15 Mac 2023, 22:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali dalam sidang media selepas Majlis Amanat Ketua Pengarah Pendidikan di Kompleks E, Putrajaya.

Putrajaya – Pelaksanaan sesi persekolahan bermula Januari akan mengambil masa beberapa tahun lagi untuk dikembalikan semula sebagaimana diamalkan sebelum pandemik COVID-19.

Menurut Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali, langkah itu bukan mudah untuk dilaksanakan dalam tempoh singkat kerana memerlukan pengorbanan semua pihak, termasuklah melibatkan cuti persekolahan.

Apatah lagi, jelas beliau, jumlah hari persekolahan tidak boleh kurang daripada 190 hari sebagaimana yang ditetapkan dalam Akta Pendidikan 1996.

Jika mahu dikembalikan dengan cepat perlu mengorbankan cuti yang ada. Kalau sekolah tidak ada cuti, maka tidak ada waktu rehat bagi guru, pelajar bersama-sama ibu bapa, selain berkemungkinan memberikan kesan kepada ekonomi yang saling berkaitan rapat.

“Kita perlu kekalkan 190 hari jadi kena anjakkan sedikit demi sedikit, mungkin potong di mana-mana dan anjak berapa banyak (hari).

“Hal ini bukan satu perkara yang boleh dilaksanakan dalam tempoh singkat dan  akan mengambil beberapa tahun dengan pengorbanan semua pihak,” jelas beliau dalam sidang media di Kompleks E, Putrajaya pada hari ini.

Datuk Pkharuddin berkata, permulaan sesi persekolahan pada Mac ketika ini boleh dilihat dari sudut positif apabila tempoh pelaksanaan peperiksaaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dapat dielakkan daripada dijalankan pada monsun timur laut.

Walau bagaimanapun, situasi cuaca semasa tidak boleh dijangkakan berikutan perubahan iklim dunia dan ada ketika banjir tetap berlaku pada musim peperiksaan.

Kita sudah cuba sebaik mungkin untuk memberikan keselesaan terbaik kepada semua pihak.

Mengulas lanjut berkaitan dengan sesi persekolahan, KPM akan mempertimbangkan perkara ini berdasarkan takwim pada setiap tahun.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.