2 Jun 2023, 16:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Buku Bahasa memanfaatkan peluang dengan melancarkan 26 judul Buku Sokongan Pendidikan Bahasa Melayu Sekolah Rendah khusus untuk kegunaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil bertempat di Pentas Utama, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Dari kiri:  Tuan Haji Mohd Khair Ngadiron,  Tuan Haji Md. Johari Hasan, YB Lim Hui Ying,  Puan Fauzilahyatun Mustafa dan Yang Mulia Tengku Fauziah Ku Mat semasa gimik pelancaran Buku Sokongan Pendidikan Bahasa Melayu Sekolah Rendah.

Pelancaran buku tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Puan Lim Hui Ying pada pagi tadi. Menerusi majlis tersebut, Timbalan Menteri Pendidikan mengucapkan tahniah kepada penulis dan DBP kerana dapat menghasilkan buku sokongan pendidikan untuk kegunaan para pelajar. Ujar beliau menerusi majlis tersebut:

YB Lim Hui Ying.

“Kandungan buku yang ditulis adalah berpandukan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP), iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang menekankan gabungan kemahiran bahasa dalam mempelajari ilmu baharu. Kepelbagaian latihan dan konsep soalan yang dimuatkan dalam buku ini adalah berdasarkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), peta pemikiran i-Think dan selaras dengan konsep Pembelajaran Abad ke-21.”

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, YBrs. Tuan Haji  Md Johari Hasan dalam ucapan alu-aluannya, usaha menerbitkan buku sokongan pendidikan ini ialah hasil kerjasama DBP dengan  penulis bukan Melayu yang mahir dengan seni bahasa dan tatabahasa bahasa Melayu. Dalam usaha ini, DBP sedang giat melaksanakan penerbitan buku, khususnya dalam bahasa Melayu bagi semua bidang dan peringkat terutama dalam bidang pengajaran Bahasa Melayu.

Profesor Dr. Vijayaletchumy a/p Subramaniam.

Sementara itu, penulis Buku Panduan Imbuhan Awalan Kata Kerja dan Kuasai Kata Pemeri, YBhg. Profesor Dr. Vijayaletchumy a/p Subramaniam dalam ucapannya menyatakan  bahawa generasi Z dan Alfa masih memerlukan bahan pengajaran dan pembelajaran bercetak untuk memori jangka masa panjang. Generasi tersebut memerlukan pendekatan yang dapat menarik minat mereka untuk belajar seperti penggunaan ayat yang pendek, formula, akrustik dan grafik yang dapat merangsang minda mereka. Para penulis pula perlu meletakkan diri mereka dalam lingkungan generasi Z dan Alfa bagi membolehkan mereka menyediakan kandungan yang selari dengan kehendak dan keperluan generasi tersebut.

Turut hadir dalam majlis pelancaran tersebut ialah Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, YBrs. Tuan Haji Mohd Khair Ngadiron dan Ketua Editor Bahagian Buku Bahasa, Yang Mulia Tengku Fauziah Ku Mat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.