6 Oktober 2023, 15:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan Kedah Darul Aman Football Club serta Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) telah diadakan semalam bertempat di Bilik Latihan Pentadbiran, UiTM Cawangan Perlis.

MoU yang dimeterai merupakan langkah yang sangat signifikan dalam menjalinkan hubungan yang erat antara sektor pengajian tinggi dengan pihak industri. Usaha ini juga jelas menunjukkan kesungguhan UiTM Cawangan Perlis untuk bekerjasama dalam mengasah bakat staf dan pelajar yang berkualiti dan berdaya saing, yang akan memberikan manfaat kepada UiTM, industri dan negara.

Rektor UiTM Cawangan Perlis (kanan) bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif Kedah Darul Aman Football Club (kiri) merakamkan gambar simbolik kerjasama antara kedua-dua pihak.

Diharapkan kerjasama strategik dengan Kedah Darul Aman Football Club ini akan membuka peluang baharu bagi pelajar UiTM untuk mendapatkan pengalaman praktikal yang bernilai dalam industri, dan memberikan peluang kepada rakan kerjasama untuk mendapatkan akses kepada pengetahuan dan inovasi terkini yang dihasilkan oleh UiTM Cawangan Perlis, khususnya dalam bidang sukan dan rekreasi.

Selain itu, diharapkan melalui kerjasama ini, pihak Kedah Darul Aman Football Club dapat menyumbang dari segi kepakaran dan taktikal bagi meningkatkan lagi mutu pasukan bola sepak UiTM Cawangan Perlis.

Melalui kerjasama dengan ASWARA pula, UiTM Cawangan Perlis berharap agar lebih banyak program kebudayaan dapat dianjurkan bersama terutamanya bagi pelajar, untuk mengekspresikan bakat seni dan membina kesedaran generasi muda tentang warisan seni budaya negara.

Rektor UiTM Cawangan Perlis (kiri) bersama-sama dengan Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik ASWARA (kanan).

Selain itu, pihak UiTM Cawangan Perlis juga mengalu-alukan kesudian pihak ASWARA untuk berkongsi kepakaran dalam memberikan pendedahan kepada warga kampus tentang hal-hal yang berkaitan dengan seni dan kebudayaan Malaysia. Menerusi inisiatif seperti ini, semangat patriotik melalui seni akan dapat dipupuk dalam kalangan warga kampus.

MoU ini ditandatangani oleh Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Prof. Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi bersama-sama dengan Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik ASWARA, YBrs. Prof. Madya Ts. Dr. Khairul Azril Ismail dan YBrs. Encik Khamal Idris Haji Ali, Ketua Pegawai Eksekutif Kedah Darul Aman Football Club.

Kerjasama kukuh antara institut pengajian tinggi dengan pihak industri dapat memberikan banyak manfaat.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah wakil-wakil dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Kedah Darul Aman Football Club, pengurusan kanan UiTM Cawangan Perlis dan staf UiTM Cawangan Perlis.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.