Oleh Hafizul Osman
12 Jun 2024, 19:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Hasrat Malaysia untuk mara lebih jauh dalam pusingan kelayakan Piala Dunia musnah walaupun berjaya menewaskan pasukan Taiwan dalam aksi terakhir Kumpulan D Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Dalam perlawanan tersebut, pasukan Malaysia berjaya mengatasi Taiwan dengan jaringan 3-1. Malaysia perlu menewaskan Taiwan dengan jaringan sekurang-kurangnya 8-0 untuk mengatasi Kyrgyzstan sambil mengharapkan Kyrgyzstan tewas kepada Oman.

Dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Taiwan dilihat rancak menyerang ke kubu Malaysia. Malaysia turut melancarkan serangan balas melalui rangkaian serangan yang diterajui oleh pemain naturalisasi Malaysia, Paulo Josue dengan dibantu oleh Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Dion Cools.

Biarpun Paulo Josue berjaya menjaringkan gol, namun tidak cukup untuk membawa Malaysia mara ke hadapan.

Namun begitu, akibat kealpaan bahagian pertahanan, Taiwan terlebih dahulu berjaya membolosi gawang Malaysia melalui jaringan oleh Yu Yao-hsing pada minit ke-20. Tersentak dengan jaringan itu, Malaysia cuba menyerang ke kubu lawan, namun masih gagal menembusi pertahanan Taiwan sehinggalah tamat separuh masa pertama.

Malaysia memulakan separuh masa kedua dengan membuat pertukaran dengan memasukkan seorang lagi pemain naturalisasi, Sergio Aguero bagi menggantikan Matthew Davies. Kemasukan pemain itu ternyata berjaya menguatkan bahagian serangan Harimau Malaya. Malaysia berjaya menyamakan kedudukan apabila bola hasil sepakan deras Safawi Rasid gagal ditampan kemas oleh penjaga gol Taiwan sebelum bola itu melantun masuk ke dalam gol pada minit ke-53. Gol itu telah menjadi tonik kepada pemain Malaysia untuk mencari gol tambahan.

Malaysia berjaya menambah jaringan pada minit ke-69 oleh Paulo Josue hasil lorongan cantik oleh La’Vere Corbin Ong. Jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon terus menguatkan bahagian serangan Malaysia dengan memasukkan beberapa orang pemain muda, Adib Raop, Haqimi Azim dan Engku Nur Shakir.

Percaturan ini berjaya menambah jaringan apabila Adib Raop berjaya menambah jaringan pada minit kecederaan. Gol ketiga itu tidak cukup untuk membawa Malaysia ke pusingan seterusnya apabila Kyrgyzstan berjaya mengikat Oman dengan jaringan 1-1 dalam satu lagi perlawanan di Muscat, Oman.

Malaysia hanya berjaya mengumpul 10 mata untuk menduduki tempat ketiga dalam kumpulan, manakala Kyrgyzstan berjaya mengumpul 11 mata untuk mengiringi Oman yang memperoleh 13 mata. Malaysia masih mempunyai peluang untuk layak ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi apabila perlu bersaing dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 yang akan bermula pada bulan Mac 2025.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.