25 September 2023, 09:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sungai Petani – Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Raja Muda Kedah dan DYTM Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff, Raja Puan Muda Kedah berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Pesta Buku Kedah 2023 yang berlangsung di Village Mall pada 24 September 2023.

Tahun 2023 merupakan tahun ke-11 penganjuran Pesta Buku Kedah yang berlangsung di Village Mall dari 24 hingga 30 September, dengan penyertaan lebih daripada 50 pempamer dari seluruh negara, termasuklah Dewan Bahasa dan Pustaka.

DYTM Raja Muda Kedah dan DYTM Che Puan Muda membelek Kamus Dewan Perdana semasa mengunjungi reruai DBP.

Dengan mengetengahkan slogan “Pesta Buku Terbesar Utara”, majlis perasmian Pesta Buku Kedah 2023 dimulakan dengan tarian pembukaan “Ayam Didik” oleh pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Lebai Man dan persembahan deklamasi sajak oleh Puzi Hadi.

YB Dato’ Hajah Halimaton Shaadiah Saad, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga, Masyarakat dan Perpaduan selaku wakil rasmi YAB Menteri Besar Kedah dalam ucapannya berkata,

Penganjuran Pesta Buku Kedah 2023 ini berteraskan matlamat untuk merealisasikan misi dan visi perpustakaan ke arah memantapkan usaha untuk melahirkan generasi dan bangsa Malaysia yang berpengetahuan tinggi dan maju dalam semua perspektif pemikiran.

Tambah beliau,

Penganjuran Pesta Buku Kedah dilihat penting dalam usaha menjana ekonomi berpengetahuan.

Menyebut Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah selaku penganjur utama Pesta Buku Kedah 2023, YB Dato’ Hajah Halimaton Shaadiah turut menjelaskan peranan perpustakaan dalam pembangunan sebuah negeri. Perpustakaan bukan sekadar mengurus segala hal berkaitan dengan buku, malah perpustakaan sebenarnya diibaratkan jendela untuk meluaskan pandangan. Beliau turut berbangga kerana Kedah kini sudah memiliki Perpustakaan Digital Kedah, yang sekali gus memperlihatkan Kedah bergerak sejajar dengan revolusi dalam dunia perpustakaan.

Pesta Buku Kedah 2023 yang menyasarkan kehadiran 150 ribu pengunjung turut menjadi medan yang menghimpunkan penulis dan penerbit buku, termasuklah pempengaruh dan pencipta kandungan digital.

Sebelum mengakhiri ucapannya, YB Dato’ Hajah Halimaton Shaadiah menegaskan Pesta Buku Kedah merupakan suatu mendemokrasikan ilmu dengan sistematik, memajukan tamadun tanpa syarat, mengimbau sejarah untuk nusa serta panduan mengolah hidup demi menata masa hadapan secara terbimbing.

Bagi menyempurnakan acara kemuncak, DYTM Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Raja Muda Kedah dan DYTM Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff, Raja Puan Muda Kedah perkenan merasmikan pelancaran Pesta Buku Kedah 2023 dengan mengimbas kod bar sebagai simbolik perasmian. Baginda berdua seterusnya turut perkenan bercemar duli melawat reruai penerbit dan pengedar buku yang mengambil bahagian sebelum berangkat pulang.

Turut hadir dalam majlis perasmian ini ialah YBhg. Dato’ Haji Mohd. Fauzi Mustaffa, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (Pembangunan), YBhg. Dato’ Haji Syed Khairol Anuar Syed Abidin, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (Pengurusan), YBrs. Tuan Ilias Shuib, Pegawai Daerah Kuala Muda, YBhg. Dato’ Haji Muhamad Arof Darus, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK), Yang Berusaha, Encik Shahizan Affandi Zakaria, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah dan YBrs. Haji Munawir Azizan, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah.

Pesta Buku Kedah 2023 menyajikan pelbagai aktiviti menarik untuk pengunjung seperti perhimpunan pempengaruh TikTok terkenal, perkongsian ilmu oleh tokoh ilmuwan dan agamawan, pertandingan e-sukan FIFA23 dan cabutan bertuah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.