23 April 2023, 15:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis,  DYMM Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri 1444 Hijrah, maaf zahir dan batin dengan tulus ikhlas kepada seluruh umat Islam tidak kira di mana-mana sahaja mereka berada. Ucapan khusus turut dititipkan oleh baginda berdua kepada rakyat negeri Perlis yang dikasihi, kaum kerabat serta kenalan.

Demikian dititahkan oleh baginda berdua selepas berkenan menerima sembah mengadap kaum kerabat DiRaja Perlis serta kenalan rapat, bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri di Istana Perlis Kuala Lumpur pada petang semalam.

Mengiringi baginda berdua ialah Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil beserta anakanda, iaitu Yang Amat Mulia (YAM) Sharifah Khatreena Nuraniah, YAM Sharifah Farah Adriana dan YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Raja Perlis dan Raja Perempuan Perlis bersama-sama DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan DYTM Tuanku Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil sekeluarga.

Titah baginda Raja Perlis lagi, Syawal yang mulia ini ialah hari yang tepat untuk terus mengeratkan lagi hubungan silaturahim yang sudah lama terjalin antara semua, di samping dapat berkumpul beramai-ramai.

Menerusi titah baginda, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin dan DYMM Tuanku Tengku Fauziah turut berdoa agar negeri Perlis serta rakyatnya terus diberkati dan dianugerahkan Allah SWT dengan taufik dan hidayah, aman sentosa, dikurniakan kesihatan yang baik di samping keluarga tersayang, serta hidup bersatu padu di bawah lindungan-Nya.

Raja Perlis dan Raja Perempuan Perlis bersama-sama kerabat dan kenalan.
Pemangku Raja Perlis bersama-sama kerabat dan kenalan.

Baginda berdua bertitah bahawa pada tahun ini baginda tidak dapat mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Istana Arau atau Istana Terbuka untuk dihadiri oleh rakyat jelata memandangkan Tuanku Raja masih bersemayam berehat di ibu negara untuk pulih daripada pembedahan buku lali dan kaki kanan baginda tempoh hari.

Untuk rekod, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin baru sahaja menyambut ulang tahun ke-23 sebagai Raja Perlis pada 17 April 2023. Baginda dimasyhurkan sebagai Raja Perlis pada 17 April 2000 bagi menggantikan Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Semoga DYMM Tuanku Raja Perlis dan DYMM Tuanku Raja Perempuan Perlis beserta seluruh usrah DiRaja negeri Perlis terus dilimpahkan kurnia panjang umur, sihat dan sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT.

Daulat Tuanku. Dirgahayu Tuanku.

Sumber foto: Istana Arau

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.