Oleh Jamiaton Kusrin
5 Januari 2024, 16:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bandar Baru Klang – “Majlis AAU2022 merupakan satu penghargaan dan pengiktirafan tertinggi pada peringkat universiti terhadap pembudayaan fikiran kelas pertama dalam kalangan akademia UiTM.”

Kecemerlangan UiTM dari sudut akademik, komuniti, industri dan pembangunan pelajar amat membanggakan.

Demikianlah kata Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Pengurusan Akademik dan Penyelidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Dato’ Prof. Norzaini Azman ketika merasmikan Majlis Penganugerahan Anugerah Akademik Universiti (AAU) 2022 di Wyndham Acmar Klang Hotel, Bandar Baru Klang pagi tadi.  Turut mengiringi bersama ialah TNC Akademik dan Antarabangsa, Universiti Teknologi MARA (UiTM), YBhg. Prof. Datin Dr. Suzana Sulaiman.

Dalam ucapan perasmian, YBhg. Dato’ Prof. Norzaini Azman menegaskan UiTM mempunyai kumpulan bakat yang luas ke arah GRU2025.

Ikon kesarjanaan dan suri teladan berintegriti tinggi perlu diberi perhatian kerana turut mengangkat imej negara. Keseimbangan pemberian akses dan kecemerlangan perlu selari pada semua peringkat, di samping membudayakan kecemerlangan dalam kalangan ahli akademik muda.

Mengulas lanjut, AAU diperkenalkan sejak tahun 2009, yakni merupakan anugerah tertinggi di peringkat UiTM sebagai pengiktirafan kepada ahli akademik daripada pelbagai bidang ilmu.  Pemenang AAU akan dicalonkan dalam Anugerah Akademik Negara (AAN) pada peringkat kebangsaan. Keutamaan diberikan kepada para akademia UiTM yang menyumbang dalam bidang pengajaran, penemuan ilmu, penulisan dan penerbitan, pemindahan dan pengembangan ilmu.

Prof. Madya Dr. Raja Firhad Raja Azidin (Dekan FSR), Prof. Madya Dr. Mohamad Nizam Mohamed Shapie (TD Penyelidikan dan Jaringan Industri).

Sebanyak 157 pencalonan diterima bagi 17 anugerah yang dipertandingkan dari segenap pelusuk UiTM. Manakala, 48 pencalonan disenarai pendek dan pemenang diraikan dalam majlis AAU2022 yang gilang-gemilang.

Pada masa yang sama, YBhg. Prof. Datin Dr. Suzana Sulaiman selaku penganjur utama mengucapkan tahniah kepada semua calon AAU2022 yang konsisten menghidupkan harapan dan amanah dalam melakukan perubahan yang lestari di mata masyarakat.

Turut terlibat lintas langsung menerusi YouTube UiTM Channel ialah Naib Canselor UiTM, YBhg. Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin.

Yang menariknya, Prof. Madya Dr. Mohamad Nizam Mohamed Shapie, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (TDPJI) buat julung kalinya telah dinobatkan sebagai pemenang tunggal dari Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR), UiTM Shah Alam menerima Anugerah Kategori Utama AAU2022 bagi kategori Seni dan Kreativiti (Penulisan Kreatif).  Kejayaan ini benar-benar di luar dugaan beliau kerana saingan amat sengit dan ini merupakan pencalonan kali kedua.  Setiap pemenang menerima sijil, trofi dan sejumlah wang tunai sebagai tanda penghargaan.

Semoga kejayaan yang dicapai oleh akademia UiTM mampu memberikan inspirasi kepada penyelidik muda dan senior di UiTM untuk terus melakar sejarah dalam memartabatkan universiti keramat Melayu dan Bumiputera.

Mendahulukan niat yang baik dalam setiap tindakan kerana Allah SWT, pastinya seseorang mampu memikul setiap tanggungjawab yang digalas dengan amanah, berintegriti. Perkara ini perlu menjadi keutamaan kepada staf akademik.

Demikian jelas Naib Canselor UiTM, YBhg. Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin dalam ucapan beliau.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.