Oleh Jamiaton Kusrin
16 Disember 2023, 10:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Puncak Alam – Kontinjen Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, berjaya menamatkan kemarau pingat emas dengan mencatat kutipan tiga emas, empat perak dan tiga gangsa dalam pertandingan Invention, Innovation & Design Exposition (iidex2023).

Menurut Prof. Madya Dr. Mohamad Nizam Mohamed Shapie, Timbalan Dekan Penyelidikan, Jaringan dan Industri (PJI), FSR, UiTM Shah Alam, kontinjen FSR yang diketuai oleh Dr. Ang buat julung-julung kalinya menghantar 10 pasukan dan merupakan penyertaan terbanyak yang pernah disertai. Sebanyak 25 orang staf, lapan orang pelajar, satu kerjasama nasional dan tiga kerjasama industri bersama-sama FSR terlibat dalam pertandingan ini.

Program iidex2023 anjuran UiTM, Shah Alam ini berlangsung dengan meriahnya selama empat hari yang bermula pada 12 Disember 2023 hingga 15 Disember 2023 di Dewan Berlian, UiTM Kampus Puncak Alam, Selangor.

SportPulse: Revolutionizing Athlete Training and Monitoring antara inovasi yang memenangi pingat emas.

Program tahunan ini juga berjaya menarik sebanyak 465 penyertaan daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta, universiti dan sekolah dengan pelbagai inovasi yang menakjubkan. Setiap inovasi yang diketengahkan mampu menjadi harta intelek yang berharga dan mencipta kekayaan baharu kepada universiti dan negara.

Di samping itu, iidex2023 turut menjadi medan yang memberikan peluang kepada para penyelidik, ahli akademik, pihak industri dan komuniti untuk saling bersilang ilmu, menjalinkan hubungan dan pengetahuan bersama-sama untuk kebaikan masyarakat umum.

Custom Functional Foot Orthosis (CFFO) turut memenangi pingat emas dalam pertandingan iidex2023.
Para pemenang pingat perak dan gangsa.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.