Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangNibong Tebal – Dewan SMK Seri Nibong, Pulau Pinang dimeriahkan dan bergemerlapan dengan pelbagai persembahan dalam Malam Bahasa Jiwa Bangsa bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Ke-68 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Sebelumnya pada sebelah pagi, sambutan ulang tahun tersebut diisi dengan pelbagai program yang melibatkan penyertaan daripada pelbagai peringkat umur, daripada pelajar sekolah sehinggalah ke peringkat dewasa.
Antara program menarik yang telah dijalankan termasuklah program seperti forum, pertandingan melibatkan kebahasaan dan kesusasteraan, perlawanan persahabatan bola sepak, dan kemuncaknya ialah Malam Bahasa Jiwa Bahasa.
Keakraban DBP dengan pihak sekolah diperkukuhkan dengan persembahan pembukaan daripada para pelajar SK Permatang Tok Mahat dan persembahan lagu puisi daripada para pelajar SMK Seri Nibong.
Kedua-dua persembahan tersebut membuka mata para hadirin dengan kepetahan dan lontaran bait-bait puisi yang mengesankan.
Seterusnya, Malam Bahasa Jiwa Bangsa diserikan lagi dengan persembahan Sketsa Kesaktian Lidah Rakyat Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri Pulau Pinang, persembahan boria SK Sungai Bakau, dan persembahan seloka daripada Kumpulan Copacabana.
Dewan SMK Seri Nibong pada malam itu turut menyaksikan persembahan deklamasi puisi tamu oleh Tuan Haji Azman Adnan, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP, dan Sasterawan Negara Datuk Dr. Siti Zainon Ismail.
Tirai Malam Bahasa Jiwa Bangsa ditutup dengan persembahan artis yang sememangnya terkenal dengan membawa lagu kebudayaan dan lagu rakyat, iaitu Haziq Rosebi.
Malam Bahasa Jiwa Bangsa tersebut sesungguhnya istimewa dan unik kerana memaparkan persembahan kebudayaan dan kesenian yang beraneka warna dan suara.