20 Mac 2023, 15:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) PJS 1 memulakan sesi persekolahan baharu dengan kehadiran sebanyak 25 orang murid.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, YB Lim Hui Ying, sekolah tersebut merupakan sekolah baharu, yakni berada dalam senarai SJKT ke-100 di negeri Selangor.

Kehadiran YB Lim Hui Ying disambut oleh Guru Besar SJKT PJS 1, R. Rajaletchumy bersama guru-guru, murid-murid dan ibu bapa.

Rajaletchumy berkata, beliau sangat bersyukur kerana dapat memberikan khidmat kepada sekolah yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan yang diimpikan oleh setiap ibu bapa.

“Kami sebagai warga pendidik akan menggalas kehendak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi merealisasikan kemenjadian murid.

“Kita akan menjadikan mereka sebagai yang terbaik dari segi pendidikan, kokurikulum dan kemahiran,” katanya ketika ditemui selepas lawatan Timbalan Menteri Pendidikan sempena pembukaan SJKT PJS 1, Petaling Jaya, Selangor pada hari ini.

Sementara itu, YB Lim Hui Ying turut menyampaikan cenderahati kepada murid dan turut melawat kelas di sekolah itu.

Tambah beliau, pihak sekolah perlu komited dalam memastikan hasrat KPM dapat dicapai walaupun sekolah berkenaan masih baharu.

“Sekolah ini dilengkapi dengan sebanyak 24 bilik darjah dan kemudahan asas lain seperti kantin, makmal, tempat menunggu bas dan pondok pengawal.

“Setakat ini, terdapat hanya 25 murid yang memulakan sesi persekolahan baharu.

“Walau bagaimanapun, berikutan tempoh yang terlalu singkat, terdapat ibu bapa yang masih menunggu pertukaran anak-anak ke sekolah ini,” ujarnya.

Mengulas lanjut berkaitan dengan jumlah murid di sekolah berkenaan, guru besar sekolah itu menjangkakan kehadiran dan kemasukan murid akan mencecah sehingga 100 murid dalam tempoh dua minggu ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.