15 Mac 2023, 22:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memberikan jaminan tidak akan timbul isu kenaikan harga makanan di kantin sekolah.

Tegas beliau, harga makanan di kantin sekolah termaktub dalam garis panduan dan perjanjian antara pengusaha, pihak sekolah dengan kementerian.

“Kementerian ambil perhatian mengenai isu kos yang dibangkitkan tetapi perlu melihat kepada garis panduan itu serta perbincangan dengan sekolah,” ujar beliau kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kejurulatihan Sukan dan Pelancaran Takwim Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Tahun 2023 di Dewan Serbaguna Kompleks E, Putrajaya pada hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab kebimbangan ibu bapa kemungkinan harga makanan di kantin akan meningkat menjelang sesi persekolah yang akan bermula minggu hadapan.

Ketika ditanya mengenai cadangan penyeragaman harga makanan dan minuman di kantin sekolah mengikut lokaliti, Fadhlina memberitahu, perkara itu akan diberi perhatian.

“Sekiranya ada keperluan untuk seragam, kita akan lihat dari semasa ke semasa,” tambah beliau.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan (KPM) akan memeterai Kod Sukan Selamat bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) minggu depan. Fadhlina berkata, pihak KPM akan memberikan komitmen penuh terhadap kod tersebut dalam usaha memastikan ekosistem sukan yang selamat untuk pelajar.

“Kita mahu pastikan anak-anak dilindungi daripada sebarang bahaya seperti gangguan seksual, buli dan penggantungan,” kata beliau. Menurut beliau, intipati kod tersebut yang dibangunkan oleh KBS berdasarkan Kod Olimpik merangkumi banyak aspek khususnya etika, hubungan, peranan ibu bapa dan komuniti sukan secara keseluruhan.

“Hal ini berkaitan rapat dengan akses untuk membuat aduan sekiranya ada kes-kes gangguan seksual, buli dan sebagainya,” tambah beliau lagi.

Sebelum itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh telah melancarkan Kod Sukan Selamat bagi menjamin hak serta kebajikan atlet dan komuniti sukan dalam negara untuk menikmati persekitaran sukan yang selamat.

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.