20 Mac 2023, 16:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bakal membuka tiga buah sekolah di Johor yang terjejas akibat banjir dalam tempoh yang terdekat selepas keadaan sekolah selamat dan dibersihkan sepenuhnya untuk sesi persekolahan baharu.

Tiga sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Nasib Baik, Batu Pahat, SK Sri Mendapat dan SK Tanjong Sembrong, Parit Raja.

Timbalan Menteri Pendidikan, YB Lim Hui Ying berkata, KPM akan memastikan keselamatan diutamakan terlebih dahulu sebelum membuka operasi sekolah tersebut.

Timbalan Menteri Pendidikan, YB Lim Hui Ying mengadakan lawatan ke SJKT PJS 1, Petaling Jaya, sempena hari pertama pembukaan sekolah sesi akademik 2023/2024 pada hari ini.

“KPM akan memastikan sekolah dibersihkan, perabot semua disediakan sebelum mula sesi persekolahan kelak untuk murid kembali ke sekolah.

“Apabila sudah selamat dan bersedia, kita akan memulakan sesi persekolahan dengan secepat yang mungkin,” katanya dalam sidang media selepas melawat pembukaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) PJS 1, Petaling Jaya, Selangor pada pagi ini.

Hadir sama ialah Guru Besar SJKT PJS 1, R. Rajaletchumy.

SJKT PJS 1 merupakan sekolah baharu yang memulakan operasi secara rasmi pada hari ini dengan kehadiran sebanyak 20 orang murid dan sekolah tersebut merupakan SJKT yang ke-100 di negeri Selangor.

Pada masa yang sama, YB Lim Hui Ying mengulas bahawa bilangan murid bakal bertambah berikutan keadaan sekeliling yang mempunyai kepadatan penduduk.

“Sekolah ini merupakan sebuah sekolah baharu yang mempunyai 24 bilik darjah. Walaupun hanya disertai oleh20 orang murid, tetapi kami percaya pada masa depan jumlah murid pasti akan bertambah. Kami ingin mengucapkan tahniah kepada guru besar dan guru. Semoga terus berusaha mengharumkan, membangunkan nama SJKT ini,” kata beliau.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.