19 Jun 2023, 17:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Banting – Pelbagai intervensi dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi membantu golongan yang tercicir pada peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) termasuklah dengan mengadakan sistem pengesanan untuk golongan itu dalam tempoh dua tahun.

Menurut Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, dalam tempoh tersebut banyak intervensi boleh dilakukan bagi membantu golongan berkenaan dan bukan setakat menduduki SPM semata-mata.

“Kita ada sistem pengesanan buat golongan ini untuk dua tahun dalam radar dan sekurang-kurangnya kita boleh membuat intervensi yang pelbagai, contohnya memberikan peluang kepada mereka yang berhasrat untuk menyambung pelajaran ke tingkatan enam, selain memberikan bantuan tertentu kepada mereka,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Karnival Perpaduan MADANI 2023 Sempena Top 10 World’s Best School Prizes di Sekolah Kebangsaan Kanchong Darat, Banting pada hari ini.

“Program Pusat dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga akan dibuka dengan seluas-luasnya kepada mereka yang berminat dan pastinya kita akan bekerjasama dengan pelbagai yayasan negeri untuk memberikan bantuan,” ujar beliau lagi.

Pada masa yang sama, YB Fadhlina Sidek menyatakan bahawa kementeriannya sentiasa membuka peluang kepada mana-mana pelajar yang mahu menduduki atau mengulangi semula peperiksaan SPM.

“Kita (KPM) sentiasa bagi peluang dan menyambut baik saranan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang ada menyatakan soal peluang kedua, hala tuju, bimbingan dan kaunseling yang akan dibantu oleh KPM. Jika mereka (golongan tercicir SPM) memerlukan apa-apa sokongan lain, iaitu mungkin dari segi kewangan dengan merujuk kes tertentu, kita juga akan terus  membantu mereka,” jelas beliau.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.