Oleh Jamiaton Kusrin
10 Jun 2024, 10:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Aksi Pesilat Berkumpulan yang dipertandingkan dalam Kejohanan Silat Seni Malaysia Kebangsaan 2024 bertempat di Ruang Legar PKNS, Bandar Baru Bangi.

Bangi – Kejohanan Silat Seni Malaysia Kebangsaan 2024 yang berlangsung di Ruang Legar Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Bandar Baru Bangi, Selangor, baru-baru ini berjaya mengangkat warisan seni budaya Melayu.

Kejohanan ini merupakan anjuran bersama PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC), Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM), Persekutuan Silat Olahraga Nasional Malaysia (PESONA Malaysia), Martial Arts & Combat Sports Research Network (AIRBORNE) dan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi MARA (FSR, UiTM).

Kejohanan ini diadakan bertujuan untuk mengetengahkan wira dan wirawati yang berjuang dengan semangat yang tinggi dan menunjukkan persembahan yang hebat sepanjang kejohanan berlangsung.

Buat julung kalinya, kejohanan ini menerima tajaan penuh daripada Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Korea Selatan dan Yayasan Promosi Sukan Korea Selatan.

Sokongan UNESCO (ICM) yang mengiktiraf Silat Seni Gayung Fatani sebagai salah satu warisan dunia merupakan satu penghormatan kepada AIRBORNE FSR, UiTM secara khususnya dan Malaysia secara amnya.

Terdapat empat kategori silat seni yang dipertandingkan, antaranya termasuklah solo (Putera dan Puteri), tempur (Putera dan Puteri), silat pulut (Putera dan Puteri) serta persembahan berkumpulan.

Pertunjukan silat dari semua guru PSGFM dari pelbagai perguruan menutup tirai kejohanan dengan meriah dan penuh warna-warni.

Beberapa siri kejohanan seni mempertahankan diri silat turut menanti sepanjang tahun 2024 yang turut menawarkan hadiah wang tunai yang lumayan kepada para pesilat yang menang.

Penaung Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia, YB Datuk Abdul Rashid.

Majlis penutup kejohanan telah disempurnakan oleh YB Datuk Abdul Rashid, selaku Penaung Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM).

Beliau berharap agar lebih ramai pesilat berkaliber yang berjaya dilahirkan pada masa akan datang dan mengangkat silat seni sebagai warisan seni budaya yang perlu dipertahankan ibarat “tidak lapuk dek hujan dan, tidak lekang dek panas”.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.