22 November 2023, 13:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Staf pentadbir dan staf sokongan UiTM Cawangan Perlis yang diraikan dalam Majlis Semarak Gemilang 2023 di Dewan Seri Semarak, UiTM Cawangan Perlis.

Arau – Seramai 300 staf pentadbir dan staf sokongan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis diraikan dalam Majlis Semarak Gemilang yang diadakan bertempat di Dewan Seri Semarak, UiTM Cawangan Perlis, baru-baru ini.

Penganjuran Majlis Semarak Gemilang ini adalah sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan pihak Pengurusan UiTM Cawangan Perlis terhadap komitmen dan kecemerlangan staf bukan akademik dalam bidang dan tugas masing-masing, serta mengiktiraf pelibatan mereka dalam aktiviti atau program libat sama bersama-sama komuniti.

Kecemerlangan merupakan matlamat yang diimpikan oleh setiap individu begitu juga dengan universiti.  Nilai UiTM, iaitu ESI (kecemerlangan, sinergi dan integriti) menjadi cerminan kebersamaan, komitmen padu, semangat yang jitu, dan komunikasi yang efektif dalam menghasilkan mutu kerja yang terbaik.

Rektor UiTM Cawangan Perlis, Profesor Madya Ts. Dr. Shukor Sanim mengatakan bahawa warga kampus seharusnya berganding bahu, bersatu-padu, berjalan terus menuju kejayaan yang bakal diharungi bersama. Komitmen yang ditonjolkan amatlah penting bagi memastikan UiTM Cawangan Perlis terus berkembang maju dan setanding dengan institusi lain di negeri ini.

Saya menyeru seluruh warga UiTM Cawangan Perlis pada hari ini agar menerapkan semangat kebersamaan, meskipun kita datang daripada pelbagai bidang dan gred yang berbeza. Bekerjalah bersama-sama demi bangsa, agama dan negara.

Semoga pemberian anugerah ini menjadi pembakar semangat kepada warga UiTM dalam memacu universiti ke arah lebih berdaya saing dan mencapai sasaran yang ditetapkan serta berusaha untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan masing-masing.

Mengulas lanjut, sebanyak 13 kategori anugerah telah disampaikan. Antaranya, termasuklah Anugerah Staf Interaktif, Anugerah Staf Proaktif, Anugerah Staf Berinovasi, Anugerah Staf Produktif, Anugerah Staf Sempurna Hadir, Anugerah Pekerja Rockstar, Anugerah Personaliti Hebat, Anugerah Tunas Harapan (Lelaki), Anugerah Tunas Harapan (Wanita), Pengiktirafan Mentor/Kepimpinan (Kumpulan A), Pengiktirafan Mentor/Kepimpinan (Kumpulan B) dan Anugerah Pencapaian Sukan.

Encik Mohd. Junaidy Ilyas, Jurutera Kanan daripada Bahagian Pembangunan Fasiliti menerima Anugerah Khas Rektor dalam Majlis Semarak Gemilang 2023.

Terdapat juga Anugerah Khas Rektor yang dianugerahkan kepada Encik Mohd Junaidy Ilyas, Jurutera Kanan daripada Bahagian Pembangunan Fasiliti yang mencapai kecemerlangan luar biasa dan berdedikasi tinggi sepanjang tahun 2023.

Hadir sama dalam majlis yang dianjurkan oleh Kesatuan Kakitangan Umum UiTM Cawangan Perlis ini ialah YBhg. Profesor Ts. Dr.  Mohd. Azlan Mohd Ishak, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik; Profesor Madya Dr. Ahmad Nizan Mat Noor, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar; Ts. Gs. Dr. Ernieza Suhana Mokhtar, Timbalan Rektor Pusat Jaringan Industri dan Alumni; Barisan Jawatankuasa Eksekutif Negeri dan staf yang diraikan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.