15 Mac 2023, 22:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali menjelaskan mengenai PCG dalam Majlis Amanat Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Sempena Pembukaan Sesi Persekolahan Tahun 2023/2024 di Kompleks E, Putrajaya.

Putrajaya – Peruntukan Bantuan Geran Per Kapita (PCG) Mata Pelajaran di sekolah disahkan tidak pernah dikurangkan sebagaimana didakwa akan dilaksanakan mulai sesi baharu persekolahan 2023/2024.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, hal tersebut tidak pernah dibincangkan pada peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menurunkan PCG ke sekolah.

Dakwaan berkenaan berkemungkinan ada kekeliruan yang timbul kerana bantuan PCG itu adalah didasarkan kepada angka pelajar yang ada pada setiap 1 Oktober pada satu-satu tahun.

Maka, peruntukan PCG bagi sesi akademik 2023/ 2024 diunjurkan berdasarkan jumlah pelajar setiap sekolah pada 1 Oktober 2022.

“Jadi mungkin ada sekolah pada tarikh 1 Oktober itu bilangan pelajarnya kurang berbanding dengan tahun semasa. Mungkin pengurangan itu dapat dilihat.”

“Semuanya akan dapat 100 peratus dengan bilangan pelajar yang ada pada tahun semasa selepas kita membuat kiraan penjajaran penyelarasan. Oleh itu, tidak ada isu kerana perkara ini tidak pernah pun dikeluarkan secara rasmi oleh KPM,” jelas beliau dalam sidang akhbar selepas majlis amanat sempena pembukaan sesi persekolahan 2023/2024 di Kompleks E, Putrajaya pada hari ini.

Mengulas lanjut berhubung dengan dakwaan peruntukan PCG Mata Pelajaran di sekolah, beliau berkata hal ini didakwa dikurangkan lebih daripada 14 peratus mulai sesi baharu persekolahan 2023/2024 yang akan bermula 20 Mac ini.

Keadaan itu menimbulkan tanda tanya dan kekhuatiran guru kerana boleh menjejaskan pembelajaran kira-kira 2.6 juta pelajar sekolah menengah.

Tindakan itu menyebabkan guru bakal berdepan kekurangan dana untuk merancang program tambahan akademik dan membeli modul peperiksaan bagi murid di semua tingkatan hanya kerana PCG akan digunakan untuk murid tingkatan lima yang bakal menghadapi peperiksaan utama.

Sementara itu, Datuk Pkharuddin berkata, perkara seumpamanya turut berlaku melibatkan peruntukan belanjawan secara keseluruhan bagi KPM yang sudah menjadi amalan setiap tahun peruntukan di awal tahun diturunkan sebanyak 70 peratus.

“Belanjawan 2023 sedang dibahaskan di Parlimen dan belum diluluskan, jadi setakat ini kita dapat belanjawan mini.”

“Belanjawan mini ini kita dapat 50 peratus daripada peruntukan KPM dan memang sudah jadi amalan setiap tahun peruntukan pada awal tahun kita turunkan sebanyak 70 peratus.”

“Jadi selepas Belanjawan 2020 diluluskan dengan jajaran bilangan pelajar yang ada pada tahun semasa, maka peruntukan itu akan dikira semula dan akan ditambah untuk menjadikan bantuan PCG mengikut kelayakan yang diperoleh setiap sekolah itu,” ujar beliau.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.