27 Mei 2023, 18:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Karya seniman Allahyarham Tan Sri P. Ramlee terutamanya lagu dan filem terus mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat. Hal ini menunjukkan bahawa karya berkenaan sudah berada dan sebati dengan masyarakat semasa termasuklah bagi  mereka yang lahir selepas P. Ramlee pulang ke pangkuan Ilahi 50 tahun lalu.

Tidak banyak seniman dalam kalangan penyanyi, pelakon atau pengarah yang begitu berpengaruh hingga kepada generasi baharu yang terpisah dari segi latar sosial zamannya. Akan tetapi, berbeza daripada P. Ramlee kerana terus diingati dan diminati hingga kini.

Hal yang demikian boleh dilihat sebagai nilai pasaran yang tinggi pada setiap karya seniman itu. Disebabkan terus popular dan bersifat malar segar, media elektronik seperti televisyen dan radio terus menyiarkan karya P. Ramlee.

Malah dalam keadaan tertentu, lagu-lagunya menenggelamkan ciptaan baharu yang selalu dianggap sebagai “menepati” selera zaman. Perkara itu membuktikan bahawa karya seni yang baik tidak pernah luput tarikhnya. Malah apresiasi terhadap karya seni hanya ditentukan oleh kedalaman menembusi jiwa khalayak.

Populariti karya-karya berkenaan menyumbang kutipan royalti daripada pengguna, seperti stesen televisyen dan radio. Harta intelek yang ditinggalkan oleh P. Ramlee itu terus bernilai dan memberikan pulangan kepada waris dan juga negara.

Walau bagaimanapun, keadaan menjadi sangat berbeza apabila pada 29 Mei ini genap 50 tahun kepulangan P. Ramlee menghadap Ilahi. Mengikut undang-undang hak cipta, semua karya yang didaftarkan atas nama P. Ramlee sudah tidak lagi dilindungi dan bebas digunakan oleh sesiapa sahaja dengan percuma.

Bayangkan selepas ini karya-karya itu diperdagangkan atau lebih tepat diterbitkan semula sebagai memenuhi sambutan khalayak yang tidak pernah surut. Karya-karya itu diambil tanpa membayar royalti dan mengaut keuntungan yang sah di sisi undang-undang.

Hal itu sudah banyak berlaku kepada seniman dan sasterawan di Barat apabila karya mereka menjadi domain awam (public domain)  selepas 50 tahun kematiannya. Karya-karya sastera William Shakespeare atau gubahan muzik klasik Mozart misalnya kini boleh digunakan oleh sesiapa sahaja.

Karya-karya itu tidak dilindungi oleh undang-undang hak cipta di negara masing-masing. Malah tidak ada pihak yang boleh mendakwa memiliki karya-karya berkenaan selepas beralih menjadi domain awam.

Maknanya semua yang dilakukan itu mengikut lunas undang-undang sekalipun kelihatan seperti tidak adil kepada waris yang sebelum itu berhak menerima kutipan  royalti.  Namun begitu, karya baharu yang dihasilkan daripada karya asal itu dilindungi oleh undang-undang hak cipta.

Misalnya sebuah karya lagu P. Ramlee yang telah digubah dan diberi pembaharuan tertentu  oleh penggubah lain. Karya gubahan baharu itu tentunya menjadi milik penggubah berkenaan dan dilindungi sehingga 50 tahun selepas kematiannya.

Demikianlah hakikat bahawa sesebuah karya harta intelek yang telah menjadi domain awam. Hal ini merupakan antara isu yang diperkatakan mengenai karya-karya P.Ramlee beberapa tahun kebelakangan ini.

Sejak pelibatannya dalam industri perfileman dan muzik, P. Ramlee banyak menghasilkan karya berupa lakon layar filem, gubahan lagu dan juga lirik.  Walaupun begitu tidak semua karyanya dilindungi oleh hak cipta disebabkan kesedaran terhadap harta intelek yang masih rendah pada masa itu.

Malah difahamkan banyak  juga hak cipta karya-karya beliau seperti lakon layar filem terutama semasa dihasilkan di Singapura tidak didaftarkan atas nama P.Ramlee. Perkara itu berlaku disebabkan kesedaran terhadap harta intelek pada ketika itu tidak mendalam seperti zaman sekarang.

Oleh hal yang demikian, isu yang utama selepas 50 tahun kepulangan P. Ramlee adalah berakhirnya pelindungan undang-undang terhadap karya seni yang dihasilkan semasa hayatnya.

Selama ini sesetengah karya-karya lagu P.Ramlee dilindungi hak ciptanya dan kutipan royalti diuruskan oleh Badan Pelindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP). Badan perlindungan itu mewakili waris P.Ramlee untuk mengutip royalti daripada pengguna karya-karya muziknya.

Walau bagaimanapun, selepas harta intelek itu menjadi domain awam, pihak waris atau dalam konteks yang lebih besar negara ini akan kehilangan royalti itu. Misalnya lagu-lagu ciptaan P. Ramlee bebas digunakan di seluruh dunia dengan percuma termasuk untuk tujuan komersial.

Sebenarnya isu yang berkaitan dengan pelindungan harta intelek merupakan suatu hal yang masih baharu di negara ini. Banyak harta intelek dibeli secara terus dan pengkarya tidak mempunyai hak cipta terhadap karya berkenaan.  Memang benar untuk jangka pendek, cara menjual secara pakej itu lebih mudah untuk dilakukan.

Akan tetapi, harta intelek adalah suatu yang berupa harta pusaka. Sekiranya diuruskan dengan betul dan mengikut undang-undang akan mendapat pulangan daripada segi royalti. Hasil daripada karya itu boleh dinikmati oleh waris sehingga 50 tahun selepas pengkarya tersebut meninggal dunia.

Dalam isu berakhirnya pelindungan dan kutipan royalti karya P. Ramlee,  ada pihak mencadangkan supaya kerajaan melanjutkan tempoh daripada 50 tahun menjadi 70 tahun. Hal ini bermakna, masih ada 20 tahun lagi untuk waris menikmati hasil royalti seniman itu.

Maka,  untuk melanjutkan tempoh pelindungan harta intelek berkenaan bukanlah sesuatu yang mudah, sekalipun tidak mustahil.  Sudah banyak perkara yang tidak mustahil, namun tidak menjadi kenyataan. Perkara itu melibatkan pindaan terhadap undang-undang tertentu dan sememangnya berdepan dengan cabaran yang sangat menyulitkan.

Antaranya melibatkan pindaan pada Akta Hak Cipta 1987 yang mengikut undang-undang antarabangsa memberikan pelindungan sehingga 50 tahun selepas pengkarya tersebut meninggal dunia. Untuk meminda akta berkenaan, pembuat dasar yang terdiri daripada ahli Parlimen perlu membawa isu itu ke Parlimen.

Oleh hal yang demikian, buat masa ini karya-karya P. Ramlee dianggap tidak lagi dilindungi oleh Akta Hak Cipta 1987. Semua pihak perlu menerima hakikat bahawa karya seniman besar yang kita miliki itu sudah menjadi hak awam, tidak dilindungi  dan kini berakhirnya kutipan royalti kepada waris.

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.