10 November 2023, 15:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Sesi forum bertemakan “Inisiatif Pembangunan Asnaf Dan Pemerkasaan Komuniti” menampilkan tiga orang panel, iaitu Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor; Penolong Pengarah Pencegahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan Negeri Perlis, Puan Nurul Ain Mohamed Bakri; dan Timbalan Pengerusi Majlis Pusat Kebajikan Se-Malaysia, Encik Mohd Hashim Akhir.

Arau – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis melalui Bahagian Jaringan Industri, Masyarakat, Alumni dan Keusahawanan (PJIM&A) menyediakan platform bagi akademia, organisasi dan industri untuk membincangkan isu semasa berkaitan dengan komuniti menerusi penganjuran The International Symposium on Community Social Responsibility 2023 (i-CSR 2023), baru- baru ini.

Dalam mendepani arus pemodenan dan kepesatan teknologi, penting bagi akademia, organisasi serta industri untuk bertukar-tukar buah fikiran yang kritis serta praktikal dalam memperkasakan pembangunan komuniti dari pelbagai sudut.

Persidangan yang berlangsung selama dua hari itu telah melibatkan sebanyak 43 orang peserta yang terdiri daripada kalangan penyelidik, ahli akademik, dan pengamal industri bukan sahaja dari UiTM, malah dari agensi lain. Antaranya, termasuklah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Majlis Perbandaran Kangar, Negeri Perlis dan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis.

Menurut penganjur, i-CSR dilihat sebagai satu daripada wadah yang terbaik untuk mengumpulkan pakar, pengamal industri dan penyelidik yang mempunyai pengalaman luas dalam aktiviti atau projek yang melibatkan pembangunan komuniti.

Inisiatif ini juga selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang merangkumi lima bidang tumpuan, iaitu kemajuan masyarakat, penjagaan bumi, kemakmuran, keamanan dan kerjasama.

Dalam ucapan perasmian penutupan majlis, Profesor Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi berkata,

i-CSR 2023 mampu menjadi sebuah titik tolak untuk jalinan kerjasama yang lebih erat antara akademia, organisasi dan industri. Bahkan, segala ilmu dan perkongsian yang diketengahkan dalam i-CSR 2023 juga dapat menjadi pemangkin dalam usaha membantu meningkatkan kualiti hidup ekonomi komuniti setempat.

Turut hadir bersama-sama dalam tersebut ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Dr. Faizal Kamarudin; Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Negeri Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor; Penolong Pengarah Pencegahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan Negeri Perlis, Nurul Ain Mohamed Bakri; Timbalan Pengerusi Majlis Pusat Kebajikan Se-Malaysia, Mohd Hashim Akhir; Timbalan Rektor Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni UiTM Cawangan Perlis, Ts. Dr. Ernieza Suhana Mokhtar; dan barisan pembentang daripada pelbagai agensi, serta warga UiTM Cawangan Perlis.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.