Penawaran barang yang terhad menyebabkan berlaku lebihan wang yang terlalu banyak. Apabila lebihan wang berlaku, nilai wang akan merosot dan menyebabkan berlakunya inflasi. Kos yang bertambah dan daya pengeluaran berkurangan juga merupakan santara faktor yang mendorong kepada berlakunya inflasi. Daya pengeluaran berkurang akan menyebabkan produktiviti pekerja juga berkurang. Walau bagaimanapun, gaji pekerja tetap perlu dibayar dengan nilai yang tinggi dengan nilai yang sama semasa daya pengeluaran yang banyak. Untuk mendapatkan keuntungan yang sama seperti sebelumnya, pengusaha juga terpaksa menaikkan harga barang-barang keluarannya. Kenaikan gaji akan menyebabkan harga barang meningkat kerana kos pengeluaran yang bertambah, sekali gus menyebabkan berlakunya inflasi.

Berikut merupakan jadual yang menunjukkan kadar inflasi di Malaysia dari tahun 2018 hingga tahun 2021.

Tahun Kadar Inflasi
2018 0.88%
2019 0.66%
2020 -1.14%
2021 2.48%

Berdasarkan jadual di atas, kadar inflasi di Malaysia mengalami penurunan dan peningkatan kadar inflasi bagi setiap tahun. Kadar inflasi Malaysia bagi tahun 2018 ialah 0.88% dan berlaku penurunan sebanyak 2.99% berbanding dengan tahun 2017. Kadar inflasi pada tahun 2019 juga berlaku penurunan sebanyak 0.22% daripada 2018. Pada tahun 2020 juga berlaku penurunan sebanyak 1.8% daripada 2019 dan kadar inflasi pada tahun 2020 ialah sebanyak -1.14%. Kadar inflasi Malaysia bagi tahun 2021 ialah 2.48% meningkat 3.62% dari tahun 2020.

Inflasi akan memberikan kesan kepada negara. Ekonomi akan merosot dan menyebabkan kejatuhan nilai wang sehingga kos sara hidup masyarakat akan terus meningkat. Antara kesan kesan inflasi ialah kos sara hidup masyarakat akan meningkat. Kadar inflasi yang tinggi akan menaikkan kos sara hidup dan mengurangkan taraf kebajikan masyarakat. Kenaikan tingkat harga umum akan mengurangkan pendapatan benar masyarakat dan seterusnya mengurangkan kuasa beli pengguna. Bagi mereka yang berpendapatan tetap dan penerima pencen, kos sara hidup menjadi semakin tinggi dan ini akan membebankan taraf kebajikan mereka. Bagi masyarakat yang berpendapatan rendah juga akan mendapat tempias dengan kenaikan tingkat harga umum. Pada kebiasaannya inflasi akan menyebabkan harga barangan terus meningkat. Oleh itu masyarakat terpaksa menanggung harga barangan yang mahal.

Aspek pelaburan turut berkurangan semasa inflasi. Apabila berlakunya inflasi, institusi kewangan akan mengenakan kadar faedah yang tinggi terhadap pinjaman yang diberikan kepada pelabur. Keadaan ini akan meninggikan kos pinjaman, mengurangkan pelaburan dan akan menjejaskan perkembangan sektor-sektor yang produktif. Pengeluaran ekonomi semakin berkurangan dan seterusnya menjejaskan pertumbuhan ekonomi. Kesan inflasi yang seterusnya ialah menurunkan nilai mata wang negara. Nilai mata wang menurun akan menyebabkan pengaliran modal jangka pendek ke luar negara. Keadaan ini juga akan memburukkan imbangan pembayaran negara tersebut.

Inflasi terjadi disebabkan oleh beberapa faktor yang tidak ditangani dengan baik. Oleh itu, kerajaan perlulah mengambil inisiatif untuk menangani masalah inflasi daripada semakin teruk dan memberikan kesan kepada masyarakat serta negara. Walaubagaimanapun, Malaysia dianggap sebagai negara yang bijak dan berjaya untuk mengatasi masalah inflasi berbanding dengan negara lain seperti German dan Zimbabwe.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.