14 Mei 2023, 12:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ayer Keroh – Bersempena dengan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali ke-52 pada tahun ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan sebuah forum pendidikan yang bertajuk “Guru Insani, Pemangkin Generasi MADANI” bertempat di Dewan A, MITC Melaka, pada pagi ini.

Forum pendidikan yang diadakan di Dewan A, MITC Melaka pada pagi ini turut disertai warga pendidik dan murid, selain turut disiarkan secara dalam talian menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP.

Forum pendidikan tersebut menampilkan barisan ahli panel yang berpengalaman dalam bidang pendidikan, iaitu mantan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, KPM, YH Dato’ Haji Mazlan Mohamad; Ketua Kajian dan Inovasi, Kolej Vokasional Keningau, Sabah, Dr. Mohd Sirhajwan Idek dan Pegawai Pendidikan Daerah Baram, Sarawak, Encik Matthew Laing Ngan, selain turut menampilkan Munsyi Dewan yang juga merupakan Pegawai Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah (SISC+), PPD Petaling Utama, Selangor, Encik Alex Leong Jun Wei.

Mantan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, KPM, YH Dato’ Haji Mazlan Mohamad.

Mengupas tentang tema sambutan hari guru pada tahun ini, YH Dato’ Haji Mazlan Mohamad berkata bahawa masyarakat umum harus mengetahui dan tidak berasa keliru tentang tema yang diketengahkan pada setiap tahun. Hal ini demikian kerana KPM tidak mengubah dasar dan matlamatnya, namun KPM sentiasa membugar falsafah pendidikan negara.

Tambahnya,

Kita harus melihat tentang peranan guru dalam usaha memahami hasrat dan aspirasi negara dalam melahirkan masyarakat Madani. Hal ini seiring dengan peranan sektor pendidikan yang berkait rapat dengan perubahan yang berlaku dalam negara, iaitu melahirkan masyarakat Madani yang akan menganggotai masyarakat yang beradab, selain maju dalam pemikiran.

Beliau turut berkata,

Dalam latihan perguruan, setiap guru sudah diketengahkan dengan amalan nilai profesional keguruan yang dapat membantu guru untuk memahami setiap pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan. Namun sebagai guru insani, kita harus mengembangkan aspek kecerdasan emosi dalam kalangan guru bagi menangani isu pendidikan yang berlaku pada masa ini.

“Sebagai pendidik, guru harus bijak menguruskan emosi mereka dengan baik dan memahami kehendak masyarakat. Oleh itu, aspirasi KPM untuk melahirkan guru insani dapat direalisasikan yang bukan sahaja memahami emosi murid, bahkan turut memahami emosi masyarakat,” ujar beliau.

Pensyarah Kolej Vokasional Keningau, Sabah, Dr. Mohd Sirhajwan Idek.

Pada masa yang sama, peranan guru bukan sahaja hanya tertumpu dalam bilik darjah sahaja, bahkan guru turut diperlukan dalam masyarakat seperti isu ekonomi, alam sekitar dan sosial. Menurut Dr. Mohd Sirhajwan Idek, selain peranan guru dalam komuniti setempat, guru juga harus peka dengan isu masyarakat di seluruh dunia seperti di Nigeria dan Somalia.

“Pelibatan guru sebagai warganegara global (global citizen) adalah dapat melahirkan guru yang bertanggungjawab menyelesaikan isu yang dialami oleh masyarakat. Pendekatan tersebut penting bagi melahirkan murid bersedia dengan dunia sebenar,” ulas beliau.

Beliau turut berkongsi,

Sebagai guru Bahasa Inggeris dan juga Ketua Kajian dan Inovasi, saya menjadikan kemudahan teknologi seperti Google Meet untuk menjemput guru dari luar negara seperti Jerman, Nigeria dan Jepun bagi memberikan pendedahan dunia luar kepada guru dan murid. Usaha tersebut secara tidak langsung dapat membantu guru dan murid memahami tentang isu yang berlaku di luar negara.

Pegawai Pendidikan Daerah Baram, Sarawak, Encik Matthew Laing Ngan.

Selain memperlihatkan usaha KPM dalam melahirkan guru insani dan inovatif, aspek kebajikan guru juga harus diutamakan. Hal tersebut turut dikongsikan oleh Pegawai Pendidikan Daerah Baram, Sarawak, Encik Matthew Laing Ngan tentang situasi pendidikan di daerah beliau yang dikatakan sebagai sebuah daerah yang rencam.

Menurut Encik Matthew Laing Ngan, perubahan sikap yang berlaku dalam kalangan warga pendidik mahupun murid harus diterjemahkan. Oleh itu, sebagai usaha untuk mentransformasikan daerah yang sangat rencam seperti Baram, perubahan sikap harus dilakukan bagi memberikan keselesaan kepada guru agar dapat mengurangkan kerisauan dan tekanan dalam kalangan guru, terutamanya guru baharu.

Barisan ahli panel, moderator dan tetamu jemputan bergambar bersama-sama Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia, YBhg. Dato’ Hj. Pkharuddin Haji Ghazali (tiga dari kiri)  ketika penutup forum pendidikan yang diadakan di Dewan A, MITC Melaka pada pagi ini.

Berdasarkan aspek yang diketengahkan oleh barisan ahli panel dalam forum pada pagi ini, maka aspirasi KPM untuk menjadikan guru insani yang mampu melahirkan masyarakat Madani dapat direalisasikan.

Turut hadir dalam “Forum Pendidikan: Guru Insani, Pemangkin Generasi MADANI” ialah Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia, YBhg. Dato’ Hj. Pkharuddin Haji Ghazali, warga KPM, guru dan murid.

Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali ke-52 yang bermula pada hari ini hingga 16 Mei turut menyediakan pelbagai program pendidikan yang menarik buat warga pendidik sebagai usaha menghargai jasa dan pengorbanan mereka.

Sumber foto: Adib DBP

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.