31 Oktober 2023, 16:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Mohamad Adib Zulkifli

Kuching – “Pelaksanaan Program Majalah Dalam Kelas (MDK) adalah sejajar dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menginginkan para pelajar terlibat dalam proses pembudayaan ilmu termasuklah menjadikan pembacaan sebagai satu daripada budaya hidup.”

Ketua Pengarah DBP. YBrs. Dr. Hazami Jahari ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Program Gerak Gempur Majalah Dalam Kelas Kembali ke Sekolah Peringkat Negeri Sarawak.

Demikian ucapan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs, Dr. Hazami Jahari ketika menyempurnakan Majlis Program Gerak Gempur Majalah Dalam Kelas Kembali ke Sekolah Peringkat Negeri Sarawak yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Abang Haji Openg, Kuching, Sarawak, pada pagi tadi.

Tambah beliau,

DBP sememangnya bertuah kerana Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek sentiasa memberikan sokongan terhadap program anjuran DBP dan disebabkan minat YB Fadhlina yang mendalam terhadap budaya membaca, maka kita telah mengangkat beliau sebagai ‘Ikon Budaya Membaca Dewan Siswa’ yang dinukilkan oleh sidang editor Dewan Siswa dalam majalah terbitan November 2023.

Ketika menyampaikan ucapan perasmian, YBrs Dr. Hazami turut berkongsi tentang pakej tawaran pembelian majalah terbitan DBP bagi individu, agensi atau pihak luar yang ingin menyumbang kepada komuniti seperti pakej pembelian majalah oleh ahli dewan undangan negeri (ADUN).

Pengarah DBP Cawangan Sarawak, YBrs. Abang Haliman Abang Julai.

Pada masa yang sama, Pengarah DBP Cawangan Sarawak, YBrs. Abang Haliman Abang Julai ketika menyampaikan ucapan alu-aluan turut menyampaikan penghargaan beliau atas pemilihan negeri Sarawak sebagai negeri pertama bagi Program Gerak Gempur Majalah Dalam Kelas Kembali ke Sekolah.

“Pemilihan negeri ini dalam pelaksanaan Program Gerak Gempur Majalah Dalam Kelas Kembali ke Sekolah menunjukkan iltizam dan kesungguhan DBP untuk memartabatkan bahasa dan menyebarluaskan ilmu pengetahuan menerusi penggunaan majalah di dalam kelas,” ulas beliau.

Pelaksanaan Program MDK tidak hanya tertumpu kepada pelajar sekolah menengah dan sekolah rendah, malah turut meliputi Bengkel MDK untuk Guru yang menjadi panduan kepada guru dalam mengaplikasikan majalah terbitan DBP dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam kelas.

Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa turut menyampaikan ucapan ketika Bengkel MDK untuk Guru yang turut diadakan pada pagi tadi.

Menurut Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa, setiap ruangan yang terdapat dalam majalah terbitan DBP digunakan dengan pelbagai kaedah sebagai alat bantu mengajar di dalam kelas supaya PdP yang dijalankan tidak hanya tertumpu pada penggunaan buku teks semata-mata.

Usai Majlis Perasmian Program Gerak Gempur Majalah Dalam Kelas Kembali ke Sekolah, program diteruskan dengan penganjuran Program MDK Dewan Siswa yang melibatkan sebanyak 190 orang pelajar dari tujuh buah sekolah; Program MDK Dewan Pelajar yang melibatkan sebanyak 147 orang pelajar dari tujuh buah sekolah dan Bengkel MDK untuk Guru yang melibatkan sebanyak 39 orang guru.

Aktiviti yang dilaksanakan dalam Program MDK Dewan Siswa.
Aktiviti yang dilaksanakan dalam Program MDK Dewan Pelajar.
Bengkel MDK untuk Guru yang turut diadakan ketika selesai Majlis Perasmian Program Gerak Gempur Majalah Dalam Kelas Kembali ke Sekolah.

Yang turut hadir dalam Majlis Perasmian Program Gerak Gempur Majalah Dalam Kelas Kembali ke Sekolah ialah Penolong Kanan SMK Tun Abang Haji Openg, mewakili Pengetua, YBrs. Tuan Haji Jamli Haji Bujang; Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa dan wakil Pengarah Pendidikan Sarawak, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, YBrs. Puan Siti Fatimah Saufi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.