Diterbitkan pada 20 November 2023, 20:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Sesi penyampaian sumbangan kepada penduduk orang Asli di Kampung Beswok, Sungai Siput.

Sungai Siput – Selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang secara ringkasnya meliputi kemajuan masyarakat, kemiskinan, pendidikan dan peluang pekerjaan, Persatuan Perihatin Komuniti Negeri Perlis (CommUniCare) dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis dan Jabatan Kemajuan orang Asli (JAKOA) telah menganjurkan Program Ekskursi Rapat Sukarelawan dan Cakna Komuniti (ESKOM 2.0) yang bertujuan untuk melestarikan pendidikan komuniti orang Asli di Kampung Beswok, Sungai Siput.

Rektor UiTM Cawangan Perlis, Prof. Madya Ts. Shukor Sanim Mohd. Fauzi berkata,

Program ESKOM 2.0 merupakan platform untuk mengenal pasti permasalahan yang boleh dilakukan oleh pihak universiti untuk membantu dalam pembangunan taraf kehidupan orang Asli.

UiTM Cawangan Perlis terbuka untuk bekerjasama dalam pembangunan orang Asli dan kini sedang dalam proses pembangunan beberapa modul untuk membantu komuniti orang Asli supaya lebih berdaya saing dan dikenali oleh komuniti luar yang lain.

Selain memberikan sumbangan dari segi kewangan dan barangan asas, CommUniCare yang juga pakar dalam penghasilan sabun buatan sendiri (homemade) menggunakan minyak terpakai turut berkongsi kepakaran mereka dalam pembuatan sabun dan pengetahuan mengenai kepentingan menjaga biodiversiti kepada penduduk perkampungan orang Asli berkenaan.

Sesi taklimat proses pembuatan sabun menggunakan minyak terpakai oleh Puan Nur Firdaus Abdul Rashid, pensyarah UiTM Cawangan Perlis.

Dalam penganjuran sebegini, terdapat pelbagai manfaat yang diperoleh antaranya termasuklah mengeratkan hubungan silaturahim antara UiTM Cawangan Perlis dengan komuniti orang Asli dalam memahami adat dan gaya hidup komuniti setempat.

Program ini secara tidak langsung juga dapat membentuk sikap, nilai murni dan integriti seseorang individu dalam melahirkan sebuah masyarakat yang harmoni dan dinamik, serta menerapkan nilai SDG dalam sesebuah negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi