10 November 2023, 09:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis terus menyemarakkan budaya inovasi dan kreatif menerusi sambutan Hari Inovasi dan Majlis Penghargaan Staf 2023. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi, Rektor UiTM Cawangan Perlis dan turut dihadiri oleh barisan Eksekutif Kanan, pesara-pesara serta staf akademik dan staf sokongan yang diraikan.

Penganjuran Hari Inovasi terus menjadi antara agenda penting UiTM bagi mengiktiraf usaha, idea, kreativiti dan inovasi warganya dalam menambah baik keberkesanan penyampaian perkhidmatan melalui penghasilan kerja dan projek inovasi yang berkualiti dan berimpak tinggi.

Bersesuaian dengan tema Hari Inovasi 2023, iaitu “Merealisasikan Daya Tahan melalui Jaminan Kualiti”, aspek jaminan kualiti memainkan peranan yang penting dalam memastikan kelestarian sesebuah organisasi, terutamanya Institusi Pendidikan Tinggi seperti UiTM. Hal ini dapat dilihat melalui perancangan strategik UiTM melalui GRU 2025 yang berteraskan pendidikan berkualiti, kecemerlangan global dan prestasi berorientasikan nilai. Perkara ini juga selari dengan hasrat YBhg. Datuk Naib Canselor ke-7, YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin yang turut menekankan budaya kerja berkualiti berorientasikan data, dan “collective wisdom” yang seterusnya dapat membantu dalam pembuatan keputusan yang cepat dan tepat, sekali gus memberikan penekanan dalam menjadikan UiTM sebuah institusi yang mempunyai “makna” kepada pembangunan komuniti dan negara.

Sambutan Hari Inovasi UiTM Cawangan Perlis pada tahun ini memperlihatkan pelbagai anugerah dan pengiktirafan diberikan kepada warga kampus. Antaranya termasuklah:

  • Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2022
  • Penghargaan Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK)
  • Penghargaan Penulis Anugerah Kualiti Naib Canselor (AKNC)
  • Penghargaan Kumpulan Kecemerlangan Operasi (OE)
  • Penyampaian Hadiah Pemenang EKSA
  • Pertandingan Sudut Kemerdekaan
Barisan tetamu kehormat bersama-sama dengan penerima anugerah.

Selain itu, UiTM Cawangan Perlis juga turut mengambil peluang bagi menghargai jasa bakti para pesara dan staf yang telah lama berkhidmat menerusi penyampaian anugerah dan sijil penghargaan kepada barisan Pesara Wajib dan Pesara Pilihan Tahun 2021 serta Anugerah Khidmat Setia 20 Tahun, Anugerah Khidmat Setia 25 Tahun dan Anugerah Khidmat Setia 30 Tahun.

Sambutan Hari Inovasi UiTM yang diadakan setiap tahun ini diharapkan dapat memperkasa budaya inovasi dan kreativiti secara meluas dalam kalangan warga UiTM, khususnya UiTM Cawangan Perlis. Inovasi yang signifikan berupaya memberikan impak yang besar kepada perkembangan dan kemajuan organisasi, seterusnya meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan melalui pendekatan yang lebih kreatif dan inovatif.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.