Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangNibong Tebal – Penerbitan buku Himpunan 68 Esei Bahasa dan buku Antologi 68 Puisi bertemakan Kesaktian Lidah Rakyat sempena Ulang Tahun Ke-68 DBP membuktikan kesungguhan dan perjuangan karyawan DBP dalam memartabatkan bahasa dan persuratan.
Kedua-dua buku tersebut telah dilancarkan oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek dalam Majis Sambutan Ulang Tahun Ke-68 DBP di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nibong, Pulau Pinang pada tengah hari semalam.
Kesemua tulisan yang terdapat dalam kedua-dua buku tersebut dinukilkan oleh mantan dan karyawan DBP. Dengan bertemakan “Kesaktian Lidah Rakyat”, idea dan inspirasi karyawan DBP berjaya ditonjolkan dan diterjemahkan dalam bentuk penulisan.
Penerbitan buku ini juga membuktikan bahawa DBP akan sentiasa teguh dalam melaksanakan amanah dalam memperkasakan bahasa, sastera dan persuratan.
Selain itu, hal ini juga menunjukkan bahawa DBP “bergerak sederap” bersama-sama dengan masyarakat dalam memperkembangkan ilmu yang seterusnya akan memperdalam pemikiran dan pengetahuan masyarakat.
Sasterawan Negara Dato’ Rahman Shaari yang juga merupakan editor buku antologi puisi tersebut menyatakan bahawa;
Muatan antologi ini merupakan ungkapan fikiran, sikap dan rasa yang dicerna dalam aneka gaya. DBP ialah tanda utama hadirnya perjuangan bahasa dan perjuangan rakyat yang menyeluruh.
Seterusnya, buku ini juga memperlihatkan suatu bentuk apresiasi kepada karyawan DBP yang berusaha melahirkan ungkapan fikiran dan berkongsi ilmu dalam bentuk penulisan untuk manfaat masyarakat. Puan Zaharahanum Kamarudin, Editor Bahagian Buku Sastera DBP selaku editor bersama-sama dengan SN Dato’ Rahman Shaari berkata bahawa penerbitan buku ini secara tidak langsung mempertajam bakat karyawan DBP yang selama ini terpendam oleh sebab sibuk menguruskan hal-hal penerbitan dan pengembangan bahasa kebangsaan.
Menurut editor buku himpunan esei pula, Encik Shahrun Nizal Mohd Nor, Editor Kanan Bahagian Buku Sekolah DBP, penerbitan buku ini juga bukan sekadar menambah korpus kajian dalam bidang bahasa, bahkan relevan untuk dijadikan rujukan sepanjang zaman.
Karyawan DBP menjadikan DBP sebagai wadah perjuangan, sekali gus menafikan tohmahan bahawa sebagai pengurus bahasa, sastera dan penerbitan, DBP hanyalah institusi untuk mencari rezeki semata-mata.
Tambahnya lagi, penerbitan ini juga merangsang karyawan untuk menjadikan penulisan sebagai wadah percambahan fikiran, bukan terhad kepada isu bahasa semata-mata, bahkan merentasi horizon yang lebih luas.