21 Mac 2024, 12:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Sesi bergambar bersama-sama pelajar yang menerima sumbangan sempena Program Kasih Ramadan 2024 di daerah Dungun, semalam.

Hulu Dungun – Meneruskan tradisi semangat sukarelawan bagi membantu golongan asnaf, orang kurang upaya dan anak yatim dan mereka yang kurang berkemampuan, Kelab Wanita Universiti Malaysia Terengganu (MUTIARA) dengan kerjasama Badan Amal Wanita Profesional Terengganu, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (BERKAT) menganjurkan Program Kasih Ramadan MUTIARA 2024 (PKRM 2024).

Program yang bermula sejak tahun 2016 menyasarkan 50 orang murid di Sekolah Kebangsaan Pasir Raja, Sekolah Kebangsaan Kuala Jengal dan Sekolah Kebangsaan Kampung Shukor di daerah Dungun, Terengganu.

Pengerusi MUTIARA UMT, Puan Wan Sarimah Wan Razak menyerahkan sumbangan kepada para pelajar.

Menurut Wan Sarimah Wan Razak, Pengerusi MUTIARA UMT, program itu dapat membantu meringankan beban ibu bapa, di samping menceriakan kanak-kanak bagi menyambut persediaan kedatangan 1 Syawal nanti.

Golongan kanak-kanak terpilih akan diberikan bantuan kelengkapan pakaian raya dan kasut mengikut keperluan mereka.

Hasil sumbangan para dermawan sama ada individu mahupun badan korporat telah merealisasikan impian mereka untuk menyambut hari raya Aidilfitri nanti.

Selain kelengkapan pakaian, terdapat juga tiga kotak buku ensiklopedia yang disumbangkan bagi perpustakaan sekolah terlibat dalam memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar.

Wakil SK Kuala Jengal, Cikgu Halim Ab Latif menerima naskah ensiklopedia hasil sumbangan individu dan badan korporat.

Sementara itu, ketika ditemu bual seorang guru di SK Kuala Jengal, Cikgu Abdul Halim Ab Latif berkongsi bahawa pihak sekolah berasa amat berbangga dan terharu kerana telah terpilih bagi menjayakan program tahun ini.

Kami mengucapkan terima kasih kepada MUTIARA UMT yang sudi memberikan barangan sumbangan kepada pelajar yang kurang bernasib baik.

Mereka sangat gembira dengan pemberian kelengkapan itu. Jelas terpancar wajah kegembiraan anak-anak yang tidak sabar untuk bergaya di pagi raya nanti.

Pengarah Program Kasih Ramadan 2024, Dr. Razifah Razali yang juga merupakan pensyarah UMT turut melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua penderma yang memberikan sumbangan dalam menjayakan PKRM 2024.

Pihak MUTIARA UMT turut menyatakan penghargaan atas sokongan pembekal Kedai Kasut Dans dan JAKEL Cawangan Gong Badak Kuala Nerus dalam memberikan potongan yang cukup menarik untuk PKRM 2024.

Turut hadir dalam memeriahkan program agihan sumbangan adalah ahli Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Kuala Nerus, ahli MUTIARA, serta BERKAT.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.