22 November 2023, 17:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
YB Fadhlina Sidek bertemu sidang media dalam Majlis Ramah Mesra YB Menteri Pendidikan Bersama-sama Media di Restoran Rebung Chef Ismail, Taman Botani Perdana, petang ini.

Kuala Lumpur – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengadakan program Jerayawara Jelajah Pendidikan ke seluruh negara bermula pada tahun 2024 bagi mendapatkan pandangan berkaitan dengan pelan pembangunan pendidikan.

Menurut Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, KPM akan mengadakan sesi libat urus daripada pelbagai peringkat segmen komuniti yang berkepentingan dalam pendidikan.

Program Jerayawara Jelajah Pendidikan adalah sebahagian daripada usaha KPM dalam merangka pelan pendidikan baharu negara yang tamat pada tahun 2025, selain merealisasikan agenda pendidikan masa depan.

Selain itu, KPM turut memberikan tumpuan terhadap usaha mengukuhkan pentaksiran kurikulum persekolahan baharu 2027, rentetan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia seharusnya dipegang kukuh agar kita terus komited dalam meningkatkan kualiti dan kecekapan dalam sistem pendidikan negara.

Demikianlah ucapan YB Fadhlina Sidek dalam Majlis Ramah Mesra YB Menteri Pendidikan Bersama-sama Media yang berlangsung di Restoran Rebung Chef Ismail, Taman Botani Perdana pada petang ini.

Pada majlis yang sama, YB Fadhlina Sidek turut merakamkan ucapan penghargaan terhadap media yang sentiasa memberikan liputan berkaitan dengan perkembangan pendidikan negara yang sering menjadi perhatian masyarakat.

“Media memainkan peranan yang cukup besar kerana membantu KPM untuk memberikan maklumat berkaitan dengan agenda besar pendidikan negara yang lebih  dekat dengan rakyat,” ulas YB Fadhlina Sidek.

Turut hadir bersama-sama dalam majlis ini ialah Timbalan Menteri Pendidikan, YB Lim Hui Ying; Pengarang Kumpulan New Straits Times, Farrah Naz Karim; Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian, M Thillinadan; Ketua Pegawai Eksekutif NTV7, Seelan Paul; Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen Media Prima, Kamaruddin Mape dan Ketua Editor Bahagian Majalah, Dr. Rosmani Omar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.